Hadis Nabi

  • Ulama Pewaris Nabi

    Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم bersabda

  • إن الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ، إِنَّ اْلأَنْبِياَءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْناَرًا وَلاَ دِرْهَماً إِنَّمَا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

    “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bagian yang banyak.” (Tirmidzi, Ahmad, Ad-Darimi, Abu Dawud. Dishahihkan oleh Al-Albani)

    Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم bersabda

  • إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعاً يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِباَدِ، وَلَكِنْ بِقَبْضِ الْعُلَماَءِ. حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عاَلِماً اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوْساً جُهَّالاً فَسُأِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

    “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya dari hamba-hamba. Akan tetapi Dia mencabutnya dengan diwafatkannya para ulama sehingga jika Allah tidak menyisakan seorang alim pun, maka orang-orang mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Kemudian mereka ditanya, mereka pun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan.” (HR. Al-Bukhari no. 100 dan Muslim no. 2673)

Pesan Umar Abdul Aziz

"Jika engkau bisa, jadilah seorang ulama. Jika engkau tidak mampu, maka jadilah penuntut ilmu. Bila engkau tidak bisa menjadi seorang penuntut ilmu, maka cintailah mereka. Dan jika kau tidak mencintai mereka, janganlah engkau benci mereka." (Umar bin Abdul Aziz)

Biografi Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih

19:28

Tidak ada hari yang mengembirakan saya kecuali berjumpa dengan para ulama. Sebelum berjumpa dengan Syeikh Muhamad Kurayyim di Masjid al-Falah USJ 9 pada 19 Januari 2011, saya mengenalinya apabila menulis buku biografi Syeikh Hassan Habannakah dan beliau merupakan anak murid Hassan Habannakah bersama Syeikh Husain Kattab. Di samping itu, mendengar dari rakan-rakan saya yang pernah belajar di Syria. Beliau juga adalah rakan seperguruan dengan Syeikh Sa’id Ramadan al-Buti dan Wahbah al-Zuhayli.Syeikh Muhamad Kurayyim adalah pentashih al-Quran yang dibaca oleh umat Islam sekarang. 

 
Dalam konteks zaman moden, dua negara yang terkenal dengan pengajian qiraat dan pengajian tafsir iaitu Mesir dan Syria. Di Mesir terdapatnya pengajian Qiraat di Shubra dan di Tanta manakala di Syria terdapatnya Shaykh al-Qurra’ yang menjadi pakar rujukan dalam bidang tersebut. Pertemuan tersebut mengingatkan saya dengan guru al-Quran yang saya mengambil sanad al-Quran daripadanya iaitu Syeikh Mustafa di Masjid Husain, Kaherah. Syeikh Mustafa seorang yang buta tetapi hatinya tidak buta dan mengajar setiap pagi selepas subuh sehingga Zuhur di Masjid Husain sehingga beliau meninggal dunia setelah mengajar di situ lebih dari 25 tahun.
Latar belakang kehidupan

Syeikh Muhamad Kurayyim bin Sa’id bin Kurayyim Rajih dilahirkan di al-Maydan, Damsyiq, Syria.pada 1344H/1926M. Bapanya seorang yang buta huruf sementara ibunya seorang hafizah (penghafal al-Quran). (www.alislamnoor.com) www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html). Beliau merupakan seorang ahli al-Quran yang mendapat sanad ilmu al-Quran dan ilmu qiraat dari ulama Syam dan perkara ini diakui oleh Syeikh Ahmad al-Halwani.
 
Mula mempelajari  dan menghafal al-Quran sejak kecil dari ibu yang seorang yang alimah dan kemudian berguru dengan Syeikh Yassin Zarzur. Seperti kanak-kanak lain, beliau belajar di Kuttab dengan guru-guru seperti Syeikh Yassin Zarzur, anaknya Muhamad Zarzur, Syeikh Adib Sabban dan Syeikh Abu Rasyad al-Lubni. Semasa tamat di kuttab, umurnya berusia lapan tahun dan memasuki sekolah yang didirikan oleh Syeikh Ali al-Duqr (m.1362H) yang dinamakan Sekolah Jam’iyyah al-Ghara’. Beliau hanya bersekolah di sini selama setahun dan meninggalkannya kerana guru-guru terlalu kasar dan memukul pelajar secara keterlaluan. (www.alislamnoor.com).

Kemudian, beliau belajar dengan Syeikh Hassan Habannakah di Masjid Manjak, dan setelah mendapat sijil menengah, beliau menyambung pelajaran di Kuliah Syariah, Universiti Damsyiq dan diploma dalam bidang Pendidikan. Kemudian bertugas di Kementerian Wakaf sebagai guru. (www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html).

Hubungannya dengan Syeikh Husain Khattab.

Syeikh Kurayyim sejak kanak-kanak bekerja di kedai buku al-Hasyimiah yang dimiliki oleh Abu Akram al-Tarabishi dan kawan-kawan di situ sering mengajaknya bermain dan menonton wayang. Suatu hari apabila beliau pergi menonton wayang dan balik sehingga jam 12 tengah malam, maka ayahnya telah bertanya kepada beliau ke mana beliau pergi. Beliau menjawab,  beliau pergi menonton wayang. Bapanya menjawab alangkah  lebih baik dari menonton wayang itu dengan belajar al-Quran dari Syeikh Husain Khattab dan pelajaran agama.
 
Pada hari berikut, beliau pergi ke Masjid al-Qal’ah dan belajar dengan Syeikh Husain Khattab dan menghafal al-Quran dalam satu tahun. (www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html). Beliau juga menghafal Alfiah Ibn Malik dalam bidang tatabahasa dan Nihayah al-Tadrib iaitu matan kepada Ghayah al-Taqrib dalam fiqah al-Syafi’i karangan Imam Abi Sujak. Ketika itu, usianya antara 13 dan 14 tahun.

Syeikh Husain Khattab telah mengetahui kecerdikannya, lalu menyuruh Muhammad Kurayyim memasuki sekolah yang diasaskan oleh Syeikh Hassan Habannakah yang dinamakan Sekolah al-Jam’iyyah al-Tawjiyyah al-Islamiah. Sejak tahun 1940, beliau belajar dengan Syeikh Hassan sehingga gurunya itu meninggal dunia. Muhammad Kurayyim merupakan rakan baik kepada Abdul Rahman Habannakah (anak kepada Syeikh Hassan) dan mereka menganggap sebagai dua beradik. .(www.alislamnoor.com)

Menurut Abdul Rahman, apabila kerajaan melarang Hassan Habannakah dari mengajar di sekolah dan masjid, beliau terus mengajar di rumah selepas subuh atau sebelum Zuhur dan selepas Asar. Beliau juga mengadakan halaqah dengan anak muridnya yang telah menjadi khatib dan ulama seminggu sekali. Majlis ini dihadiri oleh Syeikh Husain Khattab, Muhammad Kurayyim Rajih, Abdul Razaq al-Halabi dan Sadiq Habannakah. Majlis-majlis ini dihadiri oleh murid-muridnya sehingga Hassan meninggal dunia pada tahun 1978. (Abdul Rahman, 2002:107)


Belajar Qiraat

Beliau belajar qiraaat sepuluh kecil (al-Qira’at al-‘Ashr) dengan ulamak qiraat seperti Syeikh Sulaim al-Hilwani (m.1363H) yang merupakan Shaykh al-Qura’ pada ketika itu dan menghafal al-Syatibiah dalam waktu masa yang singkat. Beliau menghafal al-Syatibiah sepuluh  bait sehari dan menamatkan hafalan dalam masa beberapa bulan sahaja. Apabila Syeikh Sulaim meninggal beliau belajar dengan Syeikh Ahmad al-Hilwani (m. 1384H) yang menjadi Syeikh al-Qura’ bagi mengantikan ayahnya. Beliau tamat belajar qiraat sepuluh dengan Syeikh Ahmad Sulaim al-Hilwani dan mengulangi bacaan qiraat sepuluh dengan Syeikh Mahmud Faiz al-Dir’atani.(m.1384H). (www.alislamnoor.com). Beliau mendapat ijazah sanad dari mereka semua mengenai ilmu qira’at.

Guru-gurunya.

Pada mulanya, beliau belajar qiraat bersama Husain Khattab dengan Syeikh Salim al-Hilwani dan anaknya Syeikh Ahmad al-Hilwani melalui cara al-Syatibiah dan al-Durrah. Merasakan belum puas menuntut ilmu, beliau bersama guru Syeikh Husain Khattab  belajar qiraat dengan Syeikh Abdul Qadir Quwaidir yang dikenali sebagai syeikh al-Samadiyyah di perkampungan Arabin, Utara Damsyiq. Mereka berdua belajar qiraat sepuluh dengan kaedah Taibah al-Nashar. (www.alislamnoor.com).

Qiraat tujuh (sab’ah) mahupun qiraat sepuluh (‘asyarah), ia adalah mutawatir daripada Rasulullah SAW. Ini bermakna, Rasulullah SAW membaca dengan kesemua qiraat ini. Qiraat tujuh dikupas dan dijelaskan oleh Imam al-Syatibi (538-590H) dalam bukunya Hirz al-Amani wa Wajhu al-Tahani dan Imam al-Jazari (751-833H) pula mengupas dan menyusunnya sehingga sepuluh qiraat. Tetapi, ini tidaklah bermakna Imam al-Jazari telah melakukan penambahan kepada ilmu ini sehingga menjadi sepuluh.
 
Perkara ini  berkemungkinan, Imam al-Syatibi pada zamannya hanya sempat mengumpul dan menyusunnya sehingga tujuh sahaja. Al-Jazari mengarang  ad-Durrah al-Mudhiah, kitab Qiraat tiga untuk menyempurnakan Qiraat tujuh oleh Imam as-Syatibi sehingga dikenali sebagai Qiraat Sepuluh Sughra. Setelah itu, pengumpulan dan pengkajian diteruskan oleh Imam al-Jazari sehingga lengkap menjadi sepuluh qiraat. Kesemua sepuluh qiraat Imam al-Jazari dikenali dengan al-Qiraat al-‘Asyarah al-Kubra. al-Jazari mengarang Tahbir al-Taisir, al-Nasyr Fi al-Qiraat al-`Asyr dan ringkasan  kitab al-Nasyr ke dalam bentuk matan dengan nama Tayyibah al-Nasyr Fi al-Qira’at al-`Asyr. (Nabil Muhammad Ibrahim, 2002;131,141-143 dan  254)

Muhamad Kurayyim mula mengajar qiraat dan memberi ijazah apabila usia 30 tahun setelah menghafal qiraat sepuluh sama ada kaedah al-Sughra (kecil) atau al-kubra(besar). Di samping itu sejak kecil menghafal al-Syatibiyyah, al-Durrah dan al-Taibah. Beliau juga pakar dalam ilmu tafsir, tatabahasa dan fiqah syafi’i. (www.alislamnoor.com). Di samping belajar dengan Syeikh Hassan, beliau juga belajar secara formal dan memasuki Fakulti Syariah, Universiti Damsyiq dan kemudian di Fakulti Pendidikan. (www.alislamnoor.com).

Syeikh al-Qura’ al-Syam (Tokoh al-Qur’an Negeri Syria)

Gelaran ini diberi kepada seorang insan yang diiktiraf keilmuannya dari segi ilmu al-Qur’an oleh ulama-ulama Damsyiq.. Gelaran ini bukan pekerjaan rasmi dan mendapat gaji bulanan tetapi ia merupakan tempat rujukan jika terdapat perbezaan dan perselisihan dalam ilmu-ilmu al-Quran terutama ilmu qiraat.  Beliau dilantik menjadi syeikh Qura’ selepas kematian syeikh Husain Khattab pada tahun 1408H dan pengisytiharan dilakukan  oleh imam Masjid Syeikh Salih al-Alim di Masjid Umawi. Damsyiq. Kemudian diperakui oleh ulama seperti Abu Hassan al-Kurdi dan Syeikh Abdul Razzak al-Halabi dan keputusan tersebut dipersetujui oleh Kementerian Wakaf melalui menterinya ketika itu. (www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html.)


Beliau mula mengajar ketika berusia 18 tahun di Masjid dan kemudian menjadi guru di sekolah kerajaan seperti sekolah perempuan di al-Maydan, Damsyiq. Kemudian bertukar dan mengajar di sekolah agama di sana selama 40 tahun dan mengajar ilmu Quran, Tafsir, dan bahasa Arab. Sekarang beliau mengajar di Maahad al-Fatah, Damsiq dalam peringkat Takhassus. Beliau mengajar al-Bahr al-Muhid karangan Abi Hayyan, Fiqah perbandingan dan tajwid. Beliau juga mengajar di Majma’ al-Kaftoro (Universiti Abu Nur) Beliau juga menjadi ahli Fatwa di beberapa masjid di Damsyiq. (www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html/www.alislamnoor.com).

Beliau mengajar orang awam di Masjid Hassan setiap hari Selasa dan juga di Masjid Mansur setiap hari selepas solat Subuh dan tafsir setiap hari Khamis selepas Maghrib. Beliau juga seorang Khatib yang berkaliber dan bersemangat. Kini beliau merupakan Khatib di Masjid Hassan di al-Maydan. Antara buku-buku yang digunakan semasa mengajar ialah di Masjid Mansur ialah tafsir al-Qurtubi, al-Sharqawi syarah al-Tahrir karangan Syeikh Zakaria al-Ansari dalam fiqah al-Syafi’i, Syarah Muslim karangan Imam al-Nawawi, Tadrib al-Rawi karangan al-Sayuti, Ihya’ Ulumiddin karangan Imam al-Ghazali, Subul al-Salam karangan San’ani dan Fiqh al-Manhaji. (www.alislamnoor.com). Beliau juga merupakan seorang yang berakhlak mulia dan  tegas dalam menyatakan kebenaran terutama dalam berkhutbah. Menurut Mohd Naim Mohd Nor, Exco Dakwah ABIM, Muhamad Kurayyim  juga merupakan seorang yang suka berseloroh dan kelakar ketika mengajar.

Karangan:

i. Iktisar Tafsir Ibn Kathir- 2 jilid-Dar al-Ma’rifah, Beirut, 1999
ii. Awda’ al-Bayan fi Syarah wa Tafsir al-Qur’an
iii. Mukhtasar Tafsir al-Qurtubi-5 jilid. Dar al-Kitab al-Arabi, Beirut,1987
iv. al-Maysir fi al-Qira’at al-Arba’ah ‘Ashar-Ibn Kathir – Damsyiq, 1995.
v. al-Qira’at al-‘Ashr al-Mutawatirah- Dar Muhajir, Madinah al-Munawwarah, 1994.

Bidang penulisan beliau adalah bidang qiraat dan tafsir. Beliau telah membuat ringkasan qiraat empat belas dan juga ringkasan tafsir Ibn Kathir dan al-Qurtubi.

Beliau juga amat menyukai syair terutama Syair Ahmad Shauqi dan Mustafa Akramah. Beliau juga mengarang beberapa syair tetapi beliau tidak menjadikan syair sebagai tugas rasmi dan membaca dalam majlis-majlis tertentu terutama dalam memperingati guru-gurunya. (www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html. (tarikh akses 21 Jan. 2010)

Beliau telah dikurniakan 9 orang anak, enam lelaki dan 3 orang perempuan. Sementara anak muridnya yang belajar dengannya di Masjid dan mendapat ijazah qiraat terlalu ramai dan salah seorang anak muridnya telah mengarang buku yang memuatkan nama-nama pelajar yang mendapat ijazah al-Quran dari beliau. Buku tersebut ditulis oleh Syeikh Abdullah Husain al-Somali yang berjudul al-Atar al-fa’ih fi Asanid wa talamidh al-Shaykh Kurayyim Rajih. (www.alislamnoor.com).

Syeikh Kurayyim juga menyusun al-Qira’at al-Ashr al-Mutawatirah bersama Alawi bin Muhammad al-Balfaqiyyah. Buku ini menghimpunkan secara ringkas qira’at sepuluh dari kaedah (Turuq) al-Syatibiiah dan al-Durrah bersama dengan mashaf al-Quran. Perkara ini memudahkan pembaca meneliti qiraat tanpa melihat kepada buku qiraat yang lain. Begitu juga setiap al-Quran yang dicetak di dunia Arab khususnya di Syria perlu pentahsihan dari lujnah ulama.
 
Syeikh Kurayyim merupakan salah seorang pentahsih al-Quran bersama al-Marhum al-Tayyib Abu al-Yusr, al-Marhum Abdul Aziz ‘Uyun, Ustaz Marwan Siwar dan Ustaz Aziz Abidin. (Muhammad Kurayyim Rajih,1994)  Beliau juga membuat perakuan kepada buku ‘ilm Qiraa’at karangan Nabil bin Muhamad Ibrahim Al Isma’il. Buku ini mengupas mengenai perkembangan ilmu qiraat, jalan dan kaedah pembacaan serta qiraat yang masyhur dan qiraat yang janggal. Buku ini juga membicarakan mengenai madrasah  dan aliran qiraat serta kesannya kepada ulum syariah.
 
Bacaan Qiraat ialah :
•    Qiraat Nafi’
•    Qiraat Ibn Kathir
•    Qiraat Abi Umru al-Basri
•    Qiraat Ibn Amir
•    Qiraat Asim
•    Qiraat Hamzah
•    Qiraat al-Kasa’i

Sebahagian ulama menambahkan tiga lagi qiraat menjadi ia sepuluh qiraat yang mutawatir iaitu Imam Abu Jaafar,  Imam Ya’aqub dan Imam Khalaf Al-Asyir.

Bibliografi .

Abdul Rahman Habnnakah.2002. Al-Walid al-Da’i Shaykh Hassan Habnnakah. t.p.
Pertemuan dengan Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih pada 19 Januari di Masjid USJ 9, Subang Jaya.
Pertemuan dengan Mohd Naim Mohd Nor pada 19 Januari di Masjid USJ 9, Subang Jaya.
(www.alislamnoor.com). (Tarikh akses 21 Jan. 2011)
(www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html) (Tarikh akses 21 Jan. 2011)
Muhammad Kurayyim Rajih.1994.  al-Qira’at al-Ashr al-Mutawatirah, Madinah al-Munawwarah, Dar al-Muhajir.
Nabil Muhammad Ibrahim al Ismail2002. ‘ilm al-Qira’at, Riyadh: Dar al-Malik Abdul Aziz.

Nabil Muhammad Ibrahim. 2002. ‘Ilm al-Qira’at, Riyadh : Dar al-Malik Abdul Aziz.
Oleh : Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

You Might Also Like

0 comments

Kalam Murabbi

Ilmu, kemahiran dan segala pemberian yang datang dari ALLAH tidak hadir secara percuma, Ia datang dengan tanggungjawab. Ilmu yang diberikan oleh ALLAH itu menuntut kepada kita untuk diamalkan.

Almarhum Tuan Guru Dato` Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz b Haji Nik Mat

Archives

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images

Subscribe