Hadis Nabi

  • Ulama Pewaris Nabi

    Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم bersabda

  • إن الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ، إِنَّ اْلأَنْبِياَءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْناَرًا وَلاَ دِرْهَماً إِنَّمَا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

    “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bagian yang banyak.” (Tirmidzi, Ahmad, Ad-Darimi, Abu Dawud. Dishahihkan oleh Al-Albani)

    Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم bersabda

  • إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعاً يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِباَدِ، وَلَكِنْ بِقَبْضِ الْعُلَماَءِ. حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عاَلِماً اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوْساً جُهَّالاً فَسُأِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

    “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya dari hamba-hamba. Akan tetapi Dia mencabutnya dengan diwafatkannya para ulama sehingga jika Allah tidak menyisakan seorang alim pun, maka orang-orang mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Kemudian mereka ditanya, mereka pun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan.” (HR. Al-Bukhari no. 100 dan Muslim no. 2673)

Pesan Umar Abdul Aziz

"Jika engkau bisa, jadilah seorang ulama. Jika engkau tidak mampu, maka jadilah penuntut ilmu. Bila engkau tidak bisa menjadi seorang penuntut ilmu, maka cintailah mereka. Dan jika kau tidak mencintai mereka, janganlah engkau benci mereka." (Umar bin Abdul Aziz)

Biografi Muhammad Imarah

22:45

Biografi Ringkas

Beliau dilahirkan di perkampungan Sarwah, daerah Qalin, Negeri Kafar Syeikh, Mesir pada 27 Rejab 1350H bersamaan 8 Disember 1931 dalam keluarga yang sederhana. Keluarganya bekerja sebagai petani dan kuat beragama. Menurut Muhammad ‘Imarah, bapanya seorang yang buta huruf tetapi seorang yang kuat berpegang kepada ajaran agama.
 
Bapanya telah menghantar beliau ke kuttab tetapi kerana pembelajaran di sana susah dan takut dipukul maka beliau menjadi petani. Namun bapanya inginkan juga beliau belajar dan bapanya menjadikan pekerjaan petani itu lebih susah dari belajar lalu beliau kembali ke kuttab dan menghafaz al-Quran dalam usia yang masih muda.
 
Sebelum kelahirannya, bapanya telah bernazar sekiranya anaknya lelaki akan diberi nama Muhammad dan akan diberi pelajaran agama iaitu menuntut ilmu di al-Azhar. Beliau mendapat pendidikan rendah di kampungnya dan pada tahun 1945, beliau telah memasuki Kolej Agama Dasuki dan memperolehi sijil pada tahun 1949. Pada tahun 1946, beliau telah menyertai demontrasi pelajar. Semasa tahun 1940, beliau telah berkecimpung dalam pelbagai aktiviti kenegaraan dan umat Islam, kesusasteraan dan menyertai aktiviti kemerdekaan negara dan isu Palestin. Belaiu mula berkhutbah di Masjid dan menulis artikel di surat khabar dan majalah di Mesir. Pada masa ini, beliau mula mengenali almarhum Ahmad Husain –ketua Pertubuhan Belia Mesir. ( Misr al-Fata).

Artikel yang pertama yang disiarkan dalam akhbar Misr al-Fata bertajuk “ Jihad” di Palestin pada april 1948. Apabila melihat artikelnya, diterbitkan dalam akhbar beliau telah berazam dan berfikir untuk terus menulis. Di samping itu, beliau berkhutbah di Masjid mengenai isu Yahudi dan Israel. Sejak itu juga, beliau mula mengajar di masjid-masjid terutama dalam bulan Ramadan.

Pada masa ini juga, beliau terkesan dengan Syeikh Muhammad Kamil al-Fiqi yang menjadi gurunya di Kolej dan kemudiannya menjadi Dekan di al-Azhar. Menjadi kebiasaan kepada gurunya ini yang mengajar kesusasteraan Arab iaitu menyuruh pelajar-pelajar membaca akhbar harian dan buku-buku yang lain dari silibus. Sejak itu, beliau membeli buku “ Nazarat li Manfaluti” dan beliau merasa kagum dengan uslub kesusasteraannya.

Menurut Muhammad ‘Imarah lagi, ada satu peristiwa yang menyebabkan pembentukan pemikirannya iaitu ada seorang al-Azhari yang alim di kampungnya. Beliau memiliki perpustakaan peribadi yang melebihi dari tiga ribu naskhah buku. Ditakdirkan Allah, apabila beliau tamat pengajian di peringkat kolej beliau telah meninggal dunia dan buku-bukunya ini tidak dapat dibaca oleh ahli keluarganya. Lalu saya membeli kesemua buku-buku tersebut. Sejak itu, beliau mulai membaca syair-syair dan falsafah Barat. Perkara ini yang menambahkan pemikirannya di samping pelajaran yang dipelajari di al-Azhar.(Muhammad Imarah, 1998. hal.31)

Pada tahun 1949, beliau memasuki Kolej Menengah Agama Ahmadi Tanta dan memperolehi sijil pada tahun 1954. Pada masa ini, beliau aktif dalam persatuan pelajar dan menjadi salah seorang penceramah dalam persatuan pelajar. Pada masa ini juga, parti Misr al-Fata menjadi parti Sosialis. Sejak itu, beliau mula mengkaji dan mempelajari idea-idea sosialis dalam menentang ketidakadilan kepada petani-petani. Khutbah-khutbah Jumaatnya berkisar terhadap pembelaan kepada golongan miskin dan petani.

Pada Revolusi 22 Julai 1952, Parti tersebut telah dibubarkan dan tidak ada parti yang membela golongan petani. Pada ketika itu terdapat satu golongan yang dinamakan “Ansar al-Salam”. Mereka menerbitkan akhbar dan terdapat artikel yang ditulisan ruangan al-Katib. Dalam tulisan tersebut dimuatkan mengenai peringatan kepada umat Islam dan Arab terhadap rancangan pendudukan tentera Amerka di Arab Saudi kerana ia merupakan tempat suci orang Islam. Ia juga dalam keadaan bahaya sekiranya berlakunya peperangan antara Amerika dan Rusia disebabkan perang dingin antara mereka. Artikel ini telah menarik minat golongan sosialis dan beberapa negara sosialis. Apabila saya berjumpa dengan golongan ini, mereka menyeru saya untuk menyertai ahli mereka bagi melawan pendudukan Amerika. Ternyata golongan ini adalah golongan berhaluan kiri di Mesir. Pada tahun 1954, beliau telah memasuki Darul Ulum, Kaherah dan memperolehi B.A dalam bahasa Arab dan Pengajian Islam pada tahun 1965. Sepatutnya beliau menjadi graduan pada tahun 1958 tetapi disebabkan kegiatan dalam politik menyebabkan beliau telah terlewat menjadi graduan.( Muhammad ‘Imarah, 1998, hal. 31)

Menurut Muhammad ‘Imarah lagi, beliau pernah dipenjara oleh Gamal Abdul Nasir selama 6 tahun dan di seksa dalam tahanan. Dalam menghadapi ujian ini, beliau mula kembali membaca dan menulis. Beliau telah menulis empat buah buku dalam masa tesebut yang berkisar tentang kebangkitan nasionalisme, isu bangsa Arab, kesatuan dan perpaduan bangsa Arab dalam era Moden, dan Yahudi. Namun isu yang paling penting ketika itu adalah keadilan sosial. Beliau mula meneliti asek keadilan social dari perspektif Islam dengan lebih mendalam berbanding dari perspektif sosialis. Ternyata gabungan beliau dengan kumpulan dan aliran pemikiran sosialis itu tidak memberi kesan kerana perspektif Islam dalam keadilan social itu lebih menonjol. Kemudian beliau tidak lagi berkecimpung dalam gerakan tersebut memandangkannya sebagai seorang muslim. Sejak itu, beliau mula bergiat dalam Persatuan Pengguna. Setelah bertugas di sana selama tiga tahun, Muhammad ‘Imarah ditukarkan di Kementerian Kebudayaan. Pada masa ini, beliau masa menghabiskan pengajian peringkat Masters dan Ph.D di Kuliah Darul Ulum dalam bahagian falsafah islam. Beliau memperolehi M.A pada tahun 1970 dengab tajuk “Mu’tazilah wa Muskilat al-Hurriyah al-Insaniyyah” (Muztazilah dan Masalah kebebasan Manusia) dan Ph.D dalam tahun 1975 dengan tajuk “ al-Islam wa falsafah al-Hukm” (Islam dan Falsafah Hukm). Menurut Muhammad Imarah lagi, kesemua itu merupakan satu perkembangan pemikiran kerana sejak dulu lagi beliau tetap berpegang kepada prinsip dan ideologi Islam dan dibesarkan dalam lingkungan agama. Setelah beliau meneliti kesemua kedudukan ideologi dan pemikiran tersebut, beliau yakin dengan keistimewaan prinsip Islam. Sejak itu beliau mula menulis mengenai pembaharuan dan ketamadunan Islam. Beliau mula menyunting dan menerbitkan juzuk pertama tulisan Jamaluddin al-Afghani pada tahun 1968. ( al-Amal al-Kamilah Jamaluddin al-Afghani), Tulisan-tulisan peninggalan Abdul Rahman al-Kawakibi pada tahun 1970 dan tulisan-tulisan Muhammad ‘Abduh pada tahun 1972. Muhammad ‘Imarah mengakui bahawa beliau belajar berkhutbah sejak di peringkat rendah, membaca tiga ribu kitab yang dibelinya, menjadi khatib semasa berpersatuan dan pernah ditangkap oleh Gamal Abdul Nasir semasa belajar di universiti. Di samping itu, beliau berkecimpung dalam pergerakan rahsia dari segi politik tetapi dari segi ideologi beliau tetap berpegang kepada prinsip Islam kerana beliau dididik dan dibesarkan dalam pengaruh agama. Inilah pengakuan Muhammad ‘Imarah dan sekaligus menolak yang mengatakan bahawa beliau adalah pengikut ideologi sosialis dan karl Max.(Muhammad imarah, 1998, hal.31)

Beliau menjadi ahli jawatankuasa dalam pelbagai institusi ilmiah.Antaranya ialah :

i. Majlis Tertinggi Pentadbiran Islam di Mesir.
ii. Institut Pemikiran Islam Antarabangsa atau dikenali sebagai IIIT
iii. Pusat Pengajian Ketamadunan di Mesir
iv. Badan Diraja bagi Penyelidikan Ketamadunan Islam di Jordan.

Beliau telah menerima pelbagai anugerah, antaranya ialah :
1. Anugerah Persatuan Sahabat Penulis Lebanon pada tahun 1972
2. Anugerah Calon Contoh bagi Negara Mesir pada tahun 1976
3. Anugerah Sains dan Kesenian Peringkat Pertama bagi Negara Mesir pada tahun 1986
4. Anugerah Ali dan Uthman Hafiz bagi Pemikiran pada tahun 1997
5. Anugerah Badan Diraja bagi Penyelidikan Ketamadunan di Jordan pada tahun 1997
6. Anugerah Aliran Pemikiran Islam –Kategori Kepimpinan pada tahun 1998.

Pada tahun 1998, penulis pernah berjumpa dengan Muhammad ‘Imarah di Iskandaraiah dalam satu program yang dianjurkan oleh pihak Kedutaan Malaysia di Kaherah. Di samping itu, penulis juga pernah bersama-sama dengan beliau dalam program yang dianjurkan oleh IIIT Mesir yang mana pada ketika itu Dr. Ali Jumaah (kini Mufti Mesir) merupakan Ketua Pusat Latihan – (Qism al-Wafidin) bagi pelajar asing di Mesir. Pada tahun 2000, pihak ABIM telah bersetuju untuk menjemput Dr Muhammad Imarah untuk menghadiri Seminar sempena muktamar ABIM dan saya telah diamanahkan untuk menghubungi beliau. Namun, beliau tidak dapat menghadiri disebabkan keadaan kesihatan yang telah uzur dan tidak mampu untuk berjalan jauh.

Dalam satu ceramah yang diadakan di IIIT, Mesir yang bertajuk “ Kebangkitan Islam dan aliran Semasa” yang dipengerusikan oleh Fahmi Hiwaidi, Muhammad ‘Imarah menegaskan bahawa kebangkiatan Islam itu ialah memberi kesedaran yang menyeluruh kepada umat Islam dan menjadikan umat Islam merdeka yang sebenarnya. Menurutnya lagi, sememangnya sepanjang sejarah Islam terdapat tokoh-tokoh yang memberi kesedaran dan ingin membaiki kelemahan umat Islam seperti gerakan Wahabiah, gerakan Sanusiah, gerakan Mahadiah tetapi serangan pemikiran Barat dan penjajahan telah memusnahkan pergerakan tersebut. Kebangkitan Islam bukanlah sekadar kemerdekaan dari segi fizikal, bukan sahaja kemerdekaan dari segi ekonomi tetapi juga adalah kemerdekaan ketamaduun (Iqtiqlal hadari). Umat Islam perlu mempunyai ciri-ciri yang membezakannya dengan umat yang lain. Kunci kepada kebangkitan Islam ialah mempelajari isu-isu dan cabaran sejarah dan ketamadunan dalam melawan pemikiran Barat. Menurutnya lagi, tidak dinafikan bahawa dalam kebangkitan Islam itu terdapat aliran yang keras dan radikal dan beliau yakin aliran ini amat terbatas dan kesannya sedikit. Perkara yang penting dalam kebangkitan Islam ialah aliran pembaharuan (harakah al-Ihya wa al-Tajdid) iaitu yang bersumberkan kepada pemikran yang bernas dan memiliki kekuatan sehingga umat dapat membina ketamadunan yang mampu menyegarkan pemikiran dan menonjolkan nilai-nilai yang baik dalam berpolitik, ekonomi dan kemasyarakatan serta mampu untuk menangkis serangan Barat dan kelemahan yang diwarisi dari kerajaan Mamalik dan Uthmaniah.(Muhammad ‘Imarah, 1988.hal. 8-11)

Menurut Muhammad ‘Imarah lagi, bahawa aliran pertengahan yang dibawa oleh al-Afghani dan Muhammad Abduh, Rashid Reda dan Hassan al-Banna merupakan aliran tajdid dan pembaharuan yang paling layak diikuti. Oleh sebab itu, beliau menulis, mengkaji dan menyunting tulisan-tulisan mereka dan memerangi segala bentuk fanatik agama dan pemikiran barat yang merosakkan.(Muhammad ‘Imarah, 1998.hal. 31)

Muhammad ‘Imarah menyandarkan dirinya kepada aliran wasatiyyah dan sentiasa menyeru kepada wasatiyyah yang menyeluruh yang mengabungkan ciri-ciri kebenaran dan keadilan. Akal Islami ialah mengabungkan akal dengan wahyu. Iman Islami ialah mengabungkan iman kepada yang ghaib dengan iman kepada alam yang nyata. Wasatiyyah Islam merupakan satu keperluan kerana ia adalah ciri-ciri keistimewaan umat Islam dan pemikiran Islam. Fiqh Islami juga adalah fiqh yang sederhana dan seimbang iaitu mengabungkan syariat yang tetap dengan realiti yang berubah-ubah, mengabungkan fiqh hukum dengan fiqh realiti. Dengan itu Allah menjadikan umat Islam sebagai umat yang pertengahan dan seimabng.

Islam : al-Din wa al-Dawlah
Beliau juga menegaskan bahawa Islam adalah agama dan daulah. Namun begitu Islam mengingkari daulah diniah (Kerajaan berasakan agama) Beliau menjelaskan bahawa dalam aliran secular, negara adalah pemisah antara agama dengan pemerintahan. Sementara Islam, merupakan akidah, syariah, agama dan daulah. Ia bukan risalah spiritual semata-mata. Daulah dalam Islam berlainan sekali dengan kefahaman dalam agama Kristian. Nadhah umat Islam apabila ia melaksanakan syariat dalam Negara Sivil Islam (al-Daulah al-Madaniyyat al-Islamiah). Tetapi apabila ia lari dari pengislaman undang-undang, ia merupakan permulaan jalan kepada umat Islam ke arah jumud dan kemunduran. ( Muhammad Imarah,1997.hal. 34) Penyimpangan ini berlaku pada zaman Mamalik dibawah pemerintahan Ginkizkhan (562-624H-1168-1227M) yang tidak menggunakan undang-undang syariah dalam perundangan negara. Menurut Muhammad ‘Imarah, sekular bukan jalan bagi umat Islam untuk maju tetapi kemajuan umat Islam untuk maju ialah kesedaran dan fiqh serta perundangan yang sebenar dengan ajaran Islam.

Muhammad ‘Imarah menegaskan bahawa Islam adalah al-Din wa al-Dawlah dan kita mesti percaya dengan yakin hakikat ini. Ini sekaligus menafikan persamaan kita dengan perkara yang dialami oleh tamadun Barat dalam isu ini. Kita mengetahui terdapat segelintir dari umat Islam yang terpengaruh dengan menyatakan bahawa Islam mempunyai persamaan dalam isu ini dengan menyatakan Islam adalah risalah spiritual semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan politik dan kekuasaan.

Antara orang yang mula mendakwa perkara tersebut ialah Syeikh ‘Ali Abd al-Raziq (1887-1966) dalam buku al-Islam wa Usul al-Hukm. Buku ini diterbitkan pada Ramadan 1343/April 1025 yang diterbitkan oleh seorang Syeikh al-Azhar dan hakim syar’ie yang mengharuskan pengguguran khalifah Islamiah yang telah disepakati oleh ijmak mengenai kewajipannya. Beliau menyebutkan bahawa Nabi Muhammad adalah Rasul bagi dakwah agama semata-mata. Ia tidak mendirikan pemerintahan atau kerajaan dengan kefahaman politik atau kalimat yang membawa pengertian yang serupa dengannya. Ia hanya sebagai seorang rasul seperti rasul-rasul yang lain. Mereka bukanlah seorang pemerintah atau pengasas kerajaan dan tidak menyeru ke arah kerajaan.

Kemudian terdapat golongan yang mengikuti dakwaan ini yang terdiri dari golongan yang terpengaruh dengan pemikiran Barat (al-Fikriyyah al-Taghrib). Mereka membawa hujah bahawa al-Quran tidak menceritakan nabi Muhammad sebagai seorang tokoh negarawan. Pandangan ini pernah dinyatakan oleh Muhammad Ahmad Khalfullah yang menyebutkan bahawa al-Quran tidak pernah menceritakannya sebagai ketua kerajaan. Ia hanyalah sebagai seorang nabi dan rasul.(Muhammad ‘Imarah, 1997, hal.40)

Apabila kita ingin membongkar dakwaan mereka ini, kita harus mengetahui bahawa para ulamak sunni telah bersepakat bahawa daulah itu bukanlah satu rukun atau perkara asas dalam rukun agama –rukun Islam hanya lima perkara. Sememangnya al-Quran tidak menceritakan tentang peraturan pemerintahan secara detail seperti suruhan terhadap solat dan perkara-perkara iktikad yang lain. Al-Quran hanya menceritakan tentang manhaj, maqasid, tujuan dan falsafahnya dalam perkara tersebut kerana ia merupakan perkara yang berkembang dan berubah. Dari sinilah manusia boleh mengurus negara dan masyarakat mereka. Kedudukan daulah bukan sebagai rukun dalam rukun-rukun agama bukanlah bermakna menafikan hubungan kedua-duanya seperti yang difahami oleh golongan sekular, malah hubungan kedua-duanya ini yang menjadikan Islam sebagai agama yang teristimewa dan berbeza dengan yang lain.(Muhammad ‘Imarah, 1997, hal. 41)

Aliran-Aliran Pemikiran

Mengenai aliran pemikiran, Muhammad 'Imarah menyebutkan bahawa aliran yang menghidupkan pembaharuan Islam, mereka ini berada dalam madrasah Asolah al-Fikriyyah Fi Shari‘atina wa Tasri‘atina. (aliran pemikiran asli dalam syariah dan perundangan).Antara mereka yang berada dalam aliran ini ialah Muhammad al-Ghazali, Yusuf al-Qaradawi, Muhammad ‘Abduh, Rashid Rida, Mahmud Shaltut, Abdullah Darraz, Muhammad al-Khudari dan Abu Zahrah. Muhammad ‘Imarah membahagikan kepada empat aliran terpenting iaitu :

1. Madrasah al-Ra’yu – Fuqaha yang lebih mirip melihat kepada sausana dan keadaan dalam menafsirkan sesuatu nas. Mereka menafsir berdasarkan keadaan sekeliling. Aliran ini bukan aliran yang menafikan nas tetapi ia hanya manhaj berinteraksi semasa berijtihad bagi menghasilkan hukum.

2. Madrasah al-Ashar – Mereka tidak mengingkari aliran al-Ra’yu secara mutlak tetapi lebih kepada zahir nas dan pendekatan harfiah.


3. Madrasah Muwazanah wa Tarjih bayn Madrasah al-Ra’yu wa al-Ashar (aliran pertimbangan dan tarjih antara aliran akal dan nas) Antara polopur aliran ini ialah Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim.

4. Madrasah Asalah al-Fikriyyah fi Syari‘atina wa Tasri‘atina ( aliran pemikiran asli dalam syariah dan perundangan). Mereka ini termasuk dalam golongan yang mahu menghidupkan pembaharuan pemikiran Islam. Mereka bergantung kepada aliran Ashar dan akal, mengikut manhaj mawazanat (pertimbangan) dan tarjih tetapi berbeza dari madrasah Ibn Taimiyyah tadi. Mereka membuat tarjih lebih kepada akal beserta dalil, meniktibarkan dalil-dalil akal merupakan asal bagi nas, lebih mengutamakan al-Qur’an dari al-Sunnah, bergantung kepada nas-nas kitab lebih dari hadith ahad, mengingkari nasakh yang membatalkan ayat-ayat terdahulu, mengambil fikrah-fikrah mazhab yang bersesuaian, mengingkari taqlid dan sentiasa menghormati ilmu ulama muktabar dan tidak bersandarkan kepada mana-mana aliran lama dan baru.

Di samping itu terdapat satu lagi aliran yang lebih kepada aliran pemilihan individu (aliran talfiq di antara berbagai pandangan). Mereka ini muncul pada abad 13 dan 14 hijrah yang mahu keluar dari jumud pemikiran dan yang sentiasa terikat dengan matan-matan feqah semata-mata. Mereka ini seperti al-San‘ani, al-Shawkani, Sayyid Sabiq, Siddiq Khan dan al-Bani. (Muhammad ‘Imarah, 1992, hal. 30-40)

Muhammad ‘Imarah juga melihat pemikiran Islam masa kini ada tajdid (pembaharuan) dan ada juga taghrib (pembaratan), ada tanwir (penjernihan) dan ada juga tazwir (pemalsuan). Kata-kata yang mengindikasikan adanya krisis pemikiran di kalangan umat Islam. Krisis pemikiran ini semakin parah dalam pertengahan abad ke 18M apabila seluruh dunia Islam telah menjadi sasaran terbuka bagi pemikiran Barat dengan tingkat yang berbeza-beza. Generasi Islam berhadapan dengan serangan pemikiran barat dan pemikiran Islam satu persatu lenyap dan mengalami kebekuan. Beliau juga membahagikan pemikiran Islam masa kini kepada tiga bahagian utama :

Pertama : Orientasi konservatif yang membeku dalam budaya taklid. Aliran ini hanya memandang kepada belakang sahaja dan berpegang kepada nas semata-mata, terpisah dari konteks persekitaran dan terputus dari maqasid al-shari’ah. Termasuk dalam kategori ini tarikat-tarikat sufi dan institusi pengajian tradisional.

Kedua : Orientasi modenis-sekularis yang ingin melakukan perubahan dengan barat sebagai model. Mereka bergantung kepada metodologi barat dan sekular dalam membangunkan ketamadunan. Mereka hanya melihat kepada kebendaan dan realiti dunia yang nampak sahaja tanpa melihat kepada yang ghaib. Mereka juga menjadikan akal (al-‘Aql) dan pengalaman (al-Tajribah) sebagai sumber ilmu semata-mata tanpa wahyu (al-Naql) dan emosi (al-Wajdan). Mereka hanya memandang kepada barat semata-mata dan membeku pada falsafah dan pengetahuan mereka sahaja.

Ketiga : Orientasi Islahi-tajdidi yang berusaha untuk memecah kebekuan taklid. Orientasi ini tercetus dari dorongan dalaman iaitu semangat tajdid dan cabaran luaran iaitu modenisme barat. Mereka ini adalah seperti Jamal al-Din al-Afghani (m. 1897M), Muhammad ‘Abduh dan Rashid Rida dan Hassan al-Banna. Orientasi ini memberi impak kepada politik, dakwah dan pendidikan. (Muhammad ‘Imarah, 2003, hal. 5-6)


Istilah fundamentalis
Beliau juga menghuraikan istilah fundamentalis yang sering disalahertikan oleh barat. Menurutnya, umat Islam terlalu terjebak dengan termonologi yang merugikan dan menjadi kewajipan kita untuk membebaskan terminologi-terminologi dengan makna yang sebenar dan menyelamatkan pemikiran Islam dari bahaya yang ditimbulkan. Menurut Muhammad Imarah, terminologi fundamentalisme yang beredar di kalangan sarjana, kebudayaan dan tokoh politik sekarang adalah terminology yang tumbuh di Barat dan memuatkan kandungan pengertian Barat. Sedangkan terjemahan ke dalam bahasa Arab dengan al-Usuliyyat yang bererti mempunyai akar Islam dan mengandungi makna islami yang terkandung dalam makna. Percampuran makna dan istilah-istilah ini menyebabkan ia mempunyai pengertian, latar belakang dan isyarat yang berbagai-bagai. Hujah Imarah lagi, kalimat al-yasar dalam dunia Barat adalah untuk para pekerja, golongan miskin dan orang-orang memerlukan bantuan. Sedangkan dalam pengertian Islam terminologi Islam ini memberi pengertian sebaliknya iaitu golongan kaya, yang mendapat kemudahan material dan makmur. Fundamentalis pada pandangan Barat pada dasarnya sebuah gerakan Protestan yang tumbuh di Amerika dan muncul pada abad 19 masehi dari kalangan gerakan yang lebih luas iaitu golongan Mesianik yang menyakini kembalinya al-Masih secara jasad ke dunia sekali lagi. Mereka juga mempunyai lembaga-lembaga yang berperanan memelihara kitab suci Injil.

Muhammad ‘Imarah menyebutkan bahawa perlukah kita memahami fundamentalisme Islam dengan pengertian Barat iaitu sikap aliran fundamentalis Kristian terhadap agama mereka. Menurutnya lagi, trend pemikiran fundamentalis yang difahami oleh Barat tidak tidak ada dalam bidang pemikiran Islam kerana perbezaan dan keragaman antara aliran-aliran Islam ini telah mengambil jalan tengah terhadap ta'wil dan tidak ada satu mazhabpun yang menolak teks-teks secara ta'wil. Menurutnya, fundamentalisme dalam Islam adalah golongan para ulamak usul fiqh yang mewakili salah satu bidang kontribusi umat Islam dalam kajian-kajian ilmu-ilmu akal. Iaitu bahawa mereka adalah para pakar dalam bidang pengambilan kesimpulan hukum (istinbat), menggunakan dalil melalui isyarat teks agama, ijtihad dan pembaharuan (tajdid). (Muhammad ‘Imarah,1998b, hal. 68-69)


Al-Tanwir al-Islam (Pencerahan Islam)

Dalam bukunya al-Islam bayn al-Tanwir wa al-Tazwir, Muhammad Imarah menjelaskan maksud al-Tanwir. Menurutnya pembaharuan Islam (al-Tajdid al-Islami) boleh juga di panggil dengan nama al-Tanwir al-Islami (penjernihan/pencerahan Islam) jika kamu bersetuju untuk memanggilnya iaitu yang menyinari ahlinya dengan cahaya Islam, cahaya al-Quran, cahaya Rasul dan cahaya hikmah dan berpendapat bahawa akal merupakan jalan untuk mendapat ilmu pengetahuan di samping ilmu wahyu dan pengalaman serta emosi. Ia menggabungkan empat unsur iaitu wahyu (al-Naql), akal (al-‘Aql), (al-taribah) (pengalaman) dan al-Wajdan (emosi). Ia berbeza dengan penjernihan barat yang hanya mengiktirafkan dua unsur sahaja iaitu akal dan pengalaman. Sementara falsafah penjernihan barat seperti yang dikenali oleh orang Eropah pada kurun ke 18 hanya mencerminkan pembahruan ketamadunan yang bukan berpijak atas dasar agama sehinggakan akal, ilmu dan falsafah mengantikan tempat Allah dan agama terutama dalam urusan kemasyarakatan dan pembangunan manusia. Keistimewaan Tanwir al-Islami ialah keseimbangan antara pancaran cahaya syariat dengan cahaya akal iaitu wasatiyyah yang menyeluruh yang menolak golongan yang terlalu ketat berpegang kepada nas semata-mata dan mengingkari peranan akal dan membeku dalam tradisi, taklid dan jumud dengan golongan yang teralalu longgar yang hanya bergantung kepada akal dengan sangkaan bahawa akal itu bertentangan dengan nas. Perkara ini pernah disentuh oleh Imam al-Ghazali bahawa tidak ada pertentangan antara syarak dengan akal.bagi golongan jumud, taklid dan zahir nas bahawa tidak ada bagi mereka melainkan kelemahan akal dan kurang penelitian. Sementara golongan yang mengecam akal dan berpegang kepada syarak semata-mata dan tidak ada pada mereka melainkan dhamir yang buruk Kedua-dua mereka cenderung kepada ketat dan longgar dan kedua-duanya adalah jauh dari manhaj Islam yang sebenar.

Tanwir al-Islami adalah mempercayai kedudukan akal dan wahyu dan mengabungkan kedua-dua dalam pembinaan tamadun dan inilah yang membezakannya dengan tamadun –tamadun yang lain. Inilah yang membezakan golongan yang menjadikan falsafah sebagai agama dan agama sebagai falsafah. Di samping menggunakan istilah al-tanwir, Muhammad Imarah juga menggunakan istilah al-Ihya’ al-Islami. Menurutnya maksud al-Ihya’ merupakan istilah Quran yang memberi satu pengertian yang mendalam dengan maksud satu pemberian yang menyeluruh dari agama Islam untuk menyediakan umat Islam bagi menikmati kehidupan yang hakiki dalam semua bidang sama ada di dunia mahupun di akhirat. Muhammad Tahir bin Asyhur menjelaskan maksud al-Ihya’ iaitu pemberian kepada manusia apa yang mendatangkan kepada kesempurnaan lalu ia memanfaatkan perkara tersebut dengan sebaik-baiknya yang terdiri daripada akal yang sihat dan iktikad yang sebenar, berakhlak mulia, pembaikan individu dan masyarakat, kebebasan hidup dan istiqamah. Allah menyifatkan orang islam dan ihya’ al-Islami dengan firman Allah yang bermaksud : “ membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka ‘ (al-Araf , ayat 157). Ihya’ al-Islami merupakan pembebasan dari perhambaaan dan keberhalaan. Inilah pembebasan dan Ihya’ yang disarankan oleh Islam dalam segala bidang kehidupan. Oleh itu, ulamak menyebutkan bahawa pembebasan dengan membebaskan diri dan menghidupkannya merupakan ihya’ yang sebenar manakala pehambaan merupakan satu kematian dan mati. Dari sini juga, pembebasan negara dan anah air dari belenggu penjajahan dan pemikiran asing merupakan satu ihya’ al-Islami. Menurut Muhammad Imarah lagi, istilah-istilah seperti sahwatul Islamiah (kebangkitan Islam), Tajdid al-Islami (pembaharuan Islam), Tanwir al-Islami (Pencerahan Islam). Al-Wa’iyy al-Islami (Kesedaran Islam), al-Ihya’ al-Islami ( Penghidupan Islam) merupakan istilah yang diguna pakai untuk mengambarkan kepada pembaharuan dan kebangkitan dakwah Islamiah di seluruh dunia. Kesemua istilah tersebut memerlukan umat Islam untuk melakukan pembaharuan untuk mereka memimpin dunia pada masa yang akan datang.

Mengenai penjajahan Amerika di Iraq, Muhammad ‘Imarah mengulas bahawa peperangan di Iraq adalah untuk kepentingan Amerika dan menamatkan krisis Palestin dengan Israel. Perkara ini pernah dinyatakan oleh Bekas Menteri Luar Amerika Syarikat sendiri. Di samping itu, ia juga bertujuan mengukuhkan penguasaan amerika ke atas dunia selepas kejatuhan soviet Union dengan menghantar 10 ribu tentera ke Afghanistan bagi mengawal kawasan minyak di laut Qazwin dan di pinggiran pantai afrika sebelah Sudan. Beliau menyebutkan bahawa tiga sebab penolakan tata dunia Amerika’ iaitu : Pertama ; tata dunia Amerika menyamai tata dunia Zionis. Kedua ; mengamal sistem kapitalis liberal dan “gila kuasa” .Ketiga ; Mengunakan kekuatan ketenteraan terutama kepada dunia Islam. Muhammad ‘Imarah juga melihat pembaharuan seruan agama (khitab al-Tajdid al-Islami) yang diwarwarkan oleh Amerika hanyalah untuk kepentingan Amerika dan sekutunya. Ia bertujuan untuk memisahkan da memutuskan umat Islam dengan turath Islam dan manhajnya yang sempurna. Islam moden yang dilaungkan oleh Amerika hanya berbentuk syiar dan berlembut dengan politik Amerika dan hilang makna perjuangan dan jihad yang sebenar untuk membebaskan umat Islam. Namun beliau tidak menafikan perlunya pembaharuan agama dengan hasrat untuk melihat kembali isu-isu umat Islam tetapi bukan untuk kepentingan Amerika dan sekutunya.

You Might Also Like

0 comments

Kalam Murabbi

Ilmu, kemahiran dan segala pemberian yang datang dari ALLAH tidak hadir secara percuma, Ia datang dengan tanggungjawab. Ilmu yang diberikan oleh ALLAH itu menuntut kepada kita untuk diamalkan.

Almarhum Tuan Guru Dato` Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz b Haji Nik Mat

Archives

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images

Subscribe