Sunday, 8 April 2012

Biografi Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani

Nama Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani memang jarang didengari oleh umat Islam di Malaysia. Nama tokoh seperti Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, Sheikh Ramadan Al-Buti, Sheikh Taha Jabir Al-Wani, Prof Ismail Faruqi, Hassan Al-Banna serta beberapa orang tokoh popular lagi. Karya-karya mereka sudah tersebar luas di negara ini, malah turut dijadiksn silibus pengajian di sekolah atau universiti. Pemikiran umat Islam di sini turut dipengaruhi oleh idea-idea serta manhaj pemikiran yang digagaskan oleh beliau.

Sayyid Muhammad merupakan ulama besar yang lahir di Mekah. Kelahiran beliau ibarat sebutir permata yang menyinari muka bumi. Berasal daripada keturunan yang mulia, beliau pernah mengatakan dengan penuh syukur dan nikmat,"Daripada ayahandaku, kemudian nendaku, dan seterusnya sampai kepada Rasul Sallahu'alaihi Wasalam yang terpilih, adalah penghulu dan orang alim". Beliau mewarisi sifat seorang ulama daripada ayahanda beliau sendiri, Sayyid 'Alawi yang juga merupakan ulama terkenal di Mekah.


Kenapa umat Islam di Malaysia perlu mengenali dengan lebih lanjut akan tokoh ini? Sebenarnya tokoh besar ini mempunyai banyak mutiara berharga yang boleh dikongsi bersama dengan kita. Umat Islam di sini seharusnya bersyukur kerana sentiasa diberi nikmat dan kesempatan untuk terus mengenali tokoh- tokoh yang banyak berjasa kepada umat. Tidak rugi rasanya jika kita berkenalan dengan ulama ulung ini yang telah meninggalkan ramai anak muridnya di Malaysia, termasuk anak muridnya yang paling dikasihi, sehingga menerima anugerah gelaran keluarga 'Al Maliki' iaitu, Muhammad Fuad Kamaluddin. Beliau adalah antara anak murid yang paling setia dan disayangi oleh beliau.

Berasal dari Rembau, baru berumur 34 tahun. Pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Sembilan pada tahun 2006. Beliau merupakan salah seorang daripada Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan di samping menguruskan sebuah madrasah di Rembau. Telah menghasilkan lebih seratus buku mengenai agama, termasuk terjemahan kitab-kitab yang ditulis oleh gurunya. Dalam kesibukan umat Islam di Malaysia mengangkat artis, ahli sukan atau sesiapa sahaja sebagai idola, sepatutnya beliau menjadi idola terutama sekali di kalangan generasi muda.

Dr Siddiq Fadzil pernah mengatakan bahawa kita kebanjiran idola tetapi kemarau tauladan. Jika bertanya kepada anak muda, mereka lebih mengenali artis dan ahli sukan. Walaupun ada di kalangan mereka yang baik serta boleh dijadikan sebagai  tauladan, namun begitu hakikatnya tetapi ramai yang tidak mempunyai keterampilan yang terpuji untuk dijadikan sebagai suri tauladan. Maka tidak boleh untuk kita menyalahkan generasi muda yang bermasalah kerana terpengaruh dengan idola-idol mereka.

Sayyid Muhammad 'Alawi telah mewariskan manhaj yang boleh dimanfaatkan oleh umat Islam di sini. Yang pertama ialah manhaj bersanad yang sekian lama menjadi amalan di kalangan penuntut ilmu. Budaya ini (manhaj bersanad) bertujuan untuk memastikan ada salasilah atau ikatan langsung ilmu atau amalan yang kita buat sehingga sampai ke Baginda Sallahu'alaihi Wasalam. Budaya berijazah ini juga boleh menghadirkan keberkatan dalam menuntut ilmu.

Sheikh Fuad dalam sebuah biografi beliau yang berjudul, Sheikh Fuad yang aku kenali, mengatakan, walaupun beliau tidak mengambil masa yang lama ketika menghabiskan menuntut di Tanah Arab, tetapi beliau merasai keberkatan ilmu yang diperolehi melalui pendekatan sanad dan ijazah yang dilaksanakan oleh guru beliau. Yang kedua ialah manhaj dakwah dan pemikiran gurunya yang bersifat sederhana ataupun Wasatiyyah, yang selari dengan ajaran Islam. Apabila kefahaman akidah dan ibadat diperkuatkan dengan amalan kerohanian, mesej dakwah yang dibawa mampu menyentuh hati umat. Beliau telah menjadikan amalan zikir, hizib serta tazkiah nafs sebagai amalan wajib untuk dirinya. Sayyid Muhammad dalam aspek pemikiran fiqh sebagai contoh, Walaupun bermazhab Maliki, Sayyid Muhammad juga arif serta merupakan pakar dalam mazhab Syafie, Hanbali, serta Hanafi.

Bahkan beliau juga pernah mengatakan bahawa "Saya adalah 'anak' kepada mazhab yang empat". Oleh itu, tidak timbul isu menganut fahaman yang tidak bermazhab atau membuta tuli ketika mengeluarkan hukum. Benarlah seperti apa yang terkandung dalam buku Sheikh Yusuf Qaradawi, Kaifa Nata'amal Bil Khilaf Mazahib, (Bagaimana Beramal dengan Kepelbagaian Mazhab), tidak akan timbul sebarang konflik atau pertengkaran jika seseorang itu memahami kepelbagaian mazhab. Yang ketiganya ialah kegigihan beliau dalam menuntut ilmu. Sayyid Muhammad  telah menyempurnakan menyempurnakan ijazah di peringkat Kedoktoran dalam bidang hadith dari Universiti Al- Azhar denga keputusan Mumtaz ketika berusia 25 tahun. Tesis yang ditulis oleh beliau telah mendapat pujian dan sanjungan besar dari ulama-ulama besar Azhar, seperti Imam Muhammad Al Sayis, Sheikh Muhammad Abu Zahu dan lain- lain. Dalam pada itu, beliau juga dikhabarkan telah menghafaz Al-Quran ketika berusia tujuh tahun dan menghafaz kitab Al Muwatta' ketika berusia 15 tahun.

Beliau mendapat jolokan 'Muwatta’ berjalan” kerana kepakarannya yang mendalam dalam memahami kitab hadith yang unggul ini. Dalam konteks hari ini, adalah mustahil untuk menemui ulama seperti beliau. Yang keempat ialah kecintaan mendalam terhadap ilmu. Sheikh Fuad menerusi bukunya, Manaqib Tiga Permata Masjidil Haram, memetik kenyataan Sayyid Muhammad "Sesungguhnya aku tidak mampu hidup tanpa mengajar. Aku tidak merasa gembira bahkan semasa bermusafir kecuali dengan menyampaikan ilmu dan menghadiri halaqah- halaqah ilmu". Beliau juga amat mencintai ilmu dan sering berusaha untuk meningkatkan keilmuannya. Beliau mengisi waktu rehatnya dengan ilmu untuk beroleh ketenangan. Bagi kita pula, rehat mungkin bererti menonton wayang, membeli-belah, menghisap rokok dan sebagainya.

Beliau bukan setakat mencintai ilmu, tetapi beliau juga memuliakan ilmu dalam erti kata sebenar. Bagi Sayyid Muhammad, ilmu merupakan suatu perkara yang amat mulia dan berharga dan ia tidak sepatutnya diletakkan melainkan di tempatnya serta tidak diberikan kepada orang yang tidak layak (yang mempunyai hati yang busuk ataupun tidak ikhlas). Oleh itu bukanlah suatu perkara yang mudah untuk seseorang itu diterima belajar di madrasahnya, sehinggakan, beliau mewajibkan anak muridnya supaya menunaikan solat sunat Istikharah sebelum memulakan pengajian. Beliau sering mengatakan bahawa ,"Saya tidak akan menerima seseorang itu belajar dengan saya kecuali dengan isyarat (daripada Allah)".

Sayyid Muhammad telah meninggalkan warisan berupa kitab-kitab karangan beliau yang berjumlah hampir 100 buah dalam pelbagai disiplin kepada kita. Antara kitab yang paling masyhur ialah, “Mafahim Yahibu an Tusohhah “(Kefahaman yang Wajib Dibetulkan) yang telah menerima pujian daripada 50 orang ulama Islam dari seluruh dunia Islam. Beliau sendiri menganggap buku tersebut sebagai sesuatu yang istimewa, dengan mengatakan,"Kitab karangan saya yang paling akrab dengan saya ialah “Mafahim Yahibu an Tusohhah". Buku ini sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Beliau meninggal dunia pada waktu sahur hari Jumaat, 15 Ramadan 1425 bersamaan 29 Oktober 2004 ketika berusia 60 tahun. Ketika dibawa jenazah beliau, ratusan ribu manusia mengiringi jenazahnya  ke kubur, dengan tangisan, takbir dan tahlil. Sheikh Sayyid Thantawi, Sheikh Al-Azhar dengan sedihnya mengatakan, "Kewafatan Sheikh Maliki bukan sahaja merupakan kehilangan bagi Kerajaan Arab Saudi, tetapi juga merupakan kehilangan untuk seluruh alam, umat ini dan negara- negara Islam".  

Oleh Mohd Hilmi Ramli

No comments:

Post a Comment

Author

Stats

Kata Hukama


About

Followers

Archives

Pelawat Seantero

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Sample Text

Kepada semua penulis asal, blogger atau sesiapa saja yang artikelnya saya petik dan masukkan di sini, saya memohon kebenaran dan diharap tidak dituntut di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya saya akan "quote" artikel asal dan sumbernya sekali, supaya apa yang dimaksudkan oleh penulis asal tidak lari atau menyeleweng. Saya ambil artikel-artikel penulisan untuk rujukan saya dan sahabat-sahabat pelawat. Saya masih cetek ilmu tidak sehebat sahabat-sahabat yang menulis artikel-artikel di blog ini. Jazakumullah khairan kathira kerana sudi menghalalkan ilmu untuk perkongsian seluruh masyarakat Islam

Popular Posts