Sunday, 20 May 2012

Biografi Umar Cik Ahmad - Tuan Guru Besut Terengganu

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Nama lengkapnya Haji Umar bin Cik Ahmad bin Cik Wan Abdul Lathif bin Cik Wan Cik bin Cik Wan Jat bin Cik Wan Abdul Lathif bin Cik Jenal bin Cik Hamat bin Cik Wan. Beliau berasal dari Patani dan dilahirkan di Besut pada tahun 1295 Hijrah/1878 Masihi, lebih muda sedikit daripada Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor (1293 Hijrah/1876 Masihi - 1375 Hijrah/1956 Masihi), yang telah dikisahkan dalam Ruangan agama, Utusan Malaysia sebelum ini. Beliau meninggal dunia di Kampung Raja, Besut, pada hari Selasa pukul 2.30 petang, 5 Zulhijjah 1360 Hijrah/23 Disember 1941 Masihi.

Pada namanya terdapat istilah `Cik Wan' atau dulunya ditulis dengan `Che' Wan' yang merupakan satu istilah keturunan bangsawan Patani yang berhak memerintah negeri. Istilah `Cik Wan' adalah berbeza dengan istilah `Wan' sahaja, walau pun sebenarnya masih termasuk dalam lingkungan satu kekeluargaan. `Wan' adalah lupus haknya untuk menjadi raja dalam Patani. Jadi ulama yang diceritakan ini merupakan keturunan raja Patani yang mempunyai hak untuk memerintah dalam Patani.

Daripada datuk nenek ulama inilah yang mencetuskan nama `Besut', yang sekarang berada dalam kerajaan Terengganu. Bermula ceritanya bahawa Cik Wan melarikan diri belayar menuju ke sebelah Timur melintasi beberapa kuala. Akhirnya beliau berhenti di sebuah Pulau Ru yang berhadapan sebuah kuala, iaitu paling penghabisan dalam bahasa Patani disebut `sut', ertinya tidak ada lagi sesudahnya, maka dinamakanlah kuala itu dengan Kuala Sut, lama kelamaan berubah menjadi Kuala Besut.

Cik Wan yang berasal dari Patani meninggal dunia dalam peperangan. Kuburnya dijumpai di Pengkalan Kubor, Kuala Besut. Kubur tersebut merupakan kubur yang tertua di Kuala Besut. Demikianlah riwayat ringkas datuk nenek Tuan Guru Haji Umar yang sekali gus merupakan gambaran awal kerajaan Besut dan ulama-ulama yang berada di dalamnya.

PENDIDIKAN
Umar memperoleh pendidikan asas dari lingkungan keluarga sendiri. Pendidikan al-Quran dan ilmu-ilmu asas yang lain beliau pelajari daripada ayah saudaranya Haji Ibrahim, adik beradik ayahnya. Ayahnya Haji Ahmad mempunyai sembilan adik beradik. Haji Ibrahim adalah yang paling alim dalam keluarga mereka, beliau pula sempat belajar kepada ulama besar Besut yang terkenal iaitu Syeikh Wan Hasan Besut bin Wan Ishaq al-Fathani. Syeikh Wan Hasan Besut adalah murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dari sini mempunyai silsilah dan sanad pelbagai ilmu Islam yang bersambung hingga yang lebih atas.

Sebelum Umar melanjutkan pelajaran di Mekah, beliau terlebih dulu memasuki salah sebuah pengajian pondok di Kelantan. Ketika di Mekah beliau di bawah bimbingan Tok Kenali, Tok Bacuk dan Tok Kemuning yang membolehkan beliau mengikuti pelajaran kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.

Oleh sebab Syeikh Ahmad al-Fathani mengajar orang-orang yang telah memperoleh ilmu yang banyak, maka Umar belajar kepada guru-guru yang lebih muda atau peringkat murid Syeikh Ahmad al- Fathani. Oleh itu Umar lebih banyak belajar kepada Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud), Syeikh Umar Sumbawa, Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid Bogor, dan ramai lagi.

AKTIVITI
Setelah Umar memperoleh pelbagai bidang ilmu di Mekah, beliau pulang ke Besut. Dalam tahun 1326 Hijrah/1908 Masihi, beliau membuka pondok pengajian di Kampung Palembang, iaitu sebuah kampung yang ramai dikunjungi orang pada zaman itu kerana tempat itu merupakan pelabuhan.

Sistem pengajian pondok Umar adalah seragam dengan pengajian-pengajian pondok lainnya, sama ada di Patani mahu pun dengan tempat-tempat lain di seluruh Semenanjung. Pengetahuan Islam sama ada yang berbahasa Melayu/Jawi mahu pun bahasa Arab adalah sangat ditekankan dalam pondok beliau.

Ada pun kitab-kitab Melayu/Jawi yang diajarkan terutama karangan guru-guru beliau atau karangan guru daripada guru beliau, di antaranya dalam bidang akidah ialah Faridatul Faraid karya Syeikh Ahmad al-Fathani, ad-Durruts Tsamin karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain. Mengenai fikah pula ialah Wusyahul Afrah, Mathla'ul Badrain, kedua-duanya karya Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani dan lain-lain. Ilmu tasawuf ialah Hidayatus Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.

Pengajian kitab-kitab Melayu/Jawi selain diajarkan kepada pelajar-pelajar pondok juga diikuti oleh masyarakat kampung. Walau bagaimanapun untuk pelajar-pelajar pondok lebih diutamakan kitab-kitab bahasa Arab. Kitab-kitab bahasa Arab yang beliau ajar di pondoknya mulai daripada yang paling rendah hinggalah yang besar-besar, di antaranya ialah:Fathul Qarib, Fathul Mu'in, I'anatuth Thalibin. Ketiga-tiganya adalah mengenai fikah. I'anatuth Thalibin adalah karya Syeikh Abu Bakar Syatha, kitab tersebut ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Kedua-dua ulama itu adalah guru beliau. Kitab-kitab fikah dalam Mazhab Syafie peringkat tinggi juga diajarkan oleh Umar, kitab-kitab itu ialah Minhajut Thalibin, Fathul Waahhab dan Mahalli.

Kitab-kitab mengenai bahasa Arab, nahwu dan sharaf merupakan mata pelajaran yang dianggap wajib. Di antara yang diajarkan ialah: Matan `Awamil al-Jurjani, Matan al-Ajrumiyah, Mukhtashar Jiddan, Qathrun Nada, Kaukabud Durriyah dan Tashilu Nailil Amani. Tashilu Nailil Amani adalah karangan gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Daripada kitab-kitab asas ilmu nahwu yang tersebut akan membolehkan kepada kitab-kitab yang besar-besar yang juga diajarkan oleh Tuan Guru Haji Umar di pondok pengajiannya.

Umar Besut selain berkemampuan mengajar kitab-kitab akidah, fikah, nahwu, sharaf dan lain-lain, beliau juga mengajar kitab-kitab tasawuf. Di antara kitab tasawuf yang pernah diajarnya ialah Minhajul `Abidin karangan Imam al-Ghazali. Selain mengajar Minhajul `Abidin yang berbahasa Arab, beliau juga mengajar Minhajul `Abidin bahasa Melayu terjemahan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Walaupun ada orang menafikan Tuan Guru Haji Umar Besut mengamalkan sesuatu Thariqat Shufiyah, namun menurut keterangan Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman (Kampung Raja Besut), beliau telah menemukan catatan bahawa Tuan Guru Haji Umar Besut pernah mentalqinkan Thariqat Sammaniyah. Yang ditalqinkan Thariqat Sammaniyah itu ialah Haji Cik Man Banggul (Imam Tua Banggul) dan Haji Sulaiman bin Haji Ibrahim. Haji Sulaiman adalah salah seorang murid Tok Kenali. Haji Sulaiman adalah ayah saudara kepada Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman yang tersebut. Selain Thariqat Sammaniyah ternyata Tuan Guru Haji Umar Besut juga mengamalkan Shalawat Dalail al-Khairat. Kitab Shalawat Dalail al-Khairat pernah diamal oleh tuan guru itu yang tercatat ijazah daripada gurunya juga ada dalam simpanan Ustaz Muhammad bin Abdur Rahman. Dalam catatan pula bahawa setiap malam Jumaat Tuan Guru Haji Umar Besut mengadakan halaqah zikir yang dimulakan dengan bacaan Al-Asma' Al-Husna. Daripada keterangan yang tersebut, tidak diragui bahawa Tuan Guru Haji Umar Besut adalah juga mengamalkan sesuatu Thariqah Shufiyah seperti ulama-ulama yang lain juga.

Selain yang tersebut di atas dalam peristiwa khilafiyah yang dibangkitkan oleh Mufti Haji Wan Musa Kelantan, ulama Besut bernama Tuan Guru Haji Muhammad bin Husein Besut dan Tuan Guru Haji Umar Besut termasuk dalam barisan ulama yang tidak sependapat dengan Mufti Haji Wan Musa Kelantan itu. Tuan Guru Haji Muhammad bin Husein Besut telah menyanggah pendapat Mufti Haji Wan Musa Kelantan itu dalam sebuah tulisannya bertarikh malam Isnin, 29 Syawal 1334 Hijrah. Sebelum sanggahan itu dikirim kepada Mufti Haji Wan Musa Kelantan, ulama Besut itu telah bermuzakarah dengan Tuan Guru Haji Umar Besut yang diriwayatkan ini.

KETURUNAN DAN MURID-MURID
Umar Besut berkahwin sebanyak dua kali. Perkahwinan yang pertama dengan saudara sepupunya bernama Hajah Khadijah, memperoleh tiga orang anak. Perkahwinan kedua dengan Hajah Wan Sa'idah binti Haji Wan Muhammad. Haji Wan Muhammad ini adalah Mufti Perak Darul Redzuan yang pertama. Usia Hajah Wan Sa'idah sekarang sudah hampir seratus tahun. Beliau menetap di Kampung Raja, Besut. Penulis sempat menemubual beliau (8 Mac 2004). Banyak cerita menarik diperoleh daripadanya. Di antaranya sewaktu beliau ke Mekah yang pertama bersama ayahnya, beliau mengenali Syeikh Ahmad al-Fathani dan Syeikh Nur al-Fathani. Kedua-dua ulama itu menurutnya sangat banyak keistimewaannya.

Perkahwinan Umar Besut dengan Hajah Wan Sa'idah binti Haji Wan Muhammad memperoleh anak enam orang. Di antaranya ialah Ustaz Haji Abdul Aziz. Beliau ini pernah berkahwin dengan anak Nik Mustafa Fadhil bin Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan (tokoh yang pernah diceritakan dalam Ruangan Agama Utusan Malaysia sebelum ini). Ustaz Haji Abdul Aziz adalah seorang penulis buku-buku untuk sekolah menengah kerajaan dan sekolah menengah agama di Kelantan.

Sebagai guru pengajian pondok yang lain juga, Umar Besut telah menurunkan murid yang ramai terutama di sekitar Besut atau seluruh Terengganu dan Kelantan. Murid-murid beliau itu ramai pula yang membuka pondok pengajian di beberapa tempat. Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Wan Saleh, Bukit Puteri, Besut, Tuan Guru Haji Abbas bin Muhammad, Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Lathif bin Awang, Alor Keladi, Jeretih, Besut, Tuan Guru Haji Muhammad Ali bin Haji Abdullah, Kampung Nering, Pasir Putih, Tuan Guru Haji Husein bin Awang Hamat, Pengkalan Pauh, Jeram, Pasir Putih dan ramai lagi.
sumber

No comments:

Post a Comment

Author

Stats

Kata Hukama


About

Followers

Archives

Pelawat Seantero

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Sample Text

Kepada semua penulis asal, blogger atau sesiapa saja yang artikelnya saya petik dan masukkan di sini, saya memohon kebenaran dan diharap tidak dituntut di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya saya akan "quote" artikel asal dan sumbernya sekali, supaya apa yang dimaksudkan oleh penulis asal tidak lari atau menyeleweng. Saya ambil artikel-artikel penulisan untuk rujukan saya dan sahabat-sahabat pelawat. Saya masih cetek ilmu tidak sehebat sahabat-sahabat yang menulis artikel-artikel di blog ini. Jazakumullah khairan kathira kerana sudi menghalalkan ilmu untuk perkongsian seluruh masyarakat Islam

Popular Posts