Wednesday, 4 July 2012

Biografi Kiai Khalil Abu Ammar

Oleh : Wan Mohd Shaghir Wan Abdullah

Latar belakang kelahiran
Nama beliau ialah Ma'sum bin Muzayyin dan berasal dari Lasem Jawa Tengah, Indonesia. Lasem dikenali sebagai Tiongkok kecil kerana merupakan kota awal pendaratan orang Tionghoa di tanah Jawa. Beliau dilahirkan pada awal tahun 1990an, namun tanggal kelahiran beliau tidak dapat dipastikan secara tepat. Penukaran nama kepada Muhammad Khalil adalah kerana mengambil tabarruk guru yang dikasihinya yang bernama Kiai Khalil Bengkalan yang berasal dari Pulau Madura Jawa Timur. Maka masyhurlah nama beliau di Malaya pada ketika itu dengan nama Kiai Khalil Bin Abu Ammar. Sementara ayahnya iaitu Kiyai Muzayyin, menukar nama kepada Kiai Abu Ammar selepas menunaikan haji di Mekah al-Mukarramah. Ini kerana telah menjadi adat masyarakat Jawa akan menukar nama yang baru setelah menunaikan haji. Ia juga berkemungkinan tabarruk nama panggilan baru dengan tanah suci Mekah yang penuh barakah.

Pendidikan awal
Beliau mula belajar di Pesantren Rembang dan kemudian berpindah ke Pesantren Pati, dan akhir sekali di Tebu Ireng Jombang Jawa Timur. Dikatakan pada awal pengajiannya, beliau selalu cuai dalam belajar. Sikap beliau tersebut sampai kepada pengetahuan bapanya, lalu beliau dipanggil pulang dan diserahkan tugas memelihara kambing ternakan.
Setelah melalui tugasan tersebut, maka beliau menyedari bahawa peritnya sebagai penggembala kambing. Ekoran itu, beliau memohon kepada ayahnya untuk kembali meneruskan pembelajaran di pondok.
Di Pondok Tebu Ireng , beliau telah berguru dengan Kiai Hasyim Asy'ari. Kiai Hasyim Asy'ari adalah seorang ulama terkenal di Indonesia dan merupakan salah seorang pengasas Nahdhatul Ulama (NU).
Di samping itu, Kiai Khalil turut berguru dengan Kiai Khalil Bengkalan/Madura, iaitu ulama yang diambil tabarruk namanya.




Kiai Khalil Bengkalan/Madura merupakan guru kepada Kiai Hasyim Asy'ari sewaktu beliau belajar di daerah Madura. Namun terjadi satu peristiwa pelik di mana Kiai Khalil Bengkalan datang untuk berguru dengan bekas anak muridnya di Tebu Ireng. Puas ditolak namun Kiai Khalil Bengkalan tetap dengan pendiriannya untuk berguru dengan Kiai Hasyim Asy'ari. Akhirnya permintaannya itu dipersetujui beliau. Kiai Khalil Bengkalan/ Madura adalah seorang yang mahir dalam pelbagai ilmu, terutama dalam ilmu Nahu, Sorof, Balaghah, Fiqh dan lain-lain.

Hasil perguruan ulama yang dibicarakan ini dengan Kiai Khalil Bengkalan/Madura tersebut, beliau mempunyai kemahiran yang agak luar biasa dalam ilmu nahu bahasa Arab. Antara kitab yang menjadi kebiasaan dalam kelasnya ialah kitab Alfiah. Hal ini turut diperakui sendiri oleh Sheikh Mahmud al-Bukhari, yang menyatakan bahawa kemahirannya mendatangkan syahid dalam masalah nahu Arab, sehingga digelar sebagai Khalil Imran.

Menurut Ustaz Ahmad Mukhit, iaitu Mu'allim Indra Wangsa, menyatakan bahawa Kiai Khalil belajar hanya tiga tahun sahaja. Namun dalam masa tersebut beliau dikurung oleh gurunya dan menghabiskan seluruh masanya untuk mempelajari pelbagai ilmu. Dikatakan beliau tidak tidur sepanjang malam untuk mentelaah kitab-kitab sehingga menjelang Subuh. Bahkan, beliau juga dikatakan mendapat ilmu secara ladunni.

Karya penulisan
Kiai Khalil bin Abu Ammar juga menghasilkan karya-karya penulisan yang banyak. Boleh dikatakan hampir kesemua karya penulisan beliau adalah berasal daripada tulisan tangan beliau sendiri.
Berdasarkan penemuan karya penulisan tersebut, dilihat beliau banyak menghasilkan karya-karya dalam bidang-bidang tertentu iaitu ilmu nahu bahasa Arab, ilmu Falak, ilmu Qawa'id Fiqh dan sebagainya.


Kewafatan
Ketika berusia lebih 70 tahun, beliau kembali ke rahmatullah pada penghujung tahun 1978 selepas menunaikan haji bersama isteri, Nyai Salbiah dan anak perempuan mereka, Hajah Sofiyyah di Mekah. Jasadnya telah disembahyangkan di hadapan Kaabah dan dikebumikan di perkuburan Ma'la.

Penutup
Disebabkan kepadatan ruangan ini, maka banyak lagi maklumat-maklumat yang terdapat dalam kertas kerja tersebut tidak dapat dibicarakan selanjutnya. Namun, maklumat-maklumat lainnya boleh diperoleh dengan merujuk kertas kerja tersebut yang dihimpunkan dalam satu buku dengan judul Prosiding Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008, terbitan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

No comments:

Post a Comment

Author

Stats

Kata Hukama


About

Followers

Archives

Pelawat Seantero

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Sample Text

Kepada semua penulis asal, blogger atau sesiapa saja yang artikelnya saya petik dan masukkan di sini, saya memohon kebenaran dan diharap tidak dituntut di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya saya akan "quote" artikel asal dan sumbernya sekali, supaya apa yang dimaksudkan oleh penulis asal tidak lari atau menyeleweng. Saya ambil artikel-artikel penulisan untuk rujukan saya dan sahabat-sahabat pelawat. Saya masih cetek ilmu tidak sehebat sahabat-sahabat yang menulis artikel-artikel di blog ini. Jazakumullah khairan kathira kerana sudi menghalalkan ilmu untuk perkongsian seluruh masyarakat Islam

Popular Posts