Monday, 21 May 2012

Biografi Sayyid Abdul Aziz Siddiq al Ghumari

Nama dan keturunan.

Beliau ialah al ‘Allamah al Muhaddith al Sufi al Muhaqqiq al Mudaqqiq al Imam Maulana Sayyid Abdul Aziz bin Muhammad bin Siddiq bin Ahmad bin Muhammad bin al Qasim bin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Mukmin bin Ali bin al Hasan bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Abdullah bin Isa bin Sa'id bin Mas'ud bin al Fudhoil bin Ali bin Umar bin al 'Arabi bin 'Allal (Ali menurut bahasa Maghribi) bin Musa bin Ahmad bin Daud bin Maulana Idris al Asghor bin Maulana Idris al Akbar bin Abdullah al Kamil bin al Hasan al Muthanna bin Imam al Hasan al Mujtaba bin Amirul Mukminin Imam Ali dan Sayyidah Fatimah al Zahra' binti Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.

Kelahiran.

Dilahirkan pada bulan Jamadil Awal 1338 (1920) di Tonjah (Tangier), Morocco.

Latar belakang pendidikan.

Beliau memulakan pendidikan seawal usia lima tahun dengan menghafal al Quran di bawah bimbingan Syeikh Muhammad Bu Durrah, murid ayahandanya. Setelah itu, beliau mula menumpukan sepenuh perhatian kepada ilmu-ilmu yang lain melalui pembelajaran, pembacaan dan kajian. Ayahandanya memberi sepenuh perhatian kepada beliau sepanjang tempoh pendidikan dengan nasihat-nasihat yang berguna dan petunjuk-petunjuk yang berfaedah. Ini disebabkan ayahandanya dapat mengesan bakat-bakat terpendam yang ada dalam diri beliau. Ayahandanya pernah berpesan supaya tidak merujuk sebarang nota kaki yang terdapat dalam mana-mana kitab yang dibaca. Alasannya ialah sebagaimana yang disebut oleh ayahandanya:

Jika engkau mempunyai bakat untuk menguasai isi kandungan kitab kecil dalam apa jua bidang ilmu, maka ilmu-ilmu itu akan mudah difahami walaupun ia terkandung di dalam kitab-kitab yang besar.

Selepas kewafatan ayahandanya, pada tahun 1355 (1937) ketika berusia 17 tahun, beliau merantau ke Mesir bersama-sama abangnya Sayyid Abdul Hayy al Ghumari untuk melanjutkan pelajaran di al Azhar al Syarif. Di al Azhar, beliau menuntut ilmu daripada para ulama’ yang berwibawa dalam pelbagai lapangan ilmu. Dalam tempoh ini juga, beliau mula berjinak-jinak dengan ilmu Hadith di samping melakukan latihan-latihan dan kajian-kajian sekitar ilmu ini.

Bergelumang dengan ilmu Hadith.

Mengenai permulaan beliau bergelumang dalam ilmu Hadith, Sayyid Abdul Aziz menceritakan pengalamannya bahawa beliau mula terlibat secara serius dalam ilmu Hadith setelah menamatkan pengajian dalam bidang Mustolah Hadith. Untuk mengaplikasikan apa yang telah beliau pelajari, beliau mula menumpukan kajian terhadap kitab al Laali’ al Masnu’ah karangan al Hafiz Jalaluddin al Suyuti. Melalui kajian beliau terhadap kitab ini, Sayyid Abdul Aziz berjaya menghasilkan karya yang berjudul al Jawahir al Ghawali.

Beliau turut menyebut bahawa melalui kajiannya terhadap kitab ini, beliau mempelajari methodologi kritikan terhadap para perawi hadith, rantaian sanad dan kaedah membezakan hadith yang sohih dengan yang dho’if. Setelah itu, beliau menumpukan kajiannya terhadap kitab-kitab hadith pula dengan membaca dan mengkaji hasil kajian hadith yang dihasilkan oleh abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari. Apabila selesai mengkaji karya-karya abangnya, beliau meneruskan usaha dengan mengkaji kitab-kitab hadith lain yang dikarang oleh golongan Huffaz yang berkaliber dalam bidang ini seperti al Hafiz al ‘Iraqi, al Hafiz al Zailai’e, al Hafiz Ibnu Hajar al ‘Asqolani, al Hafiz al Suyuti dan lain-lain lagi. Sepanjang kajian beliau terhadap ilmu Hadith, beliau seringkali berhubung dengan abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari untuk meminta nasihat dan petunjuk.

Kemuncaknya beliau menyebut bahawa setelah beliau merasa telah mahir dalam bidang ini dan mampu menguasainya dengan baik, maka beliau mula mengarang sebuah kitab yang berjudul Bulugh al Amani min Maudhu’at al Soghoni. Setelah selesai mengarang karya ini, beliau membentangkannya kepada abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari, lalu abangnya memberi komentar:

Sepatutnya karya ini diberi judul Hazij al Aghani kerana ia mengandungi faedah yang boleh membuatkan pembacanya menari-nari kerana riang dan kagum!

Kepulangan ke Tonjah.

Setelah 12 tahun menetap di Mesir, akhirnya pada bulan Rabiul Awwal 1366 (1949) beliau pulang ke Tangier untuk menyebarkan ilmu buat anak bangsanya. Di Tangier, beliau aktif mengajar di Zawiyah Siddiqiyyah di samping menulis dan mengadakan majlis zikir. Beliau juga turut dilantik menjadi khatib di madrasah tersebut. Beliau telah menunaikan ibadah haji dan umrah beberapa kali.

Guru-guru.

Antaranya:
  1. Ayahandanya Sayyid Muhammad Siddiq al Ghumari.
  2. Abang-abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari dan al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.
  3. Al ‘Allamah Syeikh Muhammad Bu Durrah, murid ayahandanya.
  4. Al ‘Allamah Syeikh Abdul Mu’ti al Syarsyimi.
  5. Al ‘Allamah Syeikh Mahmud Imam.
  6. Al ‘Allamah Syeikh Abdul Salam Ghanim al Dimyati al Syafie.
  7. Al ‘Allamah Syeikh Muhammad ‘Izzat dan lain-lain lagi.

Karya-karya beliau.

Semuanya berjumlah 73 buah. Kebanyakannya dalam bidang hadith. Antaranya:
  1. Tashil al Mudarraj ila al Mudarraj.
  2. Al Ta’nis bi Syarh Manzumah al Zahabi fi Ahli al Tadlis.
  3. Al Bughyah fi Tartib Ahadith al Hilyah.
  4. Ithaf Zawi al Himam al ‘Aaliyah bi Syarh al ‘Asymawiyyah.
  5. Al Qaul al Ma’thur bi Jawaz Imamah al Mar’ah bi Rubat al Khudur.
  6. Mafatih al Dahyan li Tartib Tarikh Asbahan.
  7. Al Tahzir Mimma Zakarahu al Nablusi fi al Ta’bir.
  8. Al Tuhfah al ‘Aziziyyah fi al Hadith al Musalsal bi al Awwaliyyah dan lain-lain lagi.

Kewafatan.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1418 (1998) dan disemadikan di Madrasah Siddiqiyyah berhampiran pusara ayahandanya. Semoga Allah merahmati beliau dan membalas jasa-jasa beliau dengan sebaik-baik pembalasan. Amin.

Berikut ialah cerita beliau mengenai diri dan adik beradiknya menerusi satu wawancara yang diadakan oleh akhbar al Khadra' al Jadidah:

S: Berapakah usia beliau (Sayyid Abdul Hayy) jika dibandingkan dengan adik beradik tuan yang lain?

J: Beliau berusia lebih kurang 78 tahun dan beliau lebih tua daripada saya. Kalian seringkali bertanyakan tentang adik-beradik saya. Baiklah, yang paling tua sekali ialah abang sulung kami al 'Allamah al Hafiz Ahmad bin Siddiq yang disemadikan di Kaherah dan beliau telah meninggal dunia lebih kurang 40 tahun yang lalu. Beliau memiliki lebih kurang 300 buah karya. Kebanyakannya telah dicetak di Kaherah dan Morocco. Di antara keistimewaan beliau ialah beliau mengharamkan taqlid dan menyuruh supaya berijtihad serta menyeru supaya mempelajari ilmu-ilmu yang melayakkan kita untuk berijtihad. Kerana itu anda akan dapati beberapa pendapat beliau yang bertentangan dengan pendapat mazhab yang empat dan beliau turut menulis karangan mengenai perkara ini.

Selepas al 'Allamah Ahmad pula ialah abang kami al 'Allamah Abdullah bin Siddiq yang telah meninggal dunia sekitar dua tahun yang lepas. Jenazah beliau disemadikan di Zawiyah Siddiqiyyah, Tangier. Beliau hidup selama 80 tahun. Beliau belajar di Kaherah selepas menamatkan pengajiannya di al Qurowiyyin, Fez. Beliau telah menduduki peperiksaan Syahadah 'Alimiyyah dan kemudiannya memperoleh Ph. D. Beliau memiliki hasil karya yang banyak. Antaranya terdapat 100 buah yang telah dicetak di Syria dan Jordan. Majoriti ulama' al Azhar belajar dengan beliau dalam ilmu bahasa Arab dan Usul Fiqh.

Selepas al 'Allamah Abdullah, abang kami al 'Allamah Muhammad al Zamzami. Beliau meninggal dunia kira-kira 8 tahun yang lalu dalam usia lebih kurang 78 tahun. Beliau dilahirkan di Port Said, Mesir. Belajar di Kaherah dan kemudiannya pulang ke Tangier. Di Tangier, beliau sibuk mengadakan pengajian bebas di Zawiyah Siddiqiyyah dan Jami' al Kabir. Beliau turut memiliki beberapa karya yang sebahagiannya telah dicetak di Tangier dan Kaherah. Beliau juga mempunyai pemikiran yang janggal namun beliau tidak peduli untuk menyatakan perkara yang pada pandangannya adalah benar.

Selepas beliau, abang kami pula al 'Allamah Abdul Hayy bin Siddiq. Selepas beliau, hamba Allah ini, Abdul Aziz bin Siddiq. Allah Ta'ala telah mentaufiqkan saya untuk belajar di Kaherah selama 11 tahun. Saya telah belajar daripada para ulama' dan masyaikh yang besar. Saya juga telah menulis di majalah-majalah dan akhbar-akhbar sepanjang saya menetap di Kaherah. Kemudian saya pulang ke tanah air, Bandar Tangier. Maka saya pun mula sibuk mengajar. Di samping itu, saya turut menghasilkan beberapa karya ketika berada di Kaherah dan Tangier. Sebahagiannya telah pun dicetak di Mesir, Jordan dan Syria. Sebahagiannya lagi dicetak di Tangier, Tetouan dan Casablanca. Alhamdulillah, kebanyakannya mendapat sambutan daripada kalangan ulama'.

No comments:

Post a Comment

Author

Stats

Kata Hukama


About

Followers

Archives

Pelawat Seantero

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Sample Text

Kepada semua penulis asal, blogger atau sesiapa saja yang artikelnya saya petik dan masukkan di sini, saya memohon kebenaran dan diharap tidak dituntut di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya saya akan "quote" artikel asal dan sumbernya sekali, supaya apa yang dimaksudkan oleh penulis asal tidak lari atau menyeleweng. Saya ambil artikel-artikel penulisan untuk rujukan saya dan sahabat-sahabat pelawat. Saya masih cetek ilmu tidak sehebat sahabat-sahabat yang menulis artikel-artikel di blog ini. Jazakumullah khairan kathira kerana sudi menghalalkan ilmu untuk perkongsian seluruh masyarakat Islam

Popular Posts