Biografi Tok Pulai Chondong
22:29Pada tahun 1820 Masehi, Tok Pulai Condong telah membuka sebuah penempatan baru yang dikenali dengan nama Kampung Bilal Talib yang lokasinya tidak jauh dari Kampung Bukit, kawasan penempatan yang dibuka oleh datuknya satu masa dahulu. Sebaik sahaja penempatan ini dibuka, Tok Pulai Chondong pun membina sebuah surau. Surau ini terletak berhampiran dengan sebatang pokok pulai yang dikatakan condong. Maka dengan keadaan pokok itu, masyarakat setempat telah memberi gelaran Tok Pulai Chondong kepadanya sempena keberhasilannya membuka kampung berkenaan dan membina surau berdekatan pokok pulai. Surau itu menjadi pusat pengajian pondok, di mana pelajarnya datang dari pelusuk nusantara seperti Kampar, Sumatera, Kemboja, Pattani, Terengganu dan negeri lain di Semenanjung. Selepas kewafatannya, urusan pondok itu diambil alih anaknya Muhammad Arsyad. Diriwayatkan bahawa Tok Pulai Chondong ada mendirikan masjid pada 1820 tetapi musnah dalam kebakaran dan sekali lagi membina masjid baru sebelum musnah dalam kebakaran buat kali kedua pada tahun 1856 akibat perbuatan khianat. Masjid yang baru kemudiannya dibina dan lokasinya dipindahkan ke Kampung Surau. Masjid itu dikenali sebagai Masjid Tok Pulai Condong yang digunakan hingga sekarang. Masjid yang baru didirikan ini kemudiannya dilengkapkan dengan mimbar, gendang dan menara. Sehingga kini menara Masjid Pulai Chondong menjadi lambang kemegahan masyakarat setempat sejak ia dibina oleh Tok Pulai Chondong pada tahun 1856. Menara masjid itu menjadi objek kemegahan tempatan kerana ia dibina oleh Tok Pulai Condong sendiri. Menara setinggi 57 kaki (18 meter) itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana dibina menggunakan sebatang kayu cengal tanpa bersambung. Selain itu, menara masjid berbentuk lapan segi dengan ukur lilit 12 kaki (empat meter) itu, mempunyai 23 anak tangga, digunakan oleh bilal untuk melaungkan azan. Keteguhan menara itu teruji apabila negeri Kelantan dilanda ribut besar pada tahun 1880 sehingga menyebabkan banyak pokok tumbang, tetapi menara itu tetap teguh dan tidak terusik.
Tambah almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir lagi, Pada masa tuanya beliau terkenal sebagai seorang sufi yang warak, banyak membaca pelbagai wirid dan zikir. Zikir jihar dan zikir sirr semuanya beliau kerjakan dengan tekun sepanjang siang dan malam. Doa yang paling sering diamalkannya ialah Hizb al-Bahri yang sanadnya bersambung dengan pengamalnya yang mula-mula iaitu Wali Allah Saiyidi Syeikh Abi Hasan asy-Syazili. Hizb al-Bahri telah beliau ijazahkan kepada beberapa muridnya di Makkah. Antaranya ialah orang Arab bernama Syeikh Ahmad bin As'ad ad-Dihan. Syeikh Ahmad ad-Dihan yang kemudiannya mengijazahkan pula kepada Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani. Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani menulis doa tersebut dalam sebuah kitab yang diberi judul Lum'ah al-Aurad. Daripada sinilah ia tersebar secara meluas dan banyaklah orang mengamalkan Hizb al-Bahri melalui penerimaan ijazah daripada seorang guru ke seorang guru hinggalah ke hari ini.[4] Tokoh ini diriwayatkan meninggal dunia di Makkah pada 1874 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maala berhampiran dengan makam Saidatina Siti Khadijah.
0 comments