Biografi Syeikh Ismail Al-Asyi
18:39Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
PENYELIDIKAN pertama terhadap ulama yang berasal dari Acheh ini dimulai dengan pengesanan artikel-artikel karya beberapa orang ulama yang beliau kumpulkan dalam satu kitab yang cukup terkenal di dunia Melayu yang diberi judul olehnya ``Jam'u Jawami'il Mushannafat''. Selain itu juga kitab yang diberi judul oleh beliau dengan ``Tajul Muluk''. Setelah itu dijumpai pelbagai judul karya beliau sendiri dan beberapa buah kitab yang ditashhihnya.
Galakkan
Dalam fail surat Syeikh Ahmad al-Fathani 1323 Hijrah - 1325 Hijrah dijumpai beberapa lembar surat Syeikh Ahmad al-Fathani, di Mekah, kepada Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi di Kaherah, Mesir. Dari surat- surat itu dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi itu adalah termasuk murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau dilantik oleh Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi Ketua Pelajar-Pelajar Melayu di Kaherah, sedang Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin dilantiknya sebagai Ketua Pelajar Putera Diraja Riau di Kaherah juga. Dipercayai bahawa Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi adalah sebagai Ketua Pelajar Melayu di Kaherah yang pertama sekali. Ada pun perintis jalan orang Melayu yang pertama belajar di Masjid Al-Azhar ialah Syeikh Ahmad al-Fathani (tahun 1292 Hijrah sampai 1299 Hijrah). Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani kembali ke Mekah beliau menggalakkan murid-muridnya belajar di Mesir terutama sekali di Al-Azhar. Maka sangat ramai pelajar kita yang berasal dari dunia Melayu pergi ke Mesir itu. Selain Syeikh Ismail al-Asyi dan Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin Minangkabau termasuk peringkat awal ke Mesir juga di antaranya ialah: Syeikh Ahmad Tahir Khathib Kerue (Lampung), Syeikh `Abdur Razzaq bin Muhammad Rais Lampung, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, dan ramai lagi.
PENDIDIKAN
Pendidikan asas di Acheh tidak dapat diketahui secara pasti. Dari tulisannya sendiri yang termaktub dalam cetakan Zahratul Murid karya Syeikh `Abdus Shamad al-Falimbani, beliau menyebut, ``Adapun silsilah haqir Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi, maka telah mengambil talqin zikir dan bai'ah daripada Syeikh Muhammad `Ali. Ia mengambil daripada Syeikh Muhammad As'ad. Ia mengambil daripada Syeikh Sa'id....'', dan seterusnya sama dengan silsilah Thariqat Syathariyah versi Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani. Tidak jelas ``Syeikh `Ali'' yang disebutkannya dalam silsilah itu, apakah berasal dari Acheh atau tempat lainnya. Yang menjadi kemusykilan ialah bahawa apabila kita semak bererti ``Syeikh `Ali'' itu seperguruan dengan Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani, kerana Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani juga menerima Thariqat Syathariyah daripada Syeikh Muhammad As'ad itu.
Syeikh `Ali al-Asyi adalah ulama Acheh yang seperguruan dengan Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani. Syeikh `Ali al-Asyi lebih muda dari Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani, kemungkinan beliau berumur panjang sehingga Syeikh Ismail al-Asyi sempat menerima thariqat daripadanya. Sebaliknya Syeikh Ahmad al-Fathani tidak sempat bertemu dengan Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani, yang menjadi murid ulama Patani itu ialah Syeikh Muhammad Zain al-Fathani (ayah beliau).
PENTASHHIH KARYA ACHEH
Sumbangan yang besar Syeikh Ismail al-Asyi ialah mentashhih kitab-kitab karya ulama Acheh. Beliau adalah orang yang pertama memberi catatan nota beberapa kosa kata dari bahasa Acheh diberikan maknanya ke bahasa Melayu yang umum digunakan pada masa itu. Jadi bererti aktiviti tashhih kitab Melayu/Jawi yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah itu, bahagian penelitian bahasa Acheh ditangani oleh Syeikh Ismail al-Asyi. Syeikh Ismail al-Asyi mulai melibatkan diri dalam usaha Syeikh Ahmad al-Fathani itu sejak permulaan lagi, bersama-sama dengan Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani, Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani, Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, ketiga-tiganya merupakan orang kepercayaan Syeikh Ahmad al-Fathani dalam semua permasalahan tashhih. Kitab-kitab yang ditashhih oleh Syeikh Ismail al-Asyi pada peringkat awal dikumpulkan dalam Jam'u Jawami'il Mushannafat ialah:
1. Hidayatul `Awam karya Syeikh Jalaluddin bin Kamaluddin Acheh.
2. Faraidh al-Quran, tanpa nama pengarang.
3. Kasyful Kiram karya Syeikh Muhammad Zain al-Asyi.
4. Talkhishul Falah karya Syeikh Muhammad Zain
5. Syifaul Qulub karya `Arif Billah Syeikh `Abdullah Acheh.
6. Mawaizhul Badi'ah karya Syeikh `Abdur Rauf Fansuri
7. Dawaul Qulub karya Syeikh Muhammad bin Syeikh Khathib Langien.
8. I'lamul Muttaqin karya Syeikh Jamaluddin bin Syeikh `Abdullah.
Cetakan awal kitab di atas diusahakan oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah. Halaman terakhir cetakan ke lapan, 1320 H/1902 M disebutkan bahawa pada cetakan itu ditambah dua naskhah lagi iaitu, Fathul `Arifin, Paal Kamalullah dan Paal Nabi S.A.W. Syeikh Ismail al-Asyi mencatatkan, ``... dan ditashhihkan dengan cermat dan ditaruhkan pula pada tepinya hasyiah yakni tafsir kalam yang payah jadi mudah''. Maksudnya bahawa beliau memberi nota bahasa Acheh disesuaikan dengan maknanya dengan bahasa Melayu, dan memberikan huraian pada kalimat yang tidak jelas. Pada cetakan yang kemudian dari cetakan tersebut terdapat puisi Syeikh Ismail al-Asyi 18 bait yang terdiri dari dua rangkap-dua rangkap. Kitab yang diusahakan oleh Syeikh Ismail al-Asyi itu mendapat sambutan masyarakat luas di dunia Melayu, sampai sekarang masih banyak diajar dan masih mudah mendapatkannya di kedai-kedai kitab.
Dalam kitab yang berjudul Tajul Muluk terkumpul pula beberapa buah karangan, juga diusahakan oleh Syeikh Ismail al-Asyi. Cetakan awal yang telah ditemui ialah yang diusahakan oleh Mathba'ah al- Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah/1893 Masehi. Pada mukadimah Tajul Muluk terdapat 34 bait puisi Syeikh Ismail al-Asyi yang terdiri dua rangkap-dua rangkap. Syeikh Ismail al-Asyi memulakan kumpulan Tajul Muluk dengan karya Syeikh `Abbas al-Asyi yang berjudul Sirajuz Zhalam, yang membicarakan ilmu hisab dan falakiyah. Pada akhir kitab Sirajuz Zhalam karya Syeikh `Abbas al-Asyi, Syeikh Ismail al-Asyi mencatat, ``Maka telah selesai hamba salin kitab ini dalam negeri Mekah yang Musyarrafah pada masa hijrah Nabi S.A.W 1306 tahun, pada hari Sabtu, pada 28 hari bulan Rabiulawal ... `` Kitab terakhir dalam Tajul Muluk ialah yang berjudul Hidayatul Mukhtar karya Syeikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani.
Manuskrip
Sebuah karya Syeikh `Abdus Shamad bin `Abdur Rahman al-Falimbani yang berjudul Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid yang sebelumnya hanya ditemui manuskripnya saja, dalam bulan April 1993 saya temui cetakannya, pada halaman terakhir terdapat silsilah Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi dan beliau juga menyalin silsilah Thariqat Qadiriyah dan Thariqat Syathariyah Syeikh `Abdur Rauf al-Fansuri, ditashhihkan oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani. Saya berkesimpulan bahawa kitab Zahratul Murid karya Syeikh `Abdus Shamad al-Falimbani itu diusahakan bersama-sama Syeikh Ismail al-Asyi dan Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani, dicetak oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah Makkah, 1331 Hijrah/1912 Masehi.
KARYA DAN PEMIKIRAN
Selain karya yang bercorak tashhih seperti tersebut di atas, Syeikh Ismail al-Asyi juga menghasilkan karya sendiri, di antaranya yang telah ditemui ialah:
1. Muqaddimatul Mubtadi-in, diselesaikan pada hari Rabu, 30 Safar, di Mekah, tanpa menyebut tahun. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1307 Hijrah/1889 Masehi. Pada halaman tercantum 19 bait puisi beliau yang terdiri dua rangkap-dua rangkap.
2. Tuhfatul Ikhwan fi Tajwidil Quran, diselesaikan pada waktu Dhuha hari Jumaat dua likur Jamadilawal 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah/1893 Masehi. Terdapat lagi cetakan Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1324 Hijrah/1906 Masehi.
3. Fat-hul Mannan fi Bayani Ma'na Asma-illahil Mannan, diselesaikan tahun 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1311 Hijrah/1893 Masehi.
4. Fat-hul Mannan fi Hadits Afdhal Waladi `Adnan, diselesaikan tahun 1311 Hijrah/1893 Masehi. Hanya diketemukan cetakan Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan, 1379 Hijrah/1960 Masehi yang diusahakan oleh Haji Muhammad bin Ahmad, Kampung Gong, Kelantan, dengan catatan, ``Dengan izin waris pengarangnya dan anak muridnya yang di Mekah al-Mukarramah pada tahun hijrah 1377.''
Kesimpulan bahawa karya Syeikh Ismail al-Asyi meliputi beberapa disiplin ilmu, ialah `aqidah (Muqaddimatul Mubtadi-in), tajwid (Tuhfatul Ikhwan), hikmah dan fadhail (Fat-hul Mannan, nombor 3), hadis (Fat-hul Mannan, nombor 4), bahasa (pada kitab-kitab yang ditashhihnya) dan sastera (puisi), yang berbentuk syair dua rangkap-dua rangkap. Syair yang digubahnya dalam bahasa Melayu memang indah susunan bahasanya, tetapi sayang kadang-kadang bercampur dengan bahasa Acheh yang sukar dimengerti oleh masyarakat dunia Melayu umumnya.
Contoh beberapa bait syair Syeikh Ismail al-Asyi, ialah:
``Wahai ikhwan yang Muslimin,
orang yang yakin akan Rabbana,
Karangan ini intan ku karang,
segala maknikam himpun di sana.''
(Jam'u Jawami'il Mushannafat)
``Barangsiapa tiada makrifat,
segala ibadat tiada guna.
Kitab ini baik sekali,
makrifat Rabbi di sini nyata.''
(Muqaddimatul Mubtadi-in)
KETURUNAN
Keturunan Syeikh Ismail al-Asyi ramai di Mekah, mengenai ini dapat diketahui di antaranya tercatat dalam kitab Durrul Faraid karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1311 H/1893 M, tertulis, ``Maka orang yang empunya kitab ini Tuan Haji Ahmad anak Tuan Syeikh Ismail anak Tuan `Abdul Muthallib al-Asyi ... Dia duduk di muka pintu, di dalam Maq'ad, di sanalah empunya kitab ini.'' Syeikh Ismail bin `Abdul Muthallib al-Asyi meninggal dunia di Kaherah, Mesir, demikian tersebut dalam buku Student Indonesia di Mesir.
sumber
0 comments