Monday, 21 May 2012

Biografi Tuan Guru Hj Yusof Rawa


Latar Belakang
 
Yusof bin Haji Abdullah dilahirkan di Lebuh Acheh, Pulau Pinang pada 8 Mei 1922.
Bapanya adalah seorang pedagang yang merantau dari Sumatera berdagang Al-Quran, kitab-kitab dan alat-alat kegunaan untuk ibadat seperti tasbih, sejadah dan lain-lain.
Pendidikan awal Tuan Guru Yusof Rawa bermula di Sekolah Melayu Jalan Carnavon dan kemudiannya di Sekolah Charausta. Pendidikan menengah beliau ialah di Government English School dan kemudiannya di Penang Free School sehingga lulus peringkat Junior Cambridge.
Selepas itu bapanya menghantar beliau ke Makkah untuk menuntut dalam bidang agama. Semasa tercetusnya Perang Dunia Kedua, Tuan Guru Yusof Rawa terus menetap di Makkah untuk mendalami pengetahuan agama. Beliau menetap di sana selama 12 tahun.

Menghadapi Ujian
Semasa Jepun menyerang Tanah Melayu, kawasan tempat tinggal keluarga Tuan Guru Yusof Rawa dihujani dengan bom dari pesawat udara Jepun. Bapanya, Hj Abdullah Hj Nordin sempat menyelamatkan anak-anak dan isterinya. Walau bagaimanapun, tatkala keluar sekali lagi untuk mengambil sesuatu yang masih tertinggal di kedainya, sebutir bom gugur dekat dengannya.
Hj Abdullah terkorban dan tubuhnya berkecai. Peristiwa itu berlaku semasa Tuan Guru Yusof Rawa berada di Makkah.
Semasa di Makkah di zaman remajanya, Tuan Guru Yusof Rawa juga pernah diburu oleh pihak polis Masjidil Haram. Beliau terpaksa bersembunyi beberapa hari untuk mengelakkan daripada ditangkap polis. Peristiwa ini berlaku ekoran perkelahian di antara anak-anak Jawi dengan remaja Arab Makkah.
Sekembalinya Tuan Guru Yusof Rawa dari Makkah, beliau menerbitkan majalah Al-Islah. Di atas kegiatannya ini beliau ditahan oleh penjajah Inggeris yang mengesyaki beliau terbabit dengan gerakan Islah di Mesir.

Penglibatan dalam PAS
Tuan Guru Yusof Rawa mendaftar menjadi ahli seumur hidup pada awal penubuhan PAS iaitu pada tahun 1951. Pada tahun 1959 beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang. Beliau kemudian dipilih untuk menduduki Jawatankuasa Pusat yang ketika itu didominasi oleh pemimpin-pemimpin dari Pantai Timur dan Kedah.
Sejak dari zaman Dr. Burhanuddin Al-Helmy lagi, Tuan Guru Yusof Rawa sudah pun dianggap sebagai salah seorang pemimpin kanan PAS. Menjelang penghujung tahun 1970an, Tuan Guru Yusof Rawa menjadi Naib Yang Dipertua pertama dan Naib Yang Dipertua kedua adalah Ustaz Fadzil Noor.
Krisis kepimpinan dalam PAS menyaksikan Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Hassan Adli mengosongkan jawatannya. Tuan Guru Yusof Rawa mencabar Dato’ Abu Bakar Omar untuk jawatan tersebut tetapi kalah. Pada tahun 1981, Tuan Guru Yusof Rawa bertanding sekali lagi untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS dan menang.
Pergolakan PAS pada tahun 1982 telah memaksa Dato’ Mohd Asri Muda meletakkan jawatan. Jawatan Yang Dipertua PAS telah dipangku oleh Tuan Guru Yusof Rawa. Dalam Muktamar PAS ke-29 pada tahun 1983, Tuan Guru Yusof Rawa telah sebulat suara dilantik Yang Dipertua PAS.
Apabila Majlis Syura Ulama’ diwujudkan melalui pindaan Perlembagaan PAS, Tuan Guru Yusof Rawa telah dipilih sebagai Mursyidul Am yang pertama pada tahun 1987. Di atas sebab-sebab kesihatan, Tuan Guru Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua pada tahun 1989 tetapi kekal memegang jawatan sebagai Mursyidul Am.
Tuan Guru Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai Mursyidul Am pada tahun 1993. Jawatan itu dipegang seterusnya oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, selaku Mursyidul Am PAS yang kedua.

Menangani Krisis Peralihan
Tuan Guru Yusof Rawa mengambil alih kepimpinan ketika PAS berhadapan bukan hanya dengan kemelut dalaman PAS tetapi juga dalam angkatan gerakan Islam. Kemelut dalaman PAS berlaku apabila terpinggirnya Dato’ Asri dan angkatan pemimpin-pemimpin eranya. Ekoran itu berlaku pula tindakan dan ancaman terhadap PAS daripada penyokong-penyokong Dato’ Mohd Asri.
Kemelut dalaman di kalangan angkatan gerakan Islam pula berlaku apabila rakan kongsi perjuangan Islam, Anwar Ibrahim daripada ABIM membuat keputusan untuk menyertai UMNO. Tuan Guru Yusof Rawa amat kecewa apabila Anwar Ibrahim mengambil keputusan menyertai UMNO. Dalam perbualan telefonnya dengan Anwar, Tuan Guru Yusof Rawa menyatakan:
"…tindakan anda itu umpama menikam kami dari belakang”
Dengan pendedahan dan pengalamannya yang luas, dimantapkan dengan sikap keterbukaan dan kesederhanaannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya menampung kemelut ini sehingga PAS berjaya ditempatkan dalam arus perdana perjuangan Islam di negara ini.
Pendekatan dan mesej perjuangan Islam yang dibawa oleh Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya menarik minat angkatan muda dan pencinta-pencinta perjuangan Islam menyertai PAS. Dalam menangani era peralihan ini, Tuan Guru Yusof Rawa amat beruntung kerana dibantu oleh tokoh-tokoh besar seperti Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Hasan Shukri, Mustafa Ali dan tokoh-tokoh muda PAS yang lainnya.

Menangani Gejala Dalaman
Setelah melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua, Dato’ Mohd Asri Muda balik ke Kelantan dan mengadakan perjumpaan terbuka dengan penyokongnya mengecam pimpinan baru regu Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor.
Kumpulan ini mengancam untuk bertindak menggempur pimpinan baru PAS. Laporan yang diterima dari Kelantan melihat ancaman itu membahayakan perpaduan jamaah. Demi menjaga keutuhan parti, Tuan Guru Yusof Rawa melalui mesyuarat Jawatankuasa Disiplin telah membuat satu keputusan yang amat berat sekali.
Keputusan tegas dan berani telah dibuat dengan Ustaz Hasan Shukri selaku Setiausaha Agung telah mengeluarkan surat kepada Dato’ Mohd Asri Muda yang menyebut:
”Jawatankuasa Disiplin parti menggantung keahlian saudara daripada menjadi ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mulai dari tarikh keputusan ini dibuat sehingga kepada masanya diberitahu kelak.
Dengan demikian maka terlucutlah segala hak keahlian saudara dalam PAS seperti yang disebutkan oleh Fasal 14(10(a) hingga (e) mula tarikh di atas, 9 Rabiul Akhir 1403/23 Januari 1983 hingga masanya diberitahu kelak”
Bersama-sama Dato’ Mohd Asri Muda yang dikenakan tindakan disiplin ialah 12 orang lagi yang mana ada di antaranya dipecat, digantung dan diberi amaran. Sebahagian besar daripada mereka adalah ahli Jawatankuasa Agung. Tindakan ini dikira sebagai tindakan paling berani yang diambil oleh gandingan kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil demi menyelamatkan parti daripada ancaman krisis.

Mengasaskan Kepimpinan Ulama’
Isu kepimpinan ulama’ timbul dalam PAS apabila krisis melanda PAS di bawah kepimpinan Dato’ Mohd Asri Muda, terutama pada tempoh terakhirnya. Ia bermula dengan polimik apakah PAS parti Islam atau parti nasionalis?
Walaupun PAS tidak pernah berganjak bahawa ia adalah sebuah jamaah Islam, namun pandangan yang melihat PAS sebagai lebih kepada arah nasionalis amat berpengaruh pada era Dato’ Mohd Asri Muda.
Pertembungan pemikiran ini melemahkan daya tahan pimpinan angkatan Dato’ Mohd Asri Muda. Ada yang berpandangan bahawa malang yang merundung PAS ialah kerana ia tidak dipimpin oleh ulama’.
Tidak pula dinafikan pengaruh daripada kepimpinan ulama’ dalam Revolusi Iran mempengaruhi suasana dalam PAS pada masa itu. Kejayaan umat Islam meruntuhkan rejim zalim Shah Iran dilihat sebagai kejayaan cemerlang kepimpinan ulama’.
Dalam suasana inilah tampil tokoh besar dalam PAS seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan tokoh-tokoh pelapis seperti Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang. Berlatar belakang senario ini, Tuan Guru Yusof Rawa merintis jalan ke arah kepimpinan ulama’.
Sikap keterbukaan dalam gaya kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa telah menjadikan seluruh lapisan keahlian menerima dan terus memartabatkan kepimpinan ulama’ dalam PAS. Dengan itu, Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya memantapkan paksi perjuangan PAS sebagai parti politik Islam, gerakan dakwah dan harakah Islamiyyah melalui konsep kepimpinan ulama’.
Pindaan Perlembagaan 1983
Setelah memantapkan PAS di segi dalaman, Tuan Guru Yusof Rawa berusaha meletakkan semula PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang berwibawa di negara ini. Peluang tersebut muncul apabila Dr. Mahathir Mohamad mengambil langkah untuk menyekat kuasa raja-raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1983.
Tuan Guru Yusof Rawa menerajui PAS membantah langkah Dr. Mahathir. PAS mengambil sikap mempertahankan hak raja-raja Melayu dan menyekat pembolotan kuasa kerajaan yang cuba dilakukan oleh Dr. Mahathir. Tindakan ini sekali gus berjaya menampilkan PAS sebagai juara umat Islam dan bangsa Melayu.
Walaupun langkah ini diambil oleh Tuan Guru Yusof Rawa, dasar PAS tetap selaras dengan Islam. Ini kerana sepanjang sesi 1984-85, PAS di bawah pimpinan Tuan Guru Yusof Rawa sering berbicara mewakili golongan mustadafin dan menentang golongan mustakbirin.
Dalam tempoh tersebut, PAS memperkenalkan secara terbuka perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kefasadan. Seterusnya pada tahun 1985, di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, PAS meningkatkan kempen menentang segala bentuk asabiyyah, terutama asabiyyah UMNO dan Barisan Nasional.
Kebijaksanaan Tuan Guru Yusof Rawa merebut peluang daripada langkah Dr. Mahathir untuk menyekat hak raja-raja Melayu telah memberi ruang yang seluasnya bagi beliau menempatkan PAS kembali sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam yang relevan dan berwibawa di negara ini.

Tragedi Memali
Tragedi Memali yang tercetus pada 18 November 1985, berlaku semasa PAS diterajui oleh Tuan Guru Yusof Rawa. Tragedi ini merupakan pembunuhan kejam Ustaz Ibrahim Libya dan tigabelas muridnya akibat serangan kira-kira 4,000 anggota polis. Empat anggota polis turut terkorban.

Tragedi Memali bermotifkan politik.
Peristiwa ini berlaku apabila sokongan orang Melayu yang semakin meningkat terhadap PAS lantaran penerimaan mereka terhadap kewibawaan PAS dan kepimpinan ulama’. Tragedi Memali didahului sebelum itu dengan beberapa operasi penahanan ISA terhadap tokoh-tokoh Pemuda PAS.
Tuan Guru Yusof Rawa dengan tenang menangani tragedi di Memali. Tugas ini diserahkannya dengan penuh bijaksana kepada timbalannya, Ustaz Fadzil Noor, yang juga pada masa itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah. Di bawah kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa, PAS menegaskan bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya gugur sebagai syuhada’.
Pendirian ini dipertahankan oleh Tuan Guru Yusof Rawa walaupun Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Kedah mengatakan mereka tidak mati syahid dan dianggap sebagai syibghul bughah. Apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya sebagai bughah, atau penderhaka, Tuan Guru Yusof Rawa tetap cekal mempertahankan pendirian PAS bahawa mereka semua adalah mati syahid.

Menentang Kezaliman ISA
Semasa PAS diterajui oleh Tuan Guru Yusof Rawa, pemimpin-pemimpin PAS terutama tokoh-tokoh Pemuda sering berhadapan dengan tangkapan di bawah ISA. Semasa Dato’ Mohd Asri Muda menerajui PAS, pendirian PAS terhadap ISA adalah seperti yang diungkapkan sendiri olehnya sebagai:
”PAS merasakan betapa perlunya undang-undang itu bagi sebuah negara merdeka yang masih muda seperti Persekutuan Tanah Melayu demi menjaga keamanan negara dan mengawasi serta mencegah gerakan subversif, apatah lagi gerakan komunis yang amat memerlukan pengawasan dan prihatin daripada seluruh rakyat yang cintakan keamanan.
Sikap ini menjadi bukti kerana sekalipun PAS berada di pihak pembangkang, PAS tidaklah mengambil sikap menentang secara melulu, mentang-mentang menjadi golongan pembangkang, maka semua yang datang daripada kerajaan ditentang”
Berlainan dari zaman Dato’ Mohd Asri Muda, di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, PAS mengambil sikap dan pendirian yang berbeza terhadap ISA.
Perubahan ini ketara dalam Ucapan Dasar Tuan Guru Yusof Rawa pada tahun 1985. Di mana katanya:
”Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri yang diluluskan oleh Parlimen dan pindaan-pindaan yang telah dibuat ke atasnya lebih kejam lagi. Undang-undang ini tidak terikat kepada mana-mana prinsip sekalipun, kecuali kepada keinginan Menteri Dalam Negeri. Mangsanya dihukum tanpa memerlukan apa-apa pembuktian, sama ada dari yang dituduh atau yang menuduh”
Menyentuh penahanan pemimpin-pemimpin muda PAS seperti Ustaz Abu Bakar Chik, Abdul Razak Daud, Mohamad Sabu, Ustaz Bunyamin Ya’kub dan Suhaimi Said, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan:
”Penahanan mereka hanyalah semata-mata di atas keinginan Menteri Dalam Negeri yang didesak berulang kali oleh wakil-wakil dalam Perhimpunan Agung UMNO Bahaya kepada UMNO dianggap sebagai bahaya kepada keselamatan negara. Kemerosotan sokongan kepada UMNO dianggap perpecahan dan ancaman yang membahayakan orang-orang Melayu. Inilah lojik dan cara berfikir pemimpin yang mengamalkan prinsip diktator berparlimen”
”Undang-undang ini nyata sekali bertentangan dengan keadilan”
Dalam Ucapan Dasar pada tahun 1988, menyentuh tangkapan ISA terhadap sepuluh orang pemimpin muda PAS di bawah Operasi Lalang, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan:
”Sebenarnya tindakan ini bukan kerana keselamatan negara, tetapi adalah kerana muslihat pemimpin-pemimpin yang sudah terpisah dari orang ramai, terpisah dari perjuangan rakyat dan partinya sendiri, malah terpencil dari kliknya sendiri. ISA pada prinsipnya adalah undang-undang yang zalim kerana ia tidak memberi peluang membela diri kepada mangsanya dalam apa bentuk pun”
Dasar yang diambil oleh Tuan Guru Yusof Rawa terhadap ISA adalah jelas berdasarkan prinsip.

PAS menolak ISA kerana ia zalim!
Kejelasan pendirian dalam isu ISA inilah yang diwarisi oleh Ustaz Fadzil Noor ketika menerajui PAS.
Sumbangan kepada Gerakan Islam: Sikap Terbuka dan Sederhana
Sumbangan terbesar Tuan Guru Yusof Rawa terhadap gerakan dan perjuangan Islam di Malaysia adalah di atas tindakannya untuk mengukuhkan serta menempatkan kembali PAS dalam arus perdana politik dan dakwah di negara ini.
Kepimpinannya yang terbuka memberi ruang yang seluas-luasnya kepada tokoh dan tenaga muda pelapis dalam PAS untuk melakar dan mencorakkan peta baru perjuangan Islam di Malaysia melalui PAS.
Konsep kepimpinan ulama’ yang diterajuinya memartabatkan kedudukan gerakan Islam di atas paksi ilmu, syaksiyyah dan akhlak mulia pemimpin-pemimpin yang tinggi cita-cita perjuangan Islamnya.
Peralihan daripada sebuah gerakan yang dianggap sebagai nasionalis Islam kepada sebuah harakah Islamiyyah telah menarik minat golongan teknokrat, intelektual, para lepasan universiti tempatan dan luar negara serta pelbagai lapisan pencinta perjuangan Islam di negara ini.
Tuan Guru Yusof Rawa turut memberi ruang yang luas kepada barisan pimpinan pelapis untuk meneroka kerjasama politik dengan kaum bukan Islam. Beliau merintis jalan ke arah penubuhan CCC atau Chinese Consultative Council. Dalam konteks pengukuhan unsur-unsur dalaman PAS, Tuan Guru Yusof Rawa membuka ruang seluas-luasnya kepada pendekatan tarbiyyah dan harakiyyah.
Pendedahannya di luar negara serta pengetahuannya tentang perjuangan gerakan Islam seperti Ikhwan Muslimin dan gerakan-gerakan pembebasan yang lain, memberi keupayaan kepada Tuan Guru Yusof Rawa untuk mencorakkan gerakerja haraki dalam PAS.
Sikap ini telah berjaya memberi laluan kepada pendokong-pendokong Islam daripada pelbagai latar belakang untuk menyertai dan terlibat aktif dalam PAS. Demikian juga bagi mereka yang mendokong pendekatan Revolusi Islam Iran. Sikap terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa telah memberi ruang bagi mereka terlibat memberi sumbangan perjuangan Islam dalam PAS.
Di bawah kepimpinannya, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan bahawa apa yang boleh dianuti adalah semangat revolusi di segi menentang penindasan pemerintah yang zalim, tetapi bukan di segi anutan mazhabnya. Namun di sebalik sikap terbuka dan sederhananya, PAS di bawah teraju kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa tidak pernah berkompromi dengan kezaliman, penindasan dan kemungkaran.
Pendirian inilah yang menampilkan identiti PAS sebagai parti politik Islam dan sebuah harakah Islamiyyah. Di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, ditegaskan dengan jelas bahawa kepimpinan ulama’ bukan sahaja membawa makna kepimpinan mesti diterajui oleh ulama’.
Hakikat yang lebih utama adalah kepimpinan ulama’ berkehendakkan kepada kandungan perjuangan yang berteraskan ciri-ciri tarbiyyah, dakwah, ilmu dan satu pergerakan atau harakah yang menjadikan cita-cita Islam sebagai paksinya.
Jelas, di bawah kepimpinannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah meletakkan paksi penting perjuangan PAS selepas mengambilalih daripada Dato’ Mohd Asri Muda.

Pencapaian Sebagai Ahli Politik Islam
Kemenangan awal dalam penglibatan politik Tuan Guru Yusof Rawa ialah pada pilihanraya tahun 1969 apabila berjaya mengalahkan Dr. Mahathir Mohamad bagi kerusi Parlimen Kota Setar Selatan.
Sebelum penyertaan PAS dalam kerajaan Perikatan lagi, Tuan Guru Yusof Rawa telah diberikan kepercayaan oleh Tunku Abdul Rahman pada awal tahun 1970an untuk menganggotai delegasi negara melawat umat Islam di Taiwan.
Perlantikan ini dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman memandangkan kemampuan Tuan Guru Yusof Rawa bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.
Apabila PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada tahun 1973, Tuan Guru Yusof Rawa dilantik sebagai wakil Malaysia ke PBB untuk membahaskan isu-isu antarabangsa yang melibatkan Malaysia.
Tuan Guru Yusof Rawa juga pernah menjadi Konsul Kehormat Iraq di Pulau Pinang. Beliau tinggal selama setahun di New York untuk mewakili negara di PBB. Sekembalinya dari New York beliau menyertai pilihanraya tahun 1974 dan menang tanpa bertanding.
Sejurus selepas itu, sebagai salah seorang pemimpin kanan dalam parti, beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Utama. Menterinya pada masa itu adalah Tan Sri Musa Hitam.
Perlantikan ini menjadikan Tuan Guru Yusof Rawa sebagai anak Melayu Pulau Pinang pertama menjawat jawatan politik setinggi itu. Selepas itu, Tuan Guru Yusof Rawa dilantik pula sebagai Duta Besar Malaysia ke Iran. Ketika itu Shah Iran masih memerintah Iran. Dengan tugas sebagai Duta ke Iran, Tuan Guru Yusof Rawa juga ditauliahkan ke Turki dan Afghanistan.
Semasa menjalankan tugas tersebutlah Tuan Guru Yusof Rawa belajar bahasa Farsi dan bahasa Perancis di samping mengekalkan kefasihannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Apabila PAS dikeluarkan daripada Barisan Nasional pada tahun 1978, Tuan Guru Yusof Rawa kembali dari Iran pada tahun 1979 apabila tamat tempoh khidmatnya.
Tuan Guru Yusof Rawa kemudian memilih berkhidmat dengan PAS dan meninggalkan kerajaan. Tuan Guru Yusof Rawa juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang pada tahun 1992.

Penghormatan Terakhir
Tuan Guru Yusof Rawa menghembuskan nafas terakhir setelah solat subuh pada hari Jumaat, 28 April 2000. Penuh sesak orang membanjiri Masjid Gelugor pada solat Jumaat dan solat jenazah untuk Tuan Guru Yusof Rawa.
Sepanjang jalan dari Gelugor ke Kampong Makam yang terletak di pinggir bandar Georgetown dipenuhi oleh orang ramai yang datang untuk memberi penghormatan terakhir. Kaum Cina dan India juga datang untuk memberikan penghormatan terakhir. Turut hadir adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Koh Tsu Koon.
sumber

No comments:

Post a Comment

Author

Stats

Kata Hukama


About

Followers

Archives

Pelawat Seantero

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Sample Text

Kepada semua penulis asal, blogger atau sesiapa saja yang artikelnya saya petik dan masukkan di sini, saya memohon kebenaran dan diharap tidak dituntut di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya saya akan "quote" artikel asal dan sumbernya sekali, supaya apa yang dimaksudkan oleh penulis asal tidak lari atau menyeleweng. Saya ambil artikel-artikel penulisan untuk rujukan saya dan sahabat-sahabat pelawat. Saya masih cetek ilmu tidak sehebat sahabat-sahabat yang menulis artikel-artikel di blog ini. Jazakumullah khairan kathira kerana sudi menghalalkan ilmu untuk perkongsian seluruh masyarakat Islam

Popular Posts