Biografi Sayid Syeikh Al-Hadi
10:12Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Terdapat pertikaian pendapat tentang tarikh dan tempat lahir Sayid Syeikh al-Hadi. Pendapat pertama menyebut bahawa beliau lahir di Kampung Hulu, Melaka, pada hari Jumaat, 25 Rejab 1281 Hijrah/24 Disember 1864 Masihi. Dalam buku Sayid Syeikh Al-Hadi, Sasterawan Progresif Melayu karya Talib Samat, hari lahirnya ialah hari Selasa (lihat hlm. 1), buku Jadwal Tarikh, Bulan dan Tahun Hijri-Masihi, jilid 14 karya Raja Haron bin Raja Mohammad Salleh (manuskrip) tarikh 25 Rejab 1281 Hijrah bukannya hari Selasa, tetapi adalah hari Jumaat. Maklumat di Muzium Islam Melaka pula dinyatakan bahawa beliau lahir pada tahun 1278 Hijrah/1862 Masihi. Selain itu ada lagi yang menyebut bahawa Sayid Syeikh al-Hadi lahir pada tahun 1867 Masihi.
Dalam buku Pendokumentasian Naskah Kuno Melayu dan Kajian Khusus, Hasan Junus menyebut bahawa Sayid Syeikh al-Hadi ``lahir di Pulau Penyengat pada akhir tahun 1860-an atau awal tahun 1870-an.'' (hlm. 128). Beliau meninggal dunia di rumahnya No. 410, Jalan Jelutong, Mukim Jelutong, Pulau Pinang pada 6 Zulkaedah 1352 Hijrah/20 Februri 1934 Masihi.
Ayahnya Sayid Ahmad bin Sayid Hasan as-Saqaf al-Hadi.lahir pada hari Khamis, di Kampung Hulu Melaka, 1 Syawal 1253 Hijrah/29 Disember 1837 Masihi dan meninggal dunia di Penyengat, Riau pada Sabtu, 15 Zulhijjah 1312 Hijrah/9 Jun 1895 Masihi. Sayid Syeikh al-Hadi termasuk dalam golongan kerabat diraja Riau-Lingga kerana ayah saudaranya, Sayid Muhammad al-Hadi berkahwin dengan Syarifah Hasyimah binti Sayid Utsman as-Saqaf. Sebelah ibu Syarifah Hasyimah ini adalah keturunan Upu Daeng Celak, iaitu jalur ke atas golongan Diraja Riau-Lingga.
PENDIDIKAN
Jika kita ikuti perkembangan pada masa kanak-kanak dan remaja Sayid Syeikh al-Hadi, maka kita peroleh data pendidikannya dimulai di Kampung Hulu Melaka, Pulau Penyengat (Riau), Kuala Terengganu, Mekah al-Mukarramah dan Cairo (Mesir). Pendidikan terawal dan asas diperolehnya daripada orang tuanya sendiri, sekali gus memasuki sekolah agama dan Sekolah Melayu Settlements di Melaka. Pendidikan di Penyengat Riau pula adalah pendidikan khusus bersama-sama golongan elit Kerabat Diraja Riau-Lingga kerana Sayid Syeikh al-Hadi sendiri tinggal bersama Raja Ali Kelana, saudara kandung Sultan Abdur Rahman Mu'azzam Syah, iaitu Sultan Riau-Lingga yang terakhir.
Di Penyengat, Riau, selain belajar kepada Raja Ali Kelana, beliau juga belajar kepada Raja Haji Muhammad Tahir bin Marhum Mursyid, Hakim Kerajaan Riau-Lingga, juga kepada Al-'Alim Al-'Allamah Al-Ustaz Tuan Guru Haji Husein. Antara sahabat Sayid Syeikh al-Hadi dalam pengajian tersebut ialah Raja Haji Muhammad Sa'id bin Raja Haji Muhammad Thahir, Raja Ali bin Raja Muhammad/Tengku Nong, dan ramai lagi.
Sayid Syeikh al-Hadi juga dikirim ke pengajian pondok di Terengganu. Setelah menimba ilmu pengajian pondok, tetapi kurang mendalam di Terengganu, Sayid Syeikh al-Hadi berpatah balik ke Penyengat, Riau untuk lebih memantapkan dan memperdalam ilmunya terutama ilmu bahasa Melayu dan bahasa Arab untuk komunikasi kerana Raja Ali Kelana akan membawa Sayid Syeikh al-Hadi berangkat ke Mekah. Selain menunaikan ibadah haji, sekali gus Raja Ali Kelana akan menemui gurunya Syeikh Ahmad al- Fathani untuk membicarakan pelbagai persoalan termasuk politik yang begitu tertekan oleh kaum penjajah.
Dalam tahun 1312 Hijrah/1895 Masihi sewaktu Raja Ali Kelana dibawa oleh gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani ke Turki, Sayid Syeikh al-Hadi menemani Raja Ali Kelana, sama-sama berangkat dari pelabuhan Singapura ke Jeddah. Dalam perjalanan itulah Sayid Syeikh al-Hadi tinggal di Mesir dan sempat belajar kepada Syeikh Muhammad Abduh
AKTIVITI
Aktiviti Sayid Syeikh al-Hadi secara garis besarnya dapat dibahagikan kepada empat kelompok ialah: a) Aktiviti organisasi, b) Aktiviti menolong Raja Ali Kelana, c) Aktiviti pendidikan. d) Aktiviti penulisan. Organisasi yang pertama didirikan oleh orang Melayu ialah Jam'iyatul Fathaniyah oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah (1290 Hijrah/1873 Masihi) yang diikuti oleh Jam'iyatul Rusydiyah atau Rusydiyah Klab, 1298 Hijrah/1880 Masihi, oleh murid-murid beliau di Riau-Lingga.
Sayid Syeikh al-Hadi aktif dalam Rusydiyah Klab yang di-nyatakan sebagai Timbalan di Mekah ketika beliau masih seorang pelajar. Hingga tahun 1896 Masihi, Sayid Syeikh al-Hadi masih memegang jawatan pertubuhan itu di Mekah.
Sayid Syeikh al-Hadi adalah orang kepercayaan Raja Ali Kelana mengurus Syarikat Batam Bricks Works Limited yang bergerak dalam pemprosesan batu-bata di Pulau Batam, Riau. Syarikat itu mempunyai cawangan dan beribu pejabat di Singapura. Apabila kita bercerita tentang Raja Ali Kelana dalam bidang usahawan, ia melibatkan sekurang-kurangnya dua tokoh usahawan Riau-Lingga, iaitu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji `Umar dan Raja Ali bin Raja Muhammad/Tengku Nong. Bererti kedua-dua tokoh ini juga bersahabat karib dengan Sayid Syeikh al-Hadi. Sayid Syeikh al-Hadi telah berkhidmat kepada Raja Ali Kelana dalam perusahaan batu-bata mulai tahun 1325 Hijrah/1907 Masihi hingga berakhirnya syarikat itu pada tahun 1329 Hijrah/1911 Masihi.
Raja Ali Kelana pindah ke Johor, lalu dilantik sebagai Syaikhul Islam Kerajaan Johor. Disebabkan Raja Ali Kelana sangat besar pengaruhnya di dalam Kerajaan Johor, ia memberi kesempatan kepada Sayid Syeikh al-Hadi mendapat kedudukan dalam Kerajaan Johor pada tahun 1909 - 1915 Masihi. Sayid Syeikh al-Hadi menjadi peguam di Mahkamah Syariah Johor Bahru.
Dalam bidang pendidikan, pada tahun 1907 Masihi, Sayid Syeikh al-Hadi mengasaskan Madrasah Al-Iqbal di Seligie Road, Singapura. Oleh kerana madrasah itu tidak mendapat sambutan, maka ia dipindahkan ke Penyengat, Riau. Sayid Syeikh al-Hadi mendirikan Madrasah Al-Hadi di Bandar Kaba, Melaka pada tahun 1917 Masihi tetapi hanya bertahan setahun saja. ia ditutup pada tahun 1918 Masihi. Kemudian ia diteruskan di Pulau Pinang pada tahun 1919 Masihi dengan nama Madrasah al-Masyhur al-Islamiah di Tek Soon Street, Pulau Pinang. Hanya madrasah yang didirikan terakhir inilah perjuangan Sayid Syeikh al-Hadi dalam dunia pendidikan meninggalkan kesan yang tidak dapat dinafikan.
Pada tanggal 22 Julai 1906, Sayid Syeikh al-Hadi bersama Syeikh Muhammad bin Salim al-Kalali, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Abbas Taha menerbitkan majalah Islam yang dinamakan Al-Imam. Dalam terbitan-terbitannya dinyatakan pada halaman depan dalam bahasa Melayu, ``Al-Imam Majalah Perlajaran Pengetahuan Perkhabaran''. Pada bahagian bawahnya tertulis, ``Dikeluarkan di Singapura pada tiap-tiap sehari bulan Arabi oleh mudirnya Asy-Syeikh Muhammad Salim al-Kalali, nombor 19 Wailid Road''. Daripada kalimat ini jelas bahawa mudir Al-Imam adalah Syeikh Muhammad bin Salim al-Kalali bukan Sayid Syeikh al-Hadi.
Menghairankan, kerana beberapa jilid Al-Imam yang ada pada penulis tidak terdapat nama Sayid Syeikh al-Hadi dalam Bibliografi, sedangkan nama Syeikh Muhammad bin Salim al-Kalali hampir semua terbitan terpampang namanya pada halaman kulit.
Beberapa orang pengkaji menyebut bahawa Al-Imam adalah majalah Melayu-Islam yang pertama dalam bahasa Melayu. Mengenai ini juga tercatat dalam salah satu terbitan Al-Imam.Tetapi dalam buku yang diterbitkan tahun 2002, berjudul Sultan Abd Al-Hamid II Dan Kejatuhan Khilafah Islamiah karangan Dr. Eeman Mohamed Abbas dinyatakan bahawa dalam tahun 1318 Hijrah/1900 Masihi telah wujud majalah-majalah Jajahan Melayu, Lengkongan Bulan dan Cahaya Pulau Pinang. Maklumat ini memberikan pengetahuan baru bagi kita, bahawa majalah-majalah tersebut telah mendahului Al-Imam sekitar enam tahun.
Al-Imam yang mulai terbit tahun 1906 itu tidak bertahan lama, setakat hingga tahun 1908 Masihi. Selanjutnya Sayid Syeikh al-Hadi menerbitkan majalah Al-Ikhwan di Pulau Pinang. Terbitan pertama pada 16 September 1926 Masihi dan berakhir dengan terbitan September 1931 Masihi. Terbit pula Akhbar Saudara mulai 29 September 1928 Masihi. Sayid Syeikh al-Hadi menulis dalam akhbar tersebut hingga Februari 1934 Masihi.
Selain majalah, pengkaryaan Sayid Syeikh al-Hadi dikategorikan kepada tiga kelompok iaitu, a). Mengenai Agama Islam, b). Novel/Sastera, dan c). Penulisan Kewartawanan. Penulisan keislaman ialah
1.At-Tarikhul Islami, cetakan pertama Al-Imam Printing Press, Singapura, 1922.
2. Tafsir Juz Amma, cetakan pertama The Jelutong Press, Pulau Pinang, 1927.
3. Tafsir Al-Fatihah, cetakan pertama The Jelutong Press, Pulau Pinang, 1928.
4. Alam Perempuan, cetakan pertama The Jelutong Press, Pulau Pinang, 1930.
5. Kitab Agama Islam dan Akal, cetakan pertama The Jelutong Press, Pulau Pinang, 1931.
6. Kitab Agama Islam, I'tiqad dan Ibadat, cetakan pertama The Jelutong Press, Pulau Pinang, 1931.
7. Hadiah Kebangsaan, cetakan pertama The Jelutong Press, Pulau Pinang, 1933.
Penulisan yang bercorak novel/sastera ialah Hikayat Faridah Hanum, cetakan pertama, 1925. Di Penyengat, Riau penulis menemui karangan-karangan Sayid Syeikh al-Hadi yang beliau kirim sebagai hadiah kepada sahabatnya bernama Raja `Abbas bin Raja `Abdul Muthallib. Pada halaman pertama terdapat tanda tangan Raja `Abbas bertarikh 1 Mac 1929. Data hadiah pengarang Sayid Syeikh al-Hadi di antaranya ialah: Angan-Angan Kehidupan/The Moral Trainer. Bilangan Yang Pertama, Bagi Bulan Disember 1927, Tahun Yang Pertama. Penggal Yang Kedua. Tempat Penulisan: 555 Jelutong Road, Penang. Kandungan: Menceritakan kisah percintaan Mahir Afandi dan Iqbal Hanim. Tulisan huruf Melayu/Jawi. Cetakan pertama The Jelutong Press, Penang, 1927.
Angan-Angan Kehidupan/The Moral Trainer. Bilangan Yang Kelima, 25 Februari 1928, Tahun Yang Pertama. Penggal Yang Kedua. Kandungan: Menceritakan kisah anak dara Ghassan atau Hammad dan Hindun.Tulisan huruf Melayu/Jawi. Cetakan pertama The Jelutong Press, Penang, 1928. Dan yang lain-lain penulis tinggalkan sahaja.
Demikianlah tentang Sayid Syeikh al-Hadi pada konteks penyebaran ilmu, ketokohannya yang mengundang kontroversi yang pernah hangat dibicarakan tentang Kaum Tua dan Kaum Muda penulis tinggalkan sahaja. Ini kerana perkara khilafiyah jika dibicarakan tidak akan ada penghujungnya. Oleh itu sebaik-baiknya tidak dibicarakan kecuali jika tidak dapat dielakkan
sumber
0 comments