Sunday, 8 April 2012

Biografi Muhammad Badaruddin al-Hasani

Muhammad Badaruddin hidup pada pertengahan kurun ke-19 dan pada permulaan kurun ke-20. Masa tersebut merupakan masa yang sukar bagi dunia Arab Islam secara keseluruhan dan negeri Syam khususnya dari sudut politik. Kerajaan Uthmaniah yang memerintah sejak kurun 15M dan menguasai banyak negara di Asia, Afrika dan Syam telah diperintah sejak tahun 1516M/922H mulai lemah  pada kurun ke 18. Pada akhir kurun ke 19, kebanyakkan negara yang dikuasainya telah jatuh ke tangan penjajah dan tidak tinggal kecuali beberapa buah negara di Asia Kecil dan Syam. Yahudi mula bergerak untuk menguasai Palestin untuk dijadikan negara mereka. Pada masa ini, negeri Syam diperintah oleh gabenor yang dilantik oleh kerajaan Uthmaniah dan pentadbiran mereka amatlah tidak memuaskan dan mereka mendapat jawatan tersebut dengan rasuah dan mengenakan cukai tinggi ke atas rakyat. Pada masa zaman Muhamad Badaruddin terlalu ramai gabenor yang dilantik dan bersilih ganti. Antanya Khursid Basha pada tahun 1859, Ahmad Basha pada tahun yang sama, Fuad Basha 1861M, Medhat Basha pada tahun 1880M.   (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 10).
 Apabila tamat perang dunia pertama, tentera bersekutu telah mengalahkan kerajaan Uthmaniah dan Syam serta Lebnon telah dijajah oleh Perancis. Sementara British menjajah Palestin, Iraq dan Jordan. Pada masa penjajahan, berlaku pemberontakan kepada penjajah Perancis  seperti Revolusi Syria pada tahun 1925. Zaman Muhammad Badaruddin merupakan zaman yang penuh dengan kesukaran dan pergolakan dari segi politik dengan kelemahan kerajaan Uthmaniah, pemberontakan Arab ke atas Kerajaan Uthmaniah, perang Dunia Pertama, Penjajahan Perancis ke atas Syam dan perjuangan rakyat Syam menuntut pembebasan dari penjajahan. Dari segi kemasyarakan, unsur-unsur luar telah masuk ke negeri Syam seperi sekolah Katolik, mubaligh Kristian dan pelbagai aliran pemikiran yang melatari rakyatnya. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 14) Dari segi politik, keadaan dunia Islam seperti berikut :
i.    Akhir zaman pemerintahan Uthmaniah, penyelewengan pemerintahan dan pentadbiran yang lemah serta berlaku pemberontakan dalam negeri dibawah penguasaannya.
ii.    Timbul kesedaran di negeri Syam dan negeri-negeri yang lain untuk membebaskan dari penguasaan orang-orang Turki.
iii.    Kejatuhan khalifah dan kebangkitan revolusi Arab yang diketuai oleh Syarif Husain di Mekah
iv.    Penguasaan penjajah Bersekutu di Negara-negara Arab dan membahagikan negara-negara Arab dan Syam dijajah oleh Perancis.(Salih al-Farfur, 1986:12)

Menurut Salih Farfur, seorang anak muridnya dan juga pengasas Maahad Fatah al-Islami bahawa Syeikh Badaruddin merupakan mujadid kurun ke 14H selepas mujadid kurun ke 13H al-Alamah Sayyid Muhammad Amin Abidin pengarang Hasiyah Rad al-Mukhtar al-al-Dar.  (Salih Farfur, 1986: 14)

Nama sebenarnya ialah Muhamad Badaruddin bin Yusuf bin Badaruddin al-Hasani al-Magribi al-Marakasyi al-Sabti. Keturunan sampai kepada Hasan bin Ali r.a. Dilahirkan di Damsyiq iaitu berdekatan dengan Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah pada tahun 1850M/1267H. Beliau dibesarkan dalam didikan agama yang kuat dan ketika berusia 13 tahun bapanya telah meninggal dunia  dan dipelihara oleh bapa saudaranya Syeikh Saleh al-Kaziri dan ibunya. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 23)

Bapanya syeikh Yusuf bin Badaruddin al-Hasani al-Magribi seorang yang berpegang kepada tariqah qadariah dan bermazhab Maliki. Menurut al-Zirkuli dalam al-‘Ilam, nama sebenarnya ialah Yusuf bin Abdul Rahman manakala Badaruddin itu merupakan gelarannya dan bukan nama bapanya. (Salih al-Farfur, 1986:17, Mahmud Biruni, 2009:72) Beliau seorang yang alim dan pensyair. Beliau mengembara ke Mesir untuk menuntut ilmu dari Syeikh al-Islam Syeikh Abdullah al-Syarqawi, Syeikh Amir al-Saghir, Syeikh al-Azhar Syeikh Hassan al-Attar dan Syeikh Muhammad al-Husaini. Beliau juga mendapat sanad dari ulamak-ulama Mekkah dan Madinah dan kemudian di Syam.  Beliau telah berguru lebih 100 orang guru dan mengambil sanad dari mereka semasa beliau merantau menuntut ilmu di Hijaz. Mesir, Iraq dan Syam. Antara rakan seperguruannya seperti Syeikh al-Asmuni dan Syeikh al-Baijuri. Beliau telah mendirikan Dar al-Hadith dan mengajar di situ pada tahun 1853M. Dar al-Hadis al-Asrafiyyah merupakan tempat mengajar para ulama-ulama besar dalam bidang hadis seperti Ibn Salah, al-Nawawi, al-Subki dan al-al-Mazzi tetapi seorang nasrani membelinya dan menjadi gudang Khamar. Perkara ini menyebabkan Syeikh Yusuf bersama Amir Abdul Qadir al-Jaza’iri membelinya dan mewakaf untuk pengajian Dar al-Hadis. Selepas kematiannya, Dar al-Hadis pernah terbakar semasa kebakaran Pasar al-Hamidiah. Beliau meninggal dunia pada tahun 1862M  di Damsyiq dan dikebumikan di perkuburan Bab al-Saghir. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 25. Salih al-Farfur, 1986:19)

Ibunya bernama Aisyah bin Ibrahim al-Kaziri yang terkenal seorang yang solehah. Syeikh Badaruddin mempunyai adik yang bernama Syeikh Ahmad Bahauddin dan syeikh dalam Tariqat Nasyabandiyyah. Meninggal dunia pada tahun 1912M.

Syeikh Badaruddin telah berkahwin dengan Sayyidah Rukiah bin Syeikh Mahyuddin al-A’ani  pada tahun 1878 dan dikurniakan  lapan orang anak. Dua orang lelaki iaitu Ibrahim Isamuddin dan Tajuddin yang pernah menjadi Presiden Syria pada tahun 1928M dan enam orang perempuan. Ibrahim Isamuddin pernah menjadi guru di sekolah Sultaniah a;-Arabiyyah dan meninggal dunia semasa ayahnya masih hidup di zaman perang Dunia Pertama. Beliau mempunyai seorang anak lelaki Muhamad Fakharuddin yang pernah memegang jawatan Pengarah Fatwa di Damsyiq.  (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 27, Salih al-farfur, 1986: 30. Bayruni, 2009:79)

Akhlak

Syeikh Badaruddin seorang yang bertubuh besar dan tegap. Beliau mempunyai akhlak yang mulia, lidahnya sentiasa bercakap benar dan berani menyatakan kebenaran. Beliau bercakap sedikit dan banyak berdiam. Beliau tidak  bercakap kecuali memberi nasihat, mengajar dan berzikir. Beliau menjaga lidahnya dari menjatuhkan maruah orang lain dan tidak pernah mengumpat kepada orang lain sepanjang hidupnya. Beliau juga tidak menyaringkan suaranya kecuali ketika mengajar. Beliau juga terkenal sebagai seorang yang warak dan tawaduk. Beliau jarang mengeluarkan  fatwa apabila ada sesuatu masalah dan persoalan, beliau hanya menjawab agar penanya tersebut merujuk kepada buku disebutnya atau disebutkan halaman buku tersebut untuk dirujuk.
Antara kerendahan dirinya ialah beliau suka menziarahi orang miskin, anak-anak Yatim  dan orang yang dipenjara. Antara kewarakannya ialah beliau tidak menjadi imam sedangkan beliau seorang yang alim dan hafiz serta menjaga solat berjamaah. Beliau juga hanya mengajar di madrasah Dar al-Hadis atau di biliknya dan tidak suka majlis besar-besaran. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 33)
Syeikh Badaruddin juga telah suka kepada penonjolan diri malah ketika anak muridnya bertanya mengenai diri dan keturunannya, beliau tidak menjawab. Malahan sejarah hidupnya tidak ditulis kecuali sepuluh tahun terakhir sebelum kematiannya. Oleh sebab itu, penulisan sejarah hidupnya terutama semasa muda tidak diketahui secara mendalam dan hanya ditulis oleh anak murid setelah kematiannya. Penulisan itu juga hanya berkisar kepada pengajian, buku-buku yang digunakan, tempat mengajar dan keperibadian seperti yang disebut dalam buku al-Rankusi dan Salih Farfur.

Syeikh Badaruddin tidak pernah pergi  menziarahi para pemerintah malah mereka yang berjumpa dengannya. Beliau tidak pernah memasuki  parlimen dan juga istana selama hayatnya. Beliau juga seorang yang amat memuliakan tetamu  dan akan memberi sesuatu kepada tetamu terutama mereka yang datang dari jauh. Beliau amat suka menziarahi orang-orang soleh dan juga menziarahi orang bukan Islam antaranya menziarahi perkampungan orang-orang Kristian di Damsyiq pada masa pemberontakan terhadap Perancis. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 39-40)

Beliau telah diberi Allah kelebihan dengan karamah-karamah dan karamahnya yang paling besar adalah istiqamahnya berpegang kepada syariat dan menjaga majlisnya dari perkara yang melalaikan.

Syeikh Badaruddin mendapat pendidikan yang sempurna sejak kecil dari segi keilmuan dan kerohanian. Perkara ini merupakan penyediaan untuk menjadi ulamak yang besar. Di samping itu, beliau berperanan mengajar ilmu dan dalam satu hari mengajar 12 subjek.

Penyediaan sebagai seorang ilmuan dan ulamak terkemuka

Bapanya Syeikh Yusuf al-Hasani telah memeliharanya dengan didikan agama sepertimana firasat Syeikh Muhamad Zabiyan al-Kilani semasa tahnik Syeikh Badaruddin dengan menyebutkan bayi ini akan menjadi seorang yang agung kelak. Syeikh Badaruddin telah tamat menghafal al-Quran ketika berusia  tujuh tahun. Apabila bapanya meninggal dunia, beliau dipelihara oleh bapa saudara Syeikh Salih al-Kaziri dan tinggal di biliknya ayahnya di Dar al-Hadis. Di bilik ini, beliau menelaah buku-buku yang ditinggalkan oleh ayahnya dan menghafaz matan-matan dalam pelbagai ilmu. Pada peringkat ini, beliau berguru dengan ulama-ulama terkemuka Syam terutama Syeikh Abi Khair di Madrasah al-Qalbaqjiah, di Suq al-Harir (Pasar Sutera). Menurut Salih al-Farfur, Syeikh Badaruddin belajar dengan Syeikh Abi Khair sehingga berusia 18 tahun. Pada peringkat ini beliau banyak menghafal hadis-hadis bersama dengan sanad-sanad sekali (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 52, salih al-farfur, 1986: 33)

Kemudian beliau meninggalkan pengajian umum dan mirip untuk beruzlah pada usia 13 tahun. Beliau menumpukan untuk menuntut ilmu dan beribadat di biliknya di dar al-Hadis. Beliau tidak keluar kecuali untuk bersolat Jumaat di Masjid al-Umawi. Beliau mengasingkan diri berkhalwat selama tujuh tahun dan menumpukan dengan belajar, mengarang dan beribadat. Ada sebahagian mengatakan khalwatnya hampir sepuluh tahun sehingga tahun 1873 ketika ia keluar untuk melawat Homs. Ketika ini, beliau telah menghafal sahih al-Bukhari dan sahih Muslim bersama dengan sanad-sanadnya. Malah ada sebahagian mengatakan  beliau telah menghafal kitab hadis yang enam (Kutub al-Sittah). Beliau juga menghafal matan-matan dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang hadis. Beliau telah menghafal 20 ribu bait yang berkaitan dengan ilmu-ilmu Islam. Beliau telah membuat syarah terhadap bait tersebut dan meninggalkan 40-50 buah  buku dan risalah kecil. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 55)

Beliau telah pergi ke Mesir pada usia 25 tahun dan bertemu dengan Syeikh al-Asmuni yang merupakan seperguruan ayahnya dan juga belajar dengan Ibrahim al-Saqa dan mendapat sanad ilmu hadis daripadanya. Oleh itu, beliau berguru dengan Syeikh Abu Khair, Syeikh Ibrahim al-Saqa dan bapanya Syeikh Yusuf. Beliau tidak menyibukkan diri dengan berguru tetapi gigih dalam menghafal dan belajar sendiri. (Yusri Dirkazanli, 1977:56)

Sementara dari segi ibadat, beliau mempunyai jadual yang telah ditetapkan. Beliau hanya tidur sedikit dan bangun untuk bertahajud sehingga waktu subuh dan kemudian pergi ke Masjid al-Umawi untuk solat berjamaah dan berada di saf pertama. Setelah itu, melakukan wirid sehingga terbit matahari dan kemudian melakukan solat Dhuha. Beliau tidak meninggalkan rutin ini walaupun semasa menunaikan ibadat haji. Setelah itu, baru beliau memulakan pembelajaran sehingga hampir Zuhur. Apabila Azan Zuhur, beliau akan solat berjamaah dan kemudian berwirid.  Beliau sentiasa melakukan solat sunat-sunat yang lain seperti solat Tasbih dan melakukan wirid selepas solat waktu. Beliau juga seorang yang sentiasa berpuasa sunat dan beriktikaf dalam bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan terutama sepuluh terakhir.Beliau pergi menunaikan haji dua kali iaitu pada tahun 1901M dan pada 1914M.  (Yusri dirkazanli, 1977:58)

Syeikh Badaruddin mula mengajar ketika berusia 15 tahun dibiliknya  di Dar al-Hadis. Walaupun beliau berkhalwat, namun beliau juga mengajar dan belajar. Menurut seorang anak muridnya, sebelum beliau mengasingkan diri dan berkhalwat, beliau telah mengajar di Masjid al-Umawi ketika berusia 13 tahun tafsir al-Baidawi berdasarkan kepada hafalan tanpa menggunakan kitab.  Kemasyhurannya menyebabkan pelajar-pelajar syeikh lain telah bertumpu kepada halaqahnya. Perkara ini menyebabkan beliau tidak menyenangi lalu meningalkan halaqah tersebut dan berkhalwat di biliknya. Oleh itu, beliau mula mengajar sejak umur masih muda dan mengajar sebilangan kecil pelajar-pelajar  di biliknya di dar al-Hadis (Yusri Dirzakanli, 1977:59)

Setelah selesai beliau berkhalwat dan pergi ke Homs pada tahun 1873M, beliau telah menerima sambutan dari penduduk di situ dan mengajar mereka di sana sebelum pulang ke Damsyiq untuk mengajar dengan mempunyai jadual yang tersusun dalam mengajar sehingga akhir hayatnya. Beliau mengajar secara serius pada umurnya mencecah 30 tahun. Pengajian beliau terbahagi kepada tiga kategori iaitu :


i.    Pengajian khusus yang diadakan dibilik yang khusus di Dar al-Hadis. Pengajian khusus ini membaca kitab –kitab yang tertentu  yang terdiri  pelajar dari pelbagai latar belakang dan juga ulamak-ulamak. Pengajian ini dihadiri dari seorang sehingga sepuluh orang sahaja. Apabila tamat satu kumpulan masuk satu kumpulan yang lain pula bermula terbit matahari sehingga waktu Asar. Subjek yang diajar dalam kelas ini adalah pelbagai seperti Tafsir, hadis, mustalah hadis, subjek bahasa Arab, balaghah, nahu, saraf, usul fiqh dan tauhid.(Yausri Dirzakanli, 1977: 62) Antara kitab yang digunakan seperi tafsir al-Naisaburi, Tafsir al-Baidawi, dan tafsir al-Kasyaf. Dalam tauhid seperti syarah al-sanusiah al-Kubra. Syarah al-Aqa’id al-Nasafiah, dalam hadis seperti Sahih Muslim dan dalam bidang akhlak dan tasauf seperti Ihya Ulumiddin, risalah al-Qusairiah, syarah Hikam Ibn Ata’ illah. Dalam fiqh seperti al-Hidayah dan Fath al-Qadir, dalam balaghah seperti al-Talkhis karangan al-Taftazani dan dalam nahu seperti syarah al-Kafiah karangan Ibn Hajib.

ii.    Pengajian umum yang diadakan di masjid. Pengajian ini pada mulanya di Masjid Sadat dengan membaca kitab sahih al-Bukhari. Apabila orang semakin ramai dan masjid semakin sesak, mereka telah berpindah ke Masjid Sanan Basha. Pengajian ini pada malam Isnin dan Jummat setiap minggu selepas solat maghrib. Kemudian pengajian ini diadakan di Masjid al-Umawi pada tahun 1880M pada zaman Madhat Basha dan dihadiri oleh para ulama dan pembesar negara. Pengajian ini diadakan selepas solat Jumaat sehingga waktu Asar dengan membaca kitab Sahih al-Bukhari. Pernah pihak kerajaan Uthmaniah untuk memberi gaji bulanan kepadanya sebagai ganjaran beliau mengajar, namun beliau enggan menerimanya.
iii.    Pengajian umum yang diadakan di Dar al-Hadis selepas solat Maghrib sehingga Isya’. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 60-71, Salih al-farfur, 1986: 38)

Syeikh Badaruddin telah mengarang 40 buah buku yang merupakan syarah kepada kitab-kitab klasik utama. Antaranya syarah tafsir al-Jalalain, syarah Syamail al-Muhamadiyyah, syarah Manzumah al-Baiquniah dalam Mustalah hadis, syarah Nazam al-Sanusiah, Syarah Qatr al-Nada dan lain-lain lagi. Namun, kebanyakan buku-buku tersebut telah terbakar semasa berlaku kebakaran di Dar al-Hadis dan tinggal sedikit sahaja yang masih disimpan oleh warisnya.

i.    Hasiyah Ala al-Jalalain- Buku ini merupakan syarah kepada tafsir al-Jalalain dengan membuat tambahan kepada pandangan-pandangan ulama seperti al-Zamakhsyari, al-Asyari dan al-Tabari. Buku ini dalam bentuk tulisan tangan yang ditulis oleh anak muridnya dan mempunyai dua jilid.
ii.    Al-Durur al-Bahiyyah fi syarah al-Mandumah al-Baiquniah. –Buku ini merupakan syarah kepada qasidah yang dinamakan al-Baiquniah dalam bidang mustalah Hadis. Buku ini mula ditulis oleh muridnya Syeikh Abdul Salam al-Syati bertarikh 1868M dan tamat pada 1871M.
iii.    Syarah al-Qasidah al-Gharamiah fi al-Mustalah al-Hadithah. Buku ini merupakan syarah kepada qasidah yang dinamakan Gharami Sahih dalam bidang mustalah hadis karangan Syihabuddin al-Lahmi al-Asbili al-Syafi’i. Buku risalah ini mempunyai 11 halaman  dan dicetak pada 1869M oleh percetakan Bulaq, Mesir.
iv.    Al-Budur al-Jaliah fi Syarah Nizam al-Sanusiyyah. Kitab ini meripakan syarah kepada qasidah yang dinamakan al-sanusiyyah dalam bidang akidah. Dalam perbahasan sifat Allah, beliau mendatangkan pandangan muztazilah dan membahaskannya. Buku ini ditulis oleh anak muridnya pada tahun 1863M yang mempunyai 58 halaman.
v.    Al-Fara’id al-Bahiyah ala al-Fawa’id al-Syansuriyyah. Buku ini syarah kepada al-Fawa’id  karangan al-Syansuriyyah (m. 1590) dalam ilmu faraid.
vi.    Faida al-Wahab fi Mawafaqat Saidina Umar bin al-Khatab.Buku ini merupakan syarah kepada bait-bait yang disusun oleh Jalaluddin al-Sayuti. Buku ini mengandungi 27 halaman dan ditulis pada tahun 1864M.
vii.    Ghayah al-Maram ala syarah al-Qadr al-Nada. Buku ini  merupakan syarah kepada syarah Qadr al-Nada dalam bidang nahu. Beliau menghuraikan buku ini dengan membawa pandangan-pandangan ulamak nahu seperi Khalil Ahmad al-Farahidi, Syibawaih, al-Kasa’i, al-Fara, ’Ibn Malik dan Ibn Asfur. Buku ini adalah tulisan tangan anak muridnya. Namun sebahagian  besar buku ini hilang dan tidak 37 halaman sahaja.
viii.    Raf’u al-Astar syarah al-Izhar. Buku ini merupakan syarah kepada al-Izhar dalam bidang nahu. Buku ini ditulis oleh anak muridnya pada tahun 1865 dan mempunyai 175 halaman.

Buku-buku tulisan Syeikh Badaruddin merupakan tulisan syarahan kepada matan, qasidah dan bait-bait. Kategori penulisan jenis ini adalah masyhur pada zaman tersebut. Namun, beliau tidak menumpukan sepenuhnya kepada penulisan kerana ia lebih kepada mengajar dan mendidik anak-nak muridnya.

Anak muridnya:

Antara anak muridnya seperti berikut:
i.    Syeikh Tahir al-Atasi-Mufti Homs
ii.    Syeikh Amin Suwaid
iii.    Syeikh Taufiq al-Ayyubi
iv.    Syeikh Abdul Muhsin-Kadi Syam
v.    Syeikh Abdul Qadir al-Magribi- Ketua Majmak al-Ilm, Damsyiq
vi.    Muhamad Mubarak
vii.    Jamaluddin al-Qasimi
viii.    Abdul Qadir Badran-Penulis ringkasan Tarikh Ibn Asakir
ix.    Syeikh Mustafa Naja-Mufti Beirut
x.    Syeikh Bahjat Baitar
xi.    Syeikh Ali al-Daqr
xii.    Syeikh Muhammad al-Kasti Ketua Qadi Beirut
xiii.    Syeikh Hassan Habannakah
xiv.    Syeikh Salih al-Farfur-Pengasas Maahad al-Fatah al-Islami

Anak murudnya merupakan pelanjut tradisi keilmuan Syria kerana sebahagian besar mereka telah menubuhkan sekolah-sekolah dan kolej agama untuk masyarakat Islam di Syria dan dunia Islam. Syeikh Salih Farfur telah menubuhkan Maahad Fatah al-Islami sebuah institusi agama yang terkenal dan pelajarnya terdiri dari pelbagai Negara termasuk pelajar-pelajar dari Malaysia. Syeikh Hassan Habannakah juga menubuhkan sekolah yang telah melahirkan ramai ulamak yang masyhur seperti Said Ramadan al-Buti, Dr Wahbah al-Zuhayli, Mustafa al-Khin dan lain-lain.
Beberapa pandangan Syeikh Badaruddin

Syeikh Badaruddin mempunyai beberapa pandangan mengenai umat Islam pada masa itu antaranya:
i. Muhammad al-Mubarak menyebutkan bahawa Syeikh Badaruddin sentiasa menyeru  agar umat Islam menuntut ilmu  walaupun ia adalah datang dari barat kerana pada masa itu ada yang berpandangan apa yang datang dari barat adalah kufur dan menyesatkan. Beliau pernah melawat sekolah rasmi kerajaan dan menghadiri pengajian ilmu-ilmu sains dan falsafah.Apabila ditanya mengenai ilmu-ilmu tersebut, beliau mengalakkan umat Islam mempelajarinya dan bermusafir untuk mencari ilmu tersebut di barat merupakan satu kewajipan. (Yusri, 1977:100)

ii. Dalam bidang akhlak, beliau berpendapat al-Gibah atau mengumpat merupakan perkara yang paling buruk dan membahayakan masyarakat. Dalam pengajiannya, terdapat perbahasan mengenai bahaya mengumpat dan menurutnya ia boleh merosakkan ibadat seseorang malah membatalkan wuduk dan perlu mengambil semula apabila ia mengumpat. Pernah orang menayakan mengenai mengumpat untuk tujuan peringatan, Beliau menjawab bahawa ia merupakan keperluan dalam keadaan darurat seperti memakan bangkai dalam keadaan darurat. Tidak harus kecuali dalam keadaan darurat. Orang itu harus bercakap dalam lingkungan mencukupi dan tidak boleh melebihi percakapan mengumpat seperti memakan perkara yang haram sekadar untuk menyelamatkan nyawa daripada mati. Sesiapa yang melebihinya adalah haram.(Yusri Durkazanli, 1977: 103)

iii. Syeikh Badaruddin adalah seorang ulamak yang gigih dalam berjihad menentang penjajahan sama ada melalui pandangan dan aktiviti perjuangan. Beliau sentiasa meniupkan semangat jihad melalui pengajian-pengajiannya mengenai kewajipan berjihad sama ada kepada wanita dan kanak-kanak. Beliau mengungkapkan : “Jihad adalah fardu ain kepada setiap orang yang mampu membawa senjata.”

iv. Dalam bidang mustalah hadis, beliau berpendapat bahawa kutub al-Sittah (kitab hadis yang enam) bukan menghimpunkan hadis-hadis yang sahih kesemuanya  kecuali al-Bukhari dan Muslim.Tidak harus mengatakan Sahih al-Turmizi dan sahih al-Nasa’i dan ini tidak bermakna ia tidak mengandungi hadis-hadis sahih. Perkara ini kerana kitab-kitab tersebut mengandungi hadis sahih, hassan dan juga terdapat hadis daif. Begitu juga pandangannya mengenai sanad hadis kepda Rasulullah SAW. Seseorang yang mengatakan ini hadis Rasulullah hendaklah ia mengetahui kesahihan sanad.

Sebelum beliau meninggal dunia dua hari, para ulama, rakan-rakannya dan ahli keluarga telah berhimpun. Syeikh Badaruddin telah memberi pesanan mengenai kewujudannya di atas dunia ini bersama umat Islam. Namun kurang memberi hak-hak mereka malah hak Pecipta. Saya berdoa semoga kita mendapat keredahaan dan menjauhkan dari kejahatan dan meneeguhkan dalam agama dan urusan dunia.

Muhamad Badaruddin meninggal dunia pada pagi Jumaat 27 Rabi akhir 1354 bersama 28 haziran 1935. Beliau meninggal jam 9 setelah selesai solat dhuha. Jenazahnya disembahynag di Masjid Umawi pada jam 4 petang dan dikebumikan jam 7 petang di Bab al-Saghir.Damsyiq. Pada tahun 1936, dibina masjid kecil berdekatan kuburnya kemudian diruntuh dan dibina Majma’ atas namanya yang merangkumi masjid dan institusi pendidikan dan kuburnya berdekatan dengan majma’ tersebut. (Bayruni, 2009:84, Salih al-Farfur, 1986: 44) 

Semasa hidup, beliau pernah diziarahi oleh Mufti Mesir, Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’i semasa beliau melawat Syria. Syeikh al-Muti;i telah pergi ke Masjid al-Umawi pada hari Jumaat dan berada dalam majlis pengajian Syeikh Badaruddin sehingga waktu Asar. Selesai solat Asar, mereka berdua bertemu di luar masjid. (Ini kerana Syeikh Badaruddin Tidak bercakap mengenai urusan dunia di Masjid). Syeikh al-Mati;i mengakui keluasaan ilmu dan kealiman Syeikh Badaruddin. Begitu juga Muhammad Abduh dan Syeikh Abdul Juwad al-Qayati al-Misri.(Salih al-Farfur, 1986: 86)

Syeikh Salim al-Attar seorang ulama sezaman dengannya mengakui kelebihan Syeikh Badaruddin dari segi ingatan sanad-sanad hadis dan pengajiannya mendapat sambutan luar biasa dan ini merupakan kurniaan Ilahi. Syeikh Muhammad Kamal al-Qasab, ketua Ulama-ulama Damsyiq menyatakan bahawa tidak terdapat di dunia Islam seperti Mesir, India, Yaman, Syria, Iraq dan lain-lain seperti pengajian Syeikh Badaruddin.  Syeikh Badaruddin juga menziarahi penghuni penjara pada Hari Raya aidil fitri dan hari raya aidil adha dan berdoa agar mereka bersabar dan kembali ke pangkal jalan. Syeikh juga dizairahi oleh pembesar-pembesar negara seperti Jamal Basha, Ketua Turki di Syria. Semasa lawatan pembesar-pembesar ngegara tersebut, Syeikh Badaruddin duduk di kerusi dan tidak bangun.

Sumber :http://www.mindamadani.my

No comments:

Post a Comment

Author

Stats

Kata Hukama


About

Followers

Archives

Pelawat Seantero

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Sample Text

Kepada semua penulis asal, blogger atau sesiapa saja yang artikelnya saya petik dan masukkan di sini, saya memohon kebenaran dan diharap tidak dituntut di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya saya akan "quote" artikel asal dan sumbernya sekali, supaya apa yang dimaksudkan oleh penulis asal tidak lari atau menyeleweng. Saya ambil artikel-artikel penulisan untuk rujukan saya dan sahabat-sahabat pelawat. Saya masih cetek ilmu tidak sehebat sahabat-sahabat yang menulis artikel-artikel di blog ini. Jazakumullah khairan kathira kerana sudi menghalalkan ilmu untuk perkongsian seluruh masyarakat Islam

Popular Posts