Hadis Nabi

  • Ulama Pewaris Nabi

    Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم bersabda

  • إن الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ، إِنَّ اْلأَنْبِياَءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْناَرًا وَلاَ دِرْهَماً إِنَّمَا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

    “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bagian yang banyak.” (Tirmidzi, Ahmad, Ad-Darimi, Abu Dawud. Dishahihkan oleh Al-Albani)

    Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم bersabda

  • إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعاً يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِباَدِ، وَلَكِنْ بِقَبْضِ الْعُلَماَءِ. حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عاَلِماً اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوْساً جُهَّالاً فَسُأِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

    “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya dari hamba-hamba. Akan tetapi Dia mencabutnya dengan diwafatkannya para ulama sehingga jika Allah tidak menyisakan seorang alim pun, maka orang-orang mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Kemudian mereka ditanya, mereka pun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan.” (HR. Al-Bukhari no. 100 dan Muslim no. 2673)

Pesan Umar Abdul Aziz

"Jika engkau bisa, jadilah seorang ulama. Jika engkau tidak mampu, maka jadilah penuntut ilmu. Bila engkau tidak bisa menjadi seorang penuntut ilmu, maka cintailah mereka. Dan jika kau tidak mencintai mereka, janganlah engkau benci mereka." (Umar bin Abdul Aziz)

Biografi Sheikh Al-Islam Mustafa Sabri

12:48


Mustafa Sabri dilahirkan pada tahun 1869 di bandar Tokat yang terletak di kawasan Anatolia Laut Hitam. Zaman kelahiran beliau adalah zaman yang menyaksikan Khilafah Othmaniyyah sedang merudum runtuh oleh seribu satu sebab yang ada pada masa itu. Pada tahun 1908, Sheikh Mustafa Sabri telah menjadi wakil rakyat bagi bandar Tokat di Meclis-i Mebusan iaitu Parlimen Kerajaan Othmaniyyah. Jawatan ini terhasil selepas kelantangan beliau menyuarakan pendapatnya di Majlis Tempatan Tokat, kampung halaman kelahiran beliau

Apabila Parti Hürriyet ve İtilaf memperolehi kuasa pemerintahan pada tahun 1919, kerajaan telah dibentuk di bawah kepimpinan Damad Farid Pasha. Sheikh Mustafa Sabri telah dilantik pada tahun 1920 menjadi Sheikh al-Islam. Mustafa Sabri kemudiannya dikenali sebagai Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi (gelaran Efendi diberikan mengikut tradisi kerajaan Othmaniyyah kepada ilmuan agama).

Semasa Perdana Menteri ketika itu melawat Paris bagi menghadiri suatu perhimpunan di sana, Mustafa Sabri telah dilantik sebagai pemangku yang mempengerusikan kerajaan. Semasa inilah pertembungan pendapat dan perbezaan fahaman telah meruncing di antara Mustafa Sabri dengan menteri-menteri yang lain sehingga beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Sheikh al-Islam dan kemudiannya menubuhkan partinya sendiri yang juga dikenali sebagai Parti Hürriyet ve Itilaf tetapi Mu’tadil iaitu yang sederhana dan adil.

Perletakan jawatan beliau inilah yang mengundang hari-hari yang hitam di dalam hidupnya. Sadık Albayrak berkata, “Sheikh al-Islam Mustafa Sabri sentiasa menyeru kepada Syariah serta mahu menempatkan kalimah Allah di dalam pemerintahan dan masyarakat”.

Namun, Sheikh al-Islam Mustafa Sabri semasa itu menjadi minoriti yang menongkah arus. Beliau berhadapan dengan gelombang proses pembaratan yang amat dahsyat. Perlucutan Islam daripada pemerintahan dan kehidupan masyarakat berlaku dengan begitu drastik .

Realiti di masa itu tidak melemahkan semangat beliau. Mustafa Sabri terus komited menyuarakan Islam di mana-mana sahaja. Sedangkan pada masa itu kebanyakan Ulama sudah lemah upaya untuk berdiri tegak seiring dengan Mustafa Sabri.

Era itu menyaksikan bagaimana kaum wanita diseru untuk keluar dari rumah masih-masing dan bermusafir sebebas-bebasnya. Sheikh al-Islam dengan tegas dan lantang menyuarakan penentangannya terhadap usaha ‘pembebasan’ palsu ini. Ia lebih merupakan usaha pembebasan wanita dari ikatan agama dan mengungkaikan kemuliaan yang dikurniakan Islam kepada wanita selepas mereka terhina di zaman Jahiliyyah.

Pada tahun 1922, Mustafa Sabri telah dibuang negeri. Beliau telah bermusafir ke Yunan (Greece) dan telah mengumpulkan masyarakat Muslim Turki di kawasan Trakia (Thrace) serta menyatukan mereka. Beliau juga telah menerbitkan akhbar berbahasa Turki Othmaniyyah yang menggunakan huruf Arab dan akhbar tersebut diberi nama ‘Yarın’ bermakna ‘Esok’. Akhbar ini penuh memuatkan kritikan terhadap fahaman barat semasa itu terutamanya aliran Kemalisma yang dibawa oleh Atatürk, terutamanya proses menukar keperibadian umat Islam melalui proses pembaratan agresifnya. Majalah Yarın ini menjadi bahan kajian yang sangat penting kepada ahli sejarah yang mahu mengkaji idea-idea penentangan kepada Revolusi Ataturk.

Dari Greece, Mustafa Sabri telah bermusafir ke Mesir untuk menyebar luaskan seruan beliau. Kemudiannya beliau ke Hijaz, seterusnya kembali semula ke Mesir dan bermastautin di ibu kota Kaherah. Semasa di Kaherah, Sheikh al-Islam telah menyeru kepada sekalian umat Islam agar kembali kepada perlaksanaan Syariat Islam dan meninggalkan fahaman sekularisma yang semakin menular di dalam masyarakat. Kehadiran dan seruan Mustafa Sabri telah menggusarkan golongan sekular di Mesir yang pro Revolusi Atatürk.

Mustafa Sabri telah menghasilkan banyak buku di dalam Bahasa Turki dan Arab. Akan tetapi di kalangan hasil tulisan itu, kitabnya yang paling masyhur adalah Mauqif al-‘Aql wa al-‘Ilm wa al-‘Aalam min Rabb al-‘Alamin wa Ibadihi al-Mursalin (Kedudukan Akal, Ilmu dan Alam di Dalam Hubungannya Dengan Rabbul Alamin dan Para Rasul). Ia diterbitkan di Kaherah pada tahun 1950.

MUSTAFA SABRI DAN MASALAH PEMISAHAN DI ANTARA AGAMA DAN POLITIK

Permasalahan ini adalah di antara permasalahan paling utama yang dibahaskan oleh Mustafa Sabri di dalam kitabnya Mauqif al-‘Aql wa al-‘Ilm wa al-‘Aalam min Rabb al-‘Alamin wa Ibadihi al-Mursalin. Mustafa Sabri memulakan perbahasan dengan menerangkan pandangan beliau tentang tulisan Dr. Haikal Pasha di dalam bukunya Hayat Muhammad. Kata Sheikh al-Islam, “Walaupun Islam di Mesir telah pun dipisahkan daripada negara dan kerajaan dengan membahagikan mahkamah kepada Mahkamah Syariah dan Sivil, serta mengeluarkan Sheikh al-Azhar daripada kabinet menteri dan sebagainya, namun Haikal Pasha mahukan pemisahan itu berlaku di dalam bentuk yang lebih terang iaitu dengan menghapuskan terus Islam daripada kedudukannya sebagai agama rasmi negara sebagaimana yang terjadi kepada Turki Baru (Turki di bawah kuasa Ataturk). Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi menegaskan bahawa seruan seperti itu adalah seruan yang mengeluarkan negara dari pegangan Islam. Sokongan masyarakat dengan mendokong kerajaan seperti ini juga adalah sokongan yang mengeluarkan mereka dari Islam. Dalam erti kata yang lain, seruan sedemikian rupa adalah seruan kepada murtadnya kerajaan dan murtadnya Ummah!

KESIMPULAN FIKRAH YANG DIPERJUANGKANNYA
Di antara isi penting fikrah yang diperjuangan oleh Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi, adalah seperti berikut:  
  1. Membangunkan umat Islam untuk bangkit menghapuskan segala anasir sekularisma serta pembaratan tamadun dan akhlak.
  2. Berpegang teguh dengan jalan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.
  3. Mengembalikan Khilafah Islamiyyah.
Selain kitab Mauqif al-‘Aql wa al-‘Ilm wa al-‘Aalam min Rabb al-‘Alamin wa Ibadihi al-Mursalin,  di antara kitabnya yang juga terkenal adalah Dini Mucedditleri (Mujaddid-mujaddid Agama), Mes‘eletü Tercemet-il-Kur‘an (Masalah-masalah Terjemahan al-Quran), Savm Risâlesi (Risalah Puasa), El-Kavl-ül Fasl (Kata-kata Pemutus) dan lain-lain.
Semenjak sekian lama, Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi di mata pendokong Kemalisma, adalah seorang penjenayah yang mengancam negara. Beliau bersama sejumlah besar Ulama’ dan tokoh masyarakat telah dihukum dengan pelbagai peruntukan undang-undang. Ada yang dihukum bunuh, dipenjara dan ada juga yang dibuang negeri seperti Mustafa Sabri. Walau bagaimana pun semasa beliau berada di Mesir, Mustafa Sabri bersama-sama dengan 150 orang  yang lain telah ‘dikurniakan pengampunan’ oleh kerajaan Atatürk
Akan tetapi Mustafa Sabri menolaknya dan enggan pulang ke Turki sehinggalah beliau meninggal dunia di Mesir pada tahun 1954. Sheikh al-Islam Mustafa Sabri telah meninggal dunia selepas perjuangannya yang panjang. Usaha beliau mempertahankan Islam dan berkata TIDAK kepada segenap lapisan masyarakat yang sudah mabuk Kemalisma dan segala yang datang dari Barat.
Semoga Allah merahmati Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi yang menjadikan tulang empat keratnya sebagai tiang penahan rebah Ummah di kala musnahnya Khilafah.
Kubur Syeikhul Islam Mustafa Sabri akhirnya ditemui. Misi kami pada petang Jumaat itu berjaya. Saya, Ustaz Munir dan Doktor Anas berpuas hati. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar. Saya akan menceritakan tentang peribadi Syeikhul Islam ini dalam posting yg lain.

Sudah 3 tahun lebih saya melalui jalan yg sama tapi tidak pernah saya perasan kewujudan papan tanda tersebut. Kali pertama saya perasan ialah ketika pulang daripada peperiksaan, menaiki teksi. Kebetulan, jalan sesak. Teksi terpaksa bergerak perlahan. Ketika itu kami berada di kawasan perkuburan. Maka, tatkala itulah saya terpandang sebuah papan tanda kecil di dinding sebuah bangunan. Akan tetapi, saya agak ragu. Adakah Syeikhul Islam dikebumikan di sini?


Apabila tiba di rumah, saya mencari-cari kitab karangan Syeikhul Islam. Satu-satunya kitab karangan Syeikhul Islam yg saya miliki, tajuknya Qouli fil Mar'ah. Malangnya, ia tidak memuatkan biodata beliau. Seingat saya, perpustakaan di Rumah KPT ada tersimpan kitab karangan beliau, Mauqiful 'Aqli wal... Saya memulakan pencarian. Tujuan utama hanya untuk mendapatkan maklumat tentang lokasi kubur beliau. Juga tiada biodata beliau.

Jadi, saya terpaksa menggoogle untuk mencari maklumat ini. Walaupun sejak awal lagi saya memang boleh merujuk kepada Encik Google tapi akhlak penuntut ilmu cuba saya amalkan. Rujukan utama untuk ilmu bukanlah internet. Tapi ketika mana terlalu berhajat, maka harapnya dimaafkan. Kaedah fiqhiyyah menyebut,' الحاجة تنزل منزلة الضرورة '. Maklumat ditemui. Terima kasih Islamweb.

Ya, beliau memang meninggal dunia di Mesir dan dikebumikan di Mesir. Beliau meninggal pada tahun 1373 Hijrah bersamaan 1954 Masihi. Saya yakin di situlah tempatnya. Tulisan pada papan tanda itu bukan tulisan Arab. Sangkaan saya mengatakan ia ditulis dalam bahasa Turki. Tulisannya rumi tapi bukan bahasa Inggeris. Mungkin ditulis sendiri oleh orang Turki untuk memberitahu lokasi kubur syeikh besar pada zaman Khilafah Turki Uthmaniah. Misi untuk menjejaki Syeikhul Islam mesti dilakukan.

Maka, saya menetapkannya pada hari Jumaat. Misi bermula setelah solat Jumaat di Masjid Al-Azhar. Kami menaiki bas 24 Jim. Lalu, kami berhenti berdekatan kawasan bangunan yg tertampal padanya papan tanda kecil itu. Kami berjalan dan terus berjalan. Sambil mata kami meliar mencari-cari tulisan berkaitan. Kami berundur kembali ke belakang dan terus mencari. Alhamdulillah, misi menjejaki kubur Syeikhul Islam akhirnya berjaya tapi setelah sesat beberapa ketika dan disalak anjing. Kubur beliau terletak dalam sebuah kawasan yg dikelilingi pagar batu. Pintu pagarnya pula dikunci dengan mangga.

Kubur Syeikhul Islam Mustafa Sabri
Kebetulan penjaga kubur Syeikhul Islam ada di situ. Lalu kami meminta beliau membukakan pintu untuk kami. Kami masuk lalu membaca Al-Fatihah dan berdoa. Di sekitarnya terdapat 3 buah kubur yg lain. Salah satunya kubur seorang ulama Al-Azhar. Jika ada kesempatan saya akan menulis tentang Syeikhul Islam Mustafa Sabri, insya Allah.

Batu nisan yg telah patah


Serpihan batu nisan yg disimenkan


Tertera, 1286 Hijrah - 1373 Hijrah. Hanya sebahagian kecil tulisan pada kepingan batu ini ditulis dalam bahasa Arab. Abjadnya abjad Arab tapi bukan bahasa Arab. Mungkin seperti tulisan jawi di Tanah Melayu satu ketika dahulu.

Kubur di sebelah kiri gambar merupakan kubur seorang ulama Al-Azhar

sumber

You Might Also Like

0 comments

Kalam Murabbi

Ilmu, kemahiran dan segala pemberian yang datang dari ALLAH tidak hadir secara percuma, Ia datang dengan tanggungjawab. Ilmu yang diberikan oleh ALLAH itu menuntut kepada kita untuk diamalkan.

Almarhum Tuan Guru Dato` Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz b Haji Nik Mat

Archives

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images

Subscribe