Sunday, 8 April 2012

Biografi Mustafa Sa‘id al-Khin

 Nama penuhnya ialah Mustafa bin Sa‘id bin Mahmud al-Khin al-Syafi’i al-Maydani al-Damasyqi. Beliau dilahirkan pada tahun 1922M.  Bapanya Sa‘id al-Khin adalah penghulu di daerah Maydan, Damsyik dan Mustafa adalah anak ke 11 daripada 18 orang adik beradik. Pada usia lapan tahun beliau telah memasuki sekolah peringkat rendah dengan menghafal al-Quran dan kemudian memasuki sekolah al-Jam‘iyyah al-Ghara’ dan guru besarnya ialah Muhammad Hasan Habannakah. Pada masa ini, terserlah kecerdikannya dan beliau belajar matematik daripada guru khas yang mengajarnya. Pada masa tahun 1931, beliau mula mengikuti bapanya untuk belajar halaqah yang dikendalikan oleh Hasan Habannakah di Masjid Manjak. Hasan Habannakah mengajar di masjid tersebut kepada orang ramai selepas waktu Isya’ dan kepada pelajar pada waktu pagi sehingga Zuhur. Di sini gurunya Husain Khitab mengenali kecerdikannya kerana dapat menghafal 50 hadith dalam satu hari. Lalu gurunya berpesan kepada keluarga Mustafa agar memberi perhatian kepada pendidikan kepadanya. (Mahyuddin Dib Mistu, 2001,  hal. 14) Pada mulanya beliau belajar bersama-sama dengan orang tua selepas solat Isya’ tetapi setelah mengetahui minat dan kecerdikan maka ia telah memasuki sekolah pada waktu pagi yang dikendalikan oleh Hassan Habannakah.

Beliau meneruskan pengajian di Maahad Tawjiyyah al-Islami bertempat di Masjid Manjak. Maahad ini merupakan sekolah terbuka yang tidak terikat dengan  masa tertentu atau sijil. Antara rakan yang belajar bersamanya seperti Abdul Rahman Hasan Habannakah dan Muhamad Hamawi. Pada peringkat ini, beliau mendapat didikan terus daripada Hasan Habannakah dengan belajar feqah, hadith, tafsir dan lain-lain. Pada malam Jumaat mereka belajar sirah dari kitab al-Syifa’ karangan Kadi ‘Iyad. Pada hari Jumaat, mereka bertukar-tukar untuk memberi khutbah di masjid di sekitar Maydan dan khutbah itu ditulis oleh mereka sendiri. Ini memberi pengalaman dan mendidik sehingga menjadi pengkhutbah yang memberi kesan kepada pendengar. (Mahyuddin Dib Mistu, 2001,  hal. 20)

Di Maahad ini juga, guru mereka Hassan Habannakah mengalakkan mereka untuk menziarahi para ulamak seperti Badaruddin al-Hasani, Ali al-Duqr, Sa‘id al-Burhani dan lain-lain. Ulamak-ulamak tersebut telah memberi kesan kepada pembentukan peribadi dan kerohanian jiwanya. Pada usia 20 tahun, beliau telah mengajar di Maahad al-Tawjiyyah al-Islamiah di Masjid Manjak dalam subjek Matematik pada peringkat rendah. Beliau juga mengajar subjek karangan (al-Insya’), nahu dan ulum syariah. (Mahyuddin Dib Mistu, 2001,  hal. 31)

Pada tahun 1949, beliau memasuki al-Azhar kerana pihak Kementerian Pendidikan Syria memerlukan guru-guru untuk pendidikan Islam. Oleh itu, beberapa pelajar Hasan Habnnakah telah terpilih mengikuti dan menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda. Beliau memasuki al-Azhar pada tahun ketiga dan bergraduan pada tahun 1952. Setelah memperolehi ijazah, beliau berkhidmat sebagai guru pendidikan Islam di Halab selama dua tahun. Kemudian beliau kembali ke Damsyik dan menjadi guru di Maktab perguruan.  Di samping itu, beliau menjadi mengajar beberapa subjek di Universiti Damsyik iaitu dari tahun 1955-1962. Pada tahun 1962 sehingga 1966, beliau mengajar di Universiti Imam Muhammad bin Saud di Riyadh. Setelah itu, kembali ke Damsyik dan menjadi guru sehinggalah beliau menyambung pelajaran ke peringkat Ph.D di al-Azhar. Dalam bidang pendidikan, Mustafa telah memberi sumbangan kepada tiga bidang iaitu dalam membuat silibus pendidikan, membuat buku-buku teks dan membuat soalan peperiksaan. Mustafa telah membuat sukatan subjek ulum syariah bagi sekolah menengah agama di bawah kementerian pendidikan. Sukatan tersebut masih digunakan sehingga sekarang.  Beliau juga membuat sukatan pada peringkat rendah dan menengah di Maahad Abu Nur.

Beliau juga bertanggungjawab membuat buku-buku teks dan telah mengarang 20 buah buku teks berkaitan dengan akidah, tafsir dan feqah al-Syafi’i. Beliau juga merupakan ketua lujnah pembuat soalan bagi peringkat Kementerian Pendidikan Syria. Al-Azhar telah membuat keputusan bahawa graduan  dari kuliah-kuliah di al-Azhar yang telah berpengalaman mengajar lima tahun  di peringkat universiti, adalah layak untuk mendaftar untuk membuat Ph.D. Mustafa telah mendaftar Ph.D dengan tajuk “Kesan Perbezaan kaedah-kaedah usul dalam perbezaan pandangan para fuqaha” dan berjaya memperolehi Ph.D pada tahun 1971.

Setelah memperolehi Ph.D, beliau menjadi pensyarah dan ketua Jabatan Akidah di Universiti Damsyik. Di samping itu, beliau mengajar subjek pedagogi pendidikan Islam di Fakulti Syariah sehingga pencen pada tahun 1983. Beliau juga telah membuat buku teks pada peringkat universiti iaitu tafsir untuk tahun ketiga, Feqah Muamalat untuk tahun empat dan Asas-Asas Akidah untuk tahun dua. (Mahyuddin Dib Mistu,2001,  hal. 45) Setelah pencen, beliau pergi ke Arab Saudi dan menjadi pensyarah di Fakulti Syariah di Universiti Imam Muhamad Saud dan kemudian dilantik sebagai professor di Fakulti Pendidikan.
Semasa berada di Arab Saudi iaitu dari tahun 1984 sehingga tahun 1992, beliau telah menyelia pelajar Ph.D dan juga menjadi pemeriksa pada peringkat tersebut. Sejak tahun 1993, beliau mengajar di peringkat Tinggi di Maahad Abu Nur, peringkat tinggi merupakan program berkembar dengan Universiti Ummu Darman, Sudan. Di samping itu, beliau mengajar di Maahad Fatah, Damsyik dalam subjek Usul Fiqh.
Beliau juga mengajar di masjid-masjid di waktu pagi dan petang. (Mahyuddin Dib Mistu,2001,  hal. 45) Beliau  meninggal dunia pada 23 Muharram 1429 bersamaan 2 Februari 2008 pada di masjid Hasan , Maydan, Damsyik ketika berusia 88 tahun. Beliau meninggal selepas solat Jumaat di masjid tersebut dan dikebumikan pada hari berikutnya. (www.alukah.net, tarikh akses 18 September 2009) Pada 9 Februari 2008, Maahad Fatah al-Islami telah mengadakan majlis Ta’bin kepada beliau yang dihadiri oleh ulamak-ulamak seperti Wahbah al-Zuhaili, Abdul Karim Rajih, Nurudin Atar, Hisyam al-Burhani dan Abdul Fatah Bazam. (www.al-fatihonline.com, tarikh akses 18 September 2009)

Penulisan

Penulisannya ini terbahagi kepada 5 kategori iaitu :
i.    Buku tulisannya sendiri
ii.   Buku tulisan bersama
iii.  Tahqiq (Suntingan) buku (perseorangan)
iv.  Suntingan buku (Bersama)
v.   Buku-buku teks Universiti

Uslub penulisannya adalah mudah dan terang dan setiap tajuk didatangkan dalil yang menyokong pandangan tersebut. Penulisannya jauh dari perkataan-perkataan yang susah dan pelik.

Antara buku terpenting karangannya yang juga merupakan tesis Ph.D di al-Azhar iaitu:

1.Athar al-Ikhtilaf fi al-Qawa‘id  al-Usuliyyah fi Ikhtilaf al-fuqaha’ (Kesan Perbezaan kaedah-kaedah usul dalam perbezaan pandangan para Fuqaha)

Buku ini merupakan tesis Ph.D yang dikemukakan di Universiti al-Azhar pada tahun 1971. Buku ini diterbitkan oleh Muassasah al-Risalah pada tahun 1972 dan sehingga tahun 1997 sebanyak 7 kali cetakan. Buku ini menerangkan kesan perbezaan  pada kaedah-kaedah usul dalam perbezaan pandangan para fuqaha. Dalam buku ini, penulis telah menerangkan mengenai perbezaan yang baik dalam hukum cabangan tetapi bersepakat dalam perkara asas dan perbezaan yang tercela yang berasaskan kepada hawa nafsu dan takwil yang menyeleweng. 
Buku ini juga membongkar antara golongan yang menyeru kepada tidak mahu kepada mazhab dengan golongan yang berpegang kepada mazhab yang sempit dan juga mengetahui pemikiran pandangan para fuqaha terhadap teks-teks yang dipegang. Oleh itu, ia dapat mengetahui mengenai asas isu dan hujah tersebut. (Mahyuddin Dib Mistu,2001,  hal. 56)

Buku ini menjadi rujukan utama pada peringkat pengajian tinggi dalam Usul Fiqh. Buku ini menjelaskan dan membuktikan manhaj para ulamak terdahulu dalam mengeluarkan hukum adalah berteraskan kepada kaedah yang benar dan jauh daripada hawa nafsu dan takwil yang menyeleweng. Antara topik utama dalam buku ini ialah:
Dalam pendahuluan menerangkan perkembangan perbezaan di antara fuqaha dan sebab-sebabnya. Bab pertama membicarakan kaedah-kaedah usul yang utama  dari segi dalil dalam mengeluarkan hukum dan kaedah yang berbeza yang menyebabkan perbezaan dalam masalah cabangan.
Dalam buku ini, penulis membicarakan mengenai al-Amr wa nahi (suruhan dan tegahan) , ijmak dan qias dan dalil-dali yang menjadi perbezaan di kalangan para fuqaha seperti kata-kata sahabat (qawl al-Sahabi), al-Masalih al-Mursalah, al-Istishab dan pelaksanaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan perkahwinan. (Mustafa al-Khin, 1994, hal. 14)
Penulis juga menerangkan sebab-sebab pertumbuhan perbezaan khilaf di kalangan fuqaha iaitu :
i.    Perbezaan qiraat seperti firman Allah :
يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فاغْسِلُواْ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ
إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُواْ بِرُؤُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَينِ
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang padahal kamu berhadas kecil, maka berwuduklah iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali” (al-Ma’idah, ayat 6) Qiraat Nafi’, Ibn Amar dan al-Kasa’i membaca dengan Arjalikum dengan Nasab (fathah/baris atas) sementara qiraat Ibn Kathir, Abu Amru dan Hamzah membaca dengan baris bawah (jar). Perbezaan qiraat menyebabkan perbezaan hukum.
Qiraat yang membaca dengan nasab mengatakan ia wajib basuh kedua-dua  kaki dan qiraat dengan membaca jar wajib menyapunya sahaja. Ibn Abbas dan Malik bin Anas mengatakan dengan menyapu sahaja sementara golongan ahli Zahir menyebutkan bahawa wajib mengabungkan antara sapu dan basuh berdasarkan kepada kedua-dua qiraat tersebut. Ibn Jarir al-Tabari menyebutkan bahawa orang yang berwuduk boleh memilih sama ada hendak basuh atau sapu. (Mustafa al-Khin, 1994, hal. 41)
ii. Tidak memahami hadith secara keseluruhan kerana para sahabat mempunyai pelbagai kategori dalam periwayatan hadith seperti sahnya puasa bagi orang yang berjunub ketika masuk waktu Subuh. Abu Hurairah menyebutkan bahawa orang yang berjunub pada waktu subuh tidak harus berpuasa. Perkara ini kerana ada hadith yang Rasulullah s.a.w. menyuruh para sahabat berpuasa walaupun berjunub pada waktu Subuh. (Mustafa al-Khin, 1994, hal. 47)
iii.  Keraguan dalam mensabitkan hadith seperti hadith tentang tayammum ketika tiada air atau tidak berupaya menggunakan air. Umar al-Khatab berpendapat tayammum tidak boleh digunakan untuk mandi hadas dan perlu menunggu sehingga ada air walaupun memakan masa yang lama. Sementara Ammar bin Yassir menyebutkan pernah ketika  ia berjunub lalu Rasulullah s.a.w. mengharuskan ia bertayammum. (Mustafa al-Khin, 1994, hal. 56)
iv.  Perbezaan dalam memahami teks dan penafsirannya seperti pembahagian tanah-tanah kepada tentera yang mana pendapat Saidina Umar al-Khatab bahawa tanah-tanah kekal kepada pemiliknya semasa pembukaan di Iraq (Mustafa al-Khin, 1994, hal. 65).
vi.   Persamaan dalam lafaz yang mana satu lafaz mempunyai pelbagai makna. Contohnya makna “Qada” ada yang bermakna hukum (al-Nisa’, ayat 65), suruhan (al-Isra’ 23) dan ada juga bermakna mengetahui (al-Isra’, ayat 4) (Mustafa al-Khin, 1994, hal. 71).
vii. Perbezaan dalil (ta‘arud al-Adillah) seperti pandangan  Imam Malik, Syafi’i dan Ahmad yang mengharamkan berkahwin ketika dalam Ihram. Ini berdasarkan hadith daripada Uthman bin Affan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang berkahwin dan mengahwinkan orang dalam ihram. Abu Hanifah mengharuskan berkahwin ketika Ihram berdasarkan hadith bahawa Rasulullah s.a.w.  berkahwin dengan Maimunah ketika dalam Ihram. (Mustafa al-Khin. 1994. hal. 97) Begitu juga dengan pendapat Syafi’i, Hanbali dan golongan ahli hadith bahawa air mani adalah bersih dan jika terkena pakaian boleh dipakai untuk solat tanpa membasuhnya. Mazhab Hanafi dan Maliki mengatakan ia sebagai najis yang wajib dibasuh. (Mustafa al-Khin, 1994, hal. 109)

viii.    Tidak ada dalil tentang masalah tersebut seperti harta pusaka untuk datuk  bersama-sama dengan cucu-cucunya.

ix.    Perbezaan dalam Qawa’id Usuliah. (Mustafa al-Khin, 1994, hal. 117)

Bab kedua membicarakan kaedah-kaedah usul dari segi lafaz  dan kaedah-kaedah yang berbeza  yang menyebabkan perbezaan dalam masalah cabangan. Bab ketiga membicarakan kaedah-kaeah  yang berkaitan dengan amar maaruf dan mencegah mungkar  dan pebezaannya serta kesan perbezaan dalam masalah cabangan.

Bab keempat membicarakan kaedah-kaedah yang berbeza  padanya yang berkaitan dengan al-Quran sahaja atau al-sunnah sahaja dan kesan perbezaan tersebut dalam perkara cabangan. Bab kelima Ijmak dan qias dan kaedah-kaedah yang berbeza padanya  serta kesan perbezaan tersebut kepada perkara cabangan.
Bab keenam  mengenai dalil-dalil yang penting dalam perbezaan serta kesan perkara tersebut dalam perkara cabangan. Bab penutup membicarakan contoh-contoh perbezaan tersebut terutama dalam bab nikah.
Buku ini digunakan pada peringkat pengajian tinggi di Universiti al-Azhar dan universiti-unversiti lain seperti di Arab Saudi, India dan Malaysia.
Sumber

No comments:

Post a Comment

Author

Stats

Kata Hukama


About

Followers

Archives

Pelawat Seantero

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Sample Text

Kepada semua penulis asal, blogger atau sesiapa saja yang artikelnya saya petik dan masukkan di sini, saya memohon kebenaran dan diharap tidak dituntut di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya saya akan "quote" artikel asal dan sumbernya sekali, supaya apa yang dimaksudkan oleh penulis asal tidak lari atau menyeleweng. Saya ambil artikel-artikel penulisan untuk rujukan saya dan sahabat-sahabat pelawat. Saya masih cetek ilmu tidak sehebat sahabat-sahabat yang menulis artikel-artikel di blog ini. Jazakumullah khairan kathira kerana sudi menghalalkan ilmu untuk perkongsian seluruh masyarakat Islam

Popular Posts