Friday, 20 April 2012

Biografi Hj Wan Abdul Rahman bin Wan Long

Dato’ Haji Wan Abdul Rahman bin Long adalah salah seorang tokoh ulama’ Terengganu yang telah memainkan peranan yang penting dalam pentadbiran agama negeri disepanjang pertengahan abad ke dua puluh. Dato’ Haji Wan Abdul Rahman lebih dikenali dengan gelaran Dato’ Purba Diraja.
Dato’ Purba Diraja dilahirkan pada 2 November 1911 di Kampong Pulau Duyong Kecil, Kuala Terengganu. Beliau sebenarnya adalah cicit kepada Tok Sheikh Duyong yang juga seorang tokoh ulama’ terkenal di negeri Terengganu.

PENDIDIKAN
Dato’ Purba Diraja mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Jambol, Kuala Terengganu, dan kemudian melanjutkan pelajaran agama di sekolah arab Sultan Zainal Abidin.
Dato’ Purba Diraja terus melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di Makkah Al-Mukaramah antara tahun 1927 hingga 1935. Di Makkah, beliau telah menuntut ilmu agama selama lapan tahun dan sempat belajar dengan beberapa orang tokoh ulama’ terkenal di sana, sama ada di Masjid Al-Haram atau pun di rumah mereka. Antara guru beliau ialah Sheikh Mokhtar, Sheikh Hassan Said Yamni, To’ Ayah dan Pa’Da Weil. Bidang pengajian agama yang paling beliau minati ialah ilmu Fekah, Nahu dan Falak.

PERKHIDMATAN AWAM
Dato’ Purba Dirja mula memasuki perkhidmatan agama kerajaan pada tahun 1938 sebagai Pelatih Kadhi di beberapa tempat termasuk Marang dan Batu Rakit. Setelah beberapa lama menjadi Kadhi, akhirnya Dato’ Purba Diraja telah dilantik menjadi Kadhi Besar pada tahun 1952 iaitu jawatan yang dipegangnya hingga ke saat persaraannya pada tahun 1970.
Disamping itu, sepanjang tempoh perkhidmatannya itu, Dato’ Purba Diraja pernah beberapa kali memegang jawatan penting yang lain, antaranya:
i. Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu pada tahun 1943 hingga 1945.
ii. Ahli Jawatankuasa Ulama’ Negeri Terengganu.
iii. Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Islam Terengganu.
iv. Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.
v. Pengerusi Jemaah Pangkuan Negeri Terengganu.
Dato’ Purba Diraja adalah antara tokoh pertama yang menganggotai Ahli Majlis Agama Islah dan Adat Melayu Terengganu pada tahun 1949, sekaligus merupakan ahli jawatankuasa yang paling lama menganggotai majlis tersebut.

PENGHORMATAN
Selain itu, Dato’ Purba Diraja pernah diberi penghormatan sebagai Pemangku Mufti beberapa kali iaitu pada zaman Sheikh Hassan Yamani dan juga zaman Syed Yusof Al-Zawawi, iaitu sekitar tahun 1943 hingga tahun 1967. Pada tahun 1982, Dato’Purba Diraja telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Kehormat Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1985, beliau telah dipilih sebagai Tokoh Sukarelawan Negeri Terengganu. Pada tahun 1988 pula, Dato’ Purba Diraja telah dianugerahkah Tokoh Ulama’ Negeri Terengganu.
Sebagai tokoh agama, Dato’ Purba Diraja amat dihormati ramai kerana ketokohan dan keilmuannya dan sehingga akhir hayatnya, beliau terus menjadi rujukan pelbagai pihak berhubung dengan perkara-perkara keagamaan serta pernah menyelsaikan beberapa masalah rumit yang berlaku di beberapa kawasan di negeri Tereangganu. Sehubungan itu, beliau adalah seorang yang amat cermat dan berhati-hati dalam memberikan pendapatnya. Dato’ Purba Diraja adalah seorang yang amat pakar dalam bidang Fekah, terutama sekali dalam bidang ilmu Faraidh. Dato’ Purba Diraja juga adalah seorang pakar dalam bidang ilmu Falak sehingga beliau sendiri terlibat secara langsung dalam penyediaan taqwim hijrah. Beliau juga tidak ketinggalan menyumbang beberapa buah artikel tentang ilmu cakarwala dalam majalah suara jabatan agama yang diterbitkan pada bulan Ogos 1960 dan Julai 1962.

HASIL PENULISAN
Dato’ Purba Diraja adalah seorang yang aktif dalam bidang penulisan bagi menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat setempat. Antara hasil penulilsannya ialah:
1. Josefin (Kemegahan Pahlawan) – 1933
2. Semangat Penganjur Islam – 1946
3. Siapakah Penganjur Dunia? – 1946
4. Mengkaji Sejarah Terengganu Jilid (l – lll)
5. Ringkasan Tarikh Junjungan Rasulullah – 1955
6. Ringkasan Tarikh Khalifah Yang Empat – 1957
7. Negara Nabi-nabi – 1959
8. Pesaka Suci atau Batu Bersurat – 1961
9. Sejarah Terengganu – 1968
10. Terengganu Dari Segi Bentuk Sejarah Hingga Tahun 1918 Masihi – 1974
11. Haji Di Semenanjong Malaysia dan Perkembangannya (1300 – 1404 Hijrah) – 1986
12. Risalah Panduan Ibadah
13. Panduan Kanak-kanak.
Dato’ Purba Diraja meninggal dunia pada 8 November 1990. Dengan kematian itu, Negeri Terengganu telah kehilangan seorang tokoh ulama’ dan juga ahli falak yang telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai dalam perkembangan Islam di Negeri Terengganu.

No comments:

Post a Comment

Author

Stats

Kata Hukama


About

Followers

Archives

Pelawat Seantero

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Sample Text

Kepada semua penulis asal, blogger atau sesiapa saja yang artikelnya saya petik dan masukkan di sini, saya memohon kebenaran dan diharap tidak dituntut di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya saya akan "quote" artikel asal dan sumbernya sekali, supaya apa yang dimaksudkan oleh penulis asal tidak lari atau menyeleweng. Saya ambil artikel-artikel penulisan untuk rujukan saya dan sahabat-sahabat pelawat. Saya masih cetek ilmu tidak sehebat sahabat-sahabat yang menulis artikel-artikel di blog ini. Jazakumullah khairan kathira kerana sudi menghalalkan ilmu untuk perkongsian seluruh masyarakat Islam

Popular Posts