Thursday, 19 April 2012

Biografi Ibnu Majid

Apa kaitan ilmu pelayaran dengan kebersihan? Menjaga kebersihan adalah syarat yang dikenakan pelayar Arab terkenal, Ahmad Ibnu Majid kepada sesiapa yang ingin menaiki kapal dan belayar bersamanya.

Arahan beliau kepada yang ingin menaiki kapalnya: “Orang yang menaiki kapal bersama-sama kami mesti bersih. Apabila kita melakukan perjalanan di laut, kita berada di hadapan Allah, yang menjalankan kapal kita dengan perintah-Nya dan melayarkan kita dengan kehendak-Nya.

“Lautan ialah anak kecil yang patuh jika pelaut adalah orang mukmin yang bersih. Lautan akan bergelora dan mengganas jika mereka ialah pencuri, fasik atau yang melakukan dosa.”

Ketokohan ilmuwan Islam itu dikagumi kerana beliau yang bertanggungjawab membantu pelayar bangsa Portugis, Vasco da Gama belayar dari Afrika ke India.

Kisah itu diceritakan penulis Makkah, Qutb Al-Din Al-Nahrawali dalam bukunya bertajuk Al-Barq Al-yamani Fi'l-Fath Al-'Uthmani yang diterbitkan pada 1892.

Buku itu menceritakan bagaimana orang Portugis yang sampai ke barat Afrika cuba mencari maklumat mengenai Lautan Arab hingga muncul seorang pelayar Ahmad Ibnu Majid untuk membantu mereka.

Kemasyhuran Ibnu Majid juga menjadi bualan dunia Arab di atas kejayaannya menghasilkan 40 buku mengenai ilmu lautan dalam bentuk prosa dan puisi.

Pengalaman pertama mengetuai ekspedisi pelayaran bermula ketika beliau berusia 15 tahun dan sejak itu terus mendalami ilmu berkaitan pelayaran, badai dan perubahannya.

Pengetahuan yang luas dalam bidang pelayaran menjadikan beliau pelaut ulung sehingga diberi gelaran Singa Laut.

Ibnu Majid adalah pengasas dasar pelayaran moden yang berasaskan pengetahuan ilmu astronomi dan geografi. Beliau menemui laluan ke Lautan Hindi, Laut China Selatan, Parsi dan Lautan Pasifik.

Manuskrip berbahasa Arab hasil tulisan beliau yang terbahagi kepada tiga fasal masih tersimpan di Institut Pengajian Timur di Leningrad (St Pettersburg), Russia.

Manuskrip itu yang menceritakan cara melakukan pelayaran melalui Laut Merah dan Lautan Hindi, menjadi petunjuk kepada pelaut bagaimana untuk menuju ke mana-mana pelabuhan, mengenali rupa bentuk pantai dan mengenali arah tiupan angin monsun pada musim tertentu.

Bangsa Arab mengambil faedah daripada ilmu pelayaran ini yang membolehkan mereka belayar jauh ke pelusuk Lautan Hindi untuk berniaga.

Perniagaan mereka melalui jalan laut membawa mereka hingga ke kepulauan Hindi dan China di sebelah timur, Madagascar dan Mozambique di sebelah selatan.

Karangan Ibnu Majid yang terkenal ialah Al-Umdah Al-Mahriyah fi Dabti Al'Ulum Al-Bahriyah, Al-Minhaj Al-Fakhir fi "Ilm Al-Bahr Al-Zakhir dan puisi yang bertajuk Al-Sab'yah.

Kemahiran Ibnu Majid dalam industri perkapalan dan ilmu pelayaran memberi sumbangan yang amat besar dalam memajukan serta memperkembangkan perdagangan umat Islam.

Selain itu, ia membuka peluang kepada kerajaan Islam meluaskan pengaruh dan mengembangkan wilayah mereka menjadi kerajaan lebih kuat, berwibawa dan bersatu.

No comments:

Post a Comment

Author

Stats

Kata Hukama


About

Followers

Archives

Pelawat Seantero

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Sample Text

Kepada semua penulis asal, blogger atau sesiapa saja yang artikelnya saya petik dan masukkan di sini, saya memohon kebenaran dan diharap tidak dituntut di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya saya akan "quote" artikel asal dan sumbernya sekali, supaya apa yang dimaksudkan oleh penulis asal tidak lari atau menyeleweng. Saya ambil artikel-artikel penulisan untuk rujukan saya dan sahabat-sahabat pelawat. Saya masih cetek ilmu tidak sehebat sahabat-sahabat yang menulis artikel-artikel di blog ini. Jazakumullah khairan kathira kerana sudi menghalalkan ilmu untuk perkongsian seluruh masyarakat Islam

Popular Posts