Saturday, 19 May 2012

Biografi Syeikh Mohamad Khalil Al-Khatib

 
Nama, keturunan & gelaran.

Beliau ialah al 'Allamah al Muhaddith al Muhaqqiq al Faqih al Imam al Lughawi Sayyid Muhammad bin Khalil bin Muhammad bin Sayyid bin Ismail bin Ahmad al Khatib bin al Tunajji bin Salim bin Salam bin Salam bin Sa’adullah bin Afandi Muhammad bin ‘Aliyu bin al Bakri bin Ismail bin Muhammad bin Ismail bin al Qasim al Rassi bin Ibrahim Tobatoba bin Ismail bin Ibrahim al Fakhr bin al Hasan al Muthanna bin Imam Hasan al Sibt bin Amirul Mukminin Imam Ali dan Sayyidah Fatimah al Zahra’ binti Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Terkenal dengan gelaran 'Penyair Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam' di mana gelaran ini diberi oleh Syeikh Abdul Halim Mahmud yang merupakan Syeikhul Azhar pada waktu itu.

Kelahiran.

Dilahirkan di desa Naidah, markaz Akhmim, muhafazah Suhaj, Republik Arab Mesir pada hari Selasa, 9 Mac 1909 (16 Safar 1327). Beliau merupakan anak tunggal kepada pasangan Sayyid Khalil dan Sayyidah Na'isah.

Pendidikan.

Beliau mula menghafal al Quran semenjak kecil lagi dan berjaya menyelesaikan hafalannya ketika berusia 10 tahun. Setelah itu beliau mula menghafal sebahagian besar matan-matan ilmu sebelum melanjutkan pelajaran di Maahad Suhaj al Dini. Beliau berjaya menamatkan pengajiannya di Maahad tersebut dengan memperoleh Syahadah Ibtidaiyyah pada tahun 1924 (1342) ketika berusia 15 tahun. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah sehingga memperoleh Syahadah Thanawiyyah Azhariyyah pada tahun 1928 (1346) ketika berusia 19 tahun. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti al Azhar al Syarif, Kaherah sehingga berjaya memperoleh ijazah Syahadah 'Alamiyyah pada tahun 1933 (1357) ketika berusia 24 tahun. Kemuncaknya, beliau berjaya memperoleh Syahadah Takhassus (Ph.D) dalam bidang Bahasa Arab pada tahun 1936 (1354) ketika berusia 27 tahun.

Kerjaya.

Selesai menamatkan pengajian di al Azhar al Syarif, beliau telah dilantik menjadi tenaga pengajar di Maahad Ahmadi, Tanta selama 30 tahun sebelum menjawat jawatan sebagai pensyarah Fakulti Usuluddin, Jabatan Dakwah di Universiti al Azhar al Syarif. Selain itu, beliau turut mengadakan majlis pengajian bertempat di Masjid al Muhafazah, Tanta.

Perkahwinan.

Beliau berkahwin dengan Sayyidah Aminah binti Abdul Rahman al Khatib ketika berusia 27 tahun dan dikurniakan Allah dengan lima orang cahaya mata iaitu 4 putera dan seorang puteri. Mereka ialah Muhammad, Mustafa, Mahmud, Ahmad dan Iman.

Mazhab & Masyrab.

Sayyid Muhammad Khalil al Khatib merupakan seorang faqih bermazhab Hanafi. Namun begitu, beliau juga seorang alim lagi faqih dalam mazhab yang empat. Sering kali dalam majlis pengajiannya, beliau akan menjawab persoalan mengenai fiqh dengan mengemukakan pandangan daripada setiap mazhab. Beliau melalui masyrab sufi iaitu Khalwatiyyah dan Syazuliyyah di bawah bimbingan lima orang guru mursyid. Mereka ialah :

1) Sayyid Abdul Jawwad al Dumi, syeikh Tariqat Khalwatiyyah.
2) Sayyid Ali Daud, syeikh Tariqat Syazuliyyah.
3) Sayyid Mahmud Husain Syalabi.
4) Sayyid Abdullah Saad.
5) Sayyid Muhammad al 'Aqqad, syeikh Tariqat Syazuliyyah Fasiyyah Wafaiyyah.

Perkara ini beliau sebutkan dengan jelas di dalam kitabnya yang bertajuk Ithaful Akhyar bi Asohhil 'Aqoidi wal Azkar pada bab Sanad al Khatib. Beliau diizinkan untuk memimpin Madrasah Syazuliyyah Khalwatiyyah pada bulan Mac 1938 bersamaan bulan Muharam 1357 ketika berusia 30 tahun. Oleh yang demikian, beliau merupakan pengasas Tariqat Khatibiyyah Syazuliyyah Khalwatiyyah.

Karya-karya.

Beliau mula aktif dalam bidang penulisan ketika masih menuntut di peringkat menengah lagi. Sepanjang usianya, beliau telah menghasilkan sebanyak 77 buah karya yang merangkumi bidang Tafsir, Hadith, Nahu, Sorof, Balaghah, Sirah, Fiqh, Syair-syair Arab dan artikel-artikel semasa. Kitab yang telah mengharumkan nama beliau di kalangan para ulama' bertajuk Ithaful Anam bi Khutob Rasulil Islam yang menghimpunkan sejumlah 574 khutbah-khutbah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam pelbagai perkara. Beliau menghabiskan masa selama 15 tahun untuk menyiapkan kitab tersebut. Ini menggambarkan kepada kita tentang kesabaran dan ketelitian beliau bagi menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Beliau merupakan contoh terbaik sebagai penulis yang sabar, sasterawan yang kreatif serta pengkaji yang teliti.

Kewafatan.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat, 21 Februari 1986 (12 Jamadil Akhir 1406) dalam usia 77 tahun. Jenazah beliau disemadikan di Masjid al Muhafazah, Tanta. Semoga Allah meredhai beliau serta membalas jasa-jasa beliau dengan sebaik-baik pembalasan. Amin.
* Blogger ini pernah mengikuti pengajian dan tabaruk dengan pewarisnya iaitu Syeikh Mahmud al-Khatib
sumber

No comments:

Post a Comment

Author

Stats

Kata Hukama


About

Followers

Archives

Pelawat Seantero

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Sample Text

Kepada semua penulis asal, blogger atau sesiapa saja yang artikelnya saya petik dan masukkan di sini, saya memohon kebenaran dan diharap tidak dituntut di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya saya akan "quote" artikel asal dan sumbernya sekali, supaya apa yang dimaksudkan oleh penulis asal tidak lari atau menyeleweng. Saya ambil artikel-artikel penulisan untuk rujukan saya dan sahabat-sahabat pelawat. Saya masih cetek ilmu tidak sehebat sahabat-sahabat yang menulis artikel-artikel di blog ini. Jazakumullah khairan kathira kerana sudi menghalalkan ilmu untuk perkongsian seluruh masyarakat Islam

Popular Posts