Biografi Megat Sati Raja
12:37 Tiada ditemui suatu senarai yang lengkap mengenai nama-nama murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri, iaitu ulama terkenal yang berasal dari India yang menetap lama di Pahang dan Aceh.
Berdasarkan judul tersebut, penulis nyatakan bahawa ulama yang berasal dari Aceh ini murid kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah berpandukan karyanya yang akan dijelaskan dalam rencana ini. Dalam beberapa catatan sejarah ada menyatakan bahawa dua orang ulama Melayu yang terkenal iaitu Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati Makasar adalah antara murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri.
Maka ulama yang akan diperkenalkan pada rencana ini adalah hidup sezaman dengan kedua-dua ulama yang berasal dari Aceh dan Bugis itu.
Walaupun Megat Sati al-Asyi mengaku sebagai seorang murid kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri, namun beliau tidak banyak membuat catatan tentang ulama yang berasal dari India itu. Bahkan dalam karyanya juga selari dengan jalan pemikiran yang bercorak sufisme dengan Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Samsuddin as-Sumatra-i.
Dalam penelitian yang penulis lakukan, ternyata memang belum ditemui sebuah karya dalam bahasa Melayu mengenai muqaranah sembahyang yang menggabungkan ajaran Mazhab Syafi‘ie dengan ajaran sufi seperti yang dilakukan oleh Megat Sati al-Asyi yang akan diperkenalkan dalam rencana ini.
Ulama ini menulis nama lengkapnya iaitu “Muhammad Ali namanya, dalam syajarah Mansur namanya. Yang masyhur Megat Sati Raja ibnu Amir Sulaiman ibnu Sa‘id Ja‘afar Sadiq ibnu Abdullah…”
Di akhir namanya, disambung pula dengan kalimat,”…diampun bahaginya dengan bagi mereka sekalian al-Asyi baladan…” Pada terjemahannya beliau menulis, “Aceh nama negerinya Par‘ani”.
Berdasarkan keterangan tersebut, dapat disimpulkan bahawa beliau adalah termasuk di kalangan orang besar atau ternama. Perkataannya “…dalam syajarah…”, bererti nama beliau juga terukir dalam sejarah, dan perkataan “syajarah” boleh diertikan dengan “susur galur keturunan yang terdapat dalam sesuatu salasilah orang baik-baik”. Oleh itu, baik dalam sejarah mahupun silsilah, nama beliau dikenali sebagai nama ‘Mansur’.
Kemudian beliau menyatakan namanya yang masyhur iaitu Megat Sati Raja ibnu Amir Sulaiman ibnu Sa’id Ja’afar Sadiq ibnu Abdullah al-Asyi. Oleh itu, namanya yang asli Muhammad Ali tidak disebut-sebut lagi kerana telah ada namanya yang masyhur.
Pendidikan
Mengenai pendidikan beliau sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini bahawa beliau adalah murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri , beliau menulis, “Dan ia daripada tilmiz, murid Syeikh Nuruddin ibnu Ali ibnu Hasanji ibnu Muhammad Hamid, Raniri negerinya, Syafi‘ie nama mazhabnya, Bakri nama bangsanya”.
Penonjolan nama gurunya berkemungkinan disebabkan beberapa faktor, salah satu darinya berkemungkinan Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu adalah gurunya yang terakhir. Melalui gurunya itu berkemungkinan juga beliau memperoleh sebahagian besar ilmu pengetahuan yang ada padanya.
Mungkin juga untuk mengelakkan keraguan orang akan kandungan karyanya yang bercorak sufisme yang tidak bercanggah dengan pendirian Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Sedangkan beliau hidup pada zaman Sultan Iskandar Tsani yang menghendaki karya-karya sufi kedua-dua ulama terkenal itu dimusnahkan. Dengan ditampilkan nama gurunya, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah diharap karyanya tidak menjadi korban pengharaman penguasa pada zamannya.
Tetapi menjadi persoalan penulis kerana ulama ini tidak menyebut nama guru-gurunya yang lain. Apakah sepanjang hidupnya hanya Syeikh Nuruddin ar-Raniri sahaja gurunya, sedangkan di Aceh pada zaman itu sangat ramai ulama.
Pegangan keagamaan yang dianuti oleh beliau dijelaskan melalui karyanya bahawa beliau mazhab Syafie dari segi pemahaman dan pengamalan fiqh dan Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah dari segi akidah. Pegangan mengenai tasawuf pula tidak dijelaskan oleh beliau, tetapi melalui karyanya menunjukkan bahawa beliau menggabungkan dua aliran tasauf, iaitu tasauf sunni dan tasauf falsafi.
Mengenai tarekat yang diamalkannya juga tidak jelas walaupun pada bahagian akhir karyanya membahas jenis dan metode zikir tetapi tidak menyebut nama sesuatu tarekat. Beliau hanya menamakannya dengan “zikir ahlillah” dan “zikir ahlis sufi” sahaja.
Data karya
Karya beliau yang ditemui hanya sebuah sahaja, iaitu Syarabul ‘Arifin li Ahlil Wasilin, diterjemahkan oleh beliau sendiri iaitu Minuman segala ‘Arif billah Bagi Segala Orang Yang Telah Wasil Kepada Allah.
Kitab ini diklasifikasikan kepada manuskrip nadir kerana tidak banyak diketemui, bahkan tidak diketahui di mana ianya tersimpan. Sepanjang pengalaman penulis mencari karya-karya lama sejak tahun 1958 hingga kini (Mac 2007), penulis menemui judul tersebut hanya tiga buah sahaja.
Sebuah pernah dimiliki oleh seorang teman di Kota Bharu, Kelantan (1977), sebuah manuskrip tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam yang berasal dari milik Syeikh Abdul Qadir Bin Musthafa al-Fathani (Tok Bendang Daya II). Naskhah ketiga ditemui oleh penulis sendiri di Chaiya pada awal tahun 1993, selanjutnya dijadikan bahan untuk data rencana ini.
Mukadimah karya tersebut menunjukkan satu karya sufi peringkat yang tinggi sebagaimana termaktub, iaitu, “Segala puji bagi Allah, ialah Tuhan yang mentahqiqkan dalam medan qadim. Maka tajallillah Ia bagi-Nya dengan diri-Nya kepada diri-Nya di dalam diri-Nya maka diibaratkanlah daripada-Nya sya’nun zatiyah”.
Oleh kerana ditinjau dari segi ilmu isti’arah yang menjurus syathahiyat perkataan sufi yang sangat mendalam ibaratnya, maka cukuplah sekadar itu sahaja yang penulis sanggup salin, kerana penulis tidak berani memindahkan data mukadimah selanjutnya dikhuatiri pentafsiran yang berbeza-beza dari setiap orang akan mengundang kontroversi. Perkataan syatahiyat sufi kita kembalikan kepada para ahlinya.
Setelah mukadimah, Megat Sati al-Asyi menjelaskan sebab-sebab beliau menyusun karangan, iaitu “Maka tatkala ku lihat adalah manusia amat banyak bersalahan pada bicaranya takbiratul ihram, serta muqaranah pada ilmu fiqh dan tasauf, maka tergerak pada hatiku dan terlintas pada cintaku, maka ku karang suatu risalah yang tersimpan pada menyatakan muqaranah niat takbiratul ihram pada ilmu fiqh dan tasawuf pada iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah”.
Sebelum memasuki kandungan yang menjadi pokok perbicaraannya, beliau meringkaskan pada mukadimah iaitu, “Mukadimah pada menyatakan segala ahli tasauf dan amalnya. Dan fasal yang pertama pada menyatakan muqaranah niat dengan takbiratul ihram pada istilah fiqh dan pada jalan syariat. Fasal yang kedua pada menyatakan muqaranah ahlis sufi yang ‘ariful murad pada iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah. Dan dalam kedua fasal itu enam juzuk. Tiga juzuk pada fasal yang kedua. Dan fasal yang ketiga pada menyatakan zikir segala ahlil fana’ dan ahlil mahwi dan ahlil baqa’. Dan khatimah pada menyatakan zikir segala ahlillah”.
Ulama ini memulakan perbahasan dengan mengemukakan pendapatnya bahawa orang yang belajar ilmu tasauf pada peringkat awal sebahagian besarnya menurut beliau iaitu, “nescaya jadilah gila atau jatuh kepada hulul atau ittihad atau jatuh kepada mengharuskan kepada mulhid hingga mulhid”. Lalu beliau menegaskan, “Dan bahawasanya merugilah ia dengan beberapa kerugian yang amat nyata…”
Huraian berikutnya adalah mengenai muqaranah niat yang dimulai dengan “Ketahui olehmu, bahawasanya muqaranah niat serta takbiratul ihram pada jalan syariat pada istilah segala ulama ahlil fiqh, atas tiga juzuk. Juzuk yang pertama menyatakan muqaranah ‘Urfiyah. Juzuk yang kedua, muqaranah Basthiyah. Juzuk ketiga, muqaranah Tauzi‘iyah”.
Beliau menghuraikan ketiga-tiga juzuk muqaranah niat yang tersebut menurut huraian ulama-ulama fiqh. Antaranya Imam Abdullah Muhammad ibnu Qasim dan Imam Nawawi, yang kedua-duanya merupakan ulama besar dalam lingkungan Mazhab Syafie.
Penghuraian diteruskan secara sufi, dimulai dengan kata beliau, “…muqaranah niat serta takbiratul ihram pada ulama ahlis sufi yang ‘ariful murad, dan inilah segala ehwal Nabi s.a.w dan segala ehwal khulafaur rasyidin, dan segala ehwal yang mengikut mereka itu sekalian, bagi mereka itu kebajikan hingga datang kepada hari kiamat. Dan dalamnya tiga juzuk…”.
Ketiga-tiga juzuk muqaranah niat pada istilah ulama fiqh tersebut masih tetap digunakan tetapi huraiannya menurut pandangan ulama sufi. Mengenai Muqaranah ‘Urfiyah dari kaca mata sufi dimulai dengan katanya, “Ketahui olehmu, bahawasanya muqaranah yang ‘urfiyah itu, iaitu muqaranah segala orang yang am diri pada segala ahlis sufiyah yang ‘ariful murad. Adapun ‘urfiyah Mu‘min pada segala ahlis sufiyah itu, iaitu dihudhurkannya yang menyahaja akan sembahyang itu daripada permulaan mengambil air sembahyang dan segala rukun sembahyang…”
Dibahas pula pengertian qasad’, menurut beliau, “Menyahaja akan mengerjakan sembahyang, maka yang menyahaja itu, iaitu hakikat dirinya yang pada martabat wahdatit tafsil. Maka ta‘arrudh itu, martabat ‘alam asrar. Maka ta‘aiyun itu, iaitu dirinya yang lathif yang pencar dan percik daripada abu arwah (asal sekalian roh)…” Demikianlah contoh huraiannya yang panjang mengenai bahagian muqaranah ‘Urfiyah.
Mengenai muqaranah Basthiyah menurut sufi, dimulai dengan perkataannya, “Ketahui olehmu, bahawasanya muqaranah basthiyah itu, iaitulah yang lebih tinggi daripada muqaranah yang lain pada yang pertama. Dan iaitulah muqaranah segala Nabi, dan segala Qutub, dan segala yang mengikut mereka itu”.
Huraian Muqaranah Basthiyah ini, beliau merujuk kepada Syeikh Muhyiddin Ibnu ‘Arabi. Syeikh Abu Taiyib al-Makki dan lain-lain, bahawa “niat itu rahsia daripada segala rahsia dan tempatnya pada sirrul khafi”.
Manakala Muqaranah Tauzi‘iyah menurut sufi, Megat Sati al-Asyi memulakan dengan katanya, "…maka niat yang dimuqaranahkannya itu, iaitu, “Ku sembahyang akan fardhu Zohor atau Asar”, atau barang sebagainya”. Maka sebenar-benarnya yang mengatakan “Aku” itu, iaitu yang sebenar-benar dirinya yang martabat ahadil jam‘i. Dan ta‘arrudh itu, iaitu yang sebenar-benar dirinya pada martabat wahdatit tafshil.
Megat Sati al-Asyi dengan tegas menolak muqaranah tauzi‘iyah tersebut, kata beliau, “Maka muqaranah inilah muqaranah segala Muhammadin zindik hululiyah, lagi ittihadiyah, sekali-kali tiada diterima oleh Allah sembahyangnya dan segala amalnya…”
Setelah menghuraikan perkara fana’fillah, baqa’billah dan mahwu, Megat Sati al-Asyi meneruskan perbicaraannya tentang zikir ahlillah pada segala sufi yang fana‘fillah dan baqa’billah, dimulai dengan katanya, “Ketahui olehmu bahawasanya segala zikir ahlis sufi itu dihimpunkan atas lima perkara:
Pertama : zikir lisan al-jasad
Kedua : zikir lisan al-qalbi
Ketiga : zikir lisan ar-ruh
Keempat : zikir lisan al-asrar
Kelima : zikir lisan az-zat dan lisan al-hal”.
Kelima-lima zikir tersebut juga dijelaskan dengan panjang. Setelah itu sebagai penutup, beliau membuat ringkasan dari perkara muqaranah niat menurut ilmu fiqh yang merujuk kepada beberapa kitab mazhab Syafie, di antaranya Nihayatul Muhtaj karya Syeikh Ramli.
Kitab yang tinggi nilai keilmuan sufiah ini tidak dinyatakan tahun selesai penulisannya. Oleh itu, sukar untuk penulis mengetahui tahun kehidupan beliau.
Walau bagaimanapun disebabkan beliau adalah murid kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri, maka diandaikan bahawa beliau adalah sezaman dengan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati dari Makasar.
Selain itu, salah sebuah karya Syeikh Yusuf yang ditulis dalam bahasa Arab banyak persamaan huraiannya seperti termaktub dalam Syarabul ‘Arifin karya Megat Sati al-Asyi. Masa kehidupan Syeikh Yusuf Makasar pula adalah tahun 1629M-1699M.
Selain itu, dibandingkan juga dengan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang wafat 1693M. Perbandingan tahun-tahun hidup dan wafat kedua-dua ulama tersebut kerana mereka adalah murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri, sedangkan Megat Sati al-Asyi juga murid ulama yang berasal dari India itu. Oleh itu, tahun kehidupan beliau diandaikan tidak jauh beza dengan kedua-dua ulama tersebut.
Mengenai murid dan keturunan beliau, tidak dapat penulis bicarakan kerana ketiadaan data yang lengkap.
Syarat mempelajari tasauf adalah banyak. Antaranya:
* Hendaklah mengerjakan ibadat yang zahir.
* Hendaklah sentiasa berzikir kepada Allah.
Kitab-kitab rujukan:
* Minhajul ‘Abidin
* ‘Ainul ‘Ilmi atau Munjiyat yang termaktub dalam Ihya’ Ulumiddin.
sumber
0 comments