Wednesday, 18 April 2012

Biografi Sheikh Rahmatullah


Beliau adalah berketurunan dari Sayyidina Utsman رضي الله عنه . Nasabnya seperti berikut: Muhammad Rahmatullah bin Khalilurrahman al-Kiranawi bin Khalilullah [ma’ruf dengan nama Khalilurrahman] bin Hakim Najibullah bin Hakim Habibullah bin Hakim Abdurrahim bin Hakim Quthbuddin bin Shaikh Fudhil bin Hakim Diwan Khan Abdurrahim bin Hakim Abdul Karim @ Hakim Beena bin Hakim Hasan bin Abdus Shamad bin bin Abi ‘Ali bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir bin Syaikh Jalaluddin bin Mahmud bin Ya’kub bin ‘Isa bin Ismail bin Muhammad Taqi bin Abi Bakar bin ‘Ali Naqi bin Utsman bin ‘Abdullah bin Shihabuddin bin ‘Abdurrahman bin ‘Abdul ‘Aziz as-Sarqasi bin Khalid bin al-Walid bin ‘Abdul Aziz bin ‘Abdurrahman al-Kabir al-Madani bin ‘Abdullah as-Tsani bin ‘Abdul ‘Aziz al-Kabir bin ‘Abdullah al-Kabir bin ‘Umar bin Utsman bin Affan رضي الله عنه. Dilahirkan di kampung yang bernama Keranah yang terletak tidak jauh dari kota Delhi, India pada tahun 1226H/1811M. Dan menurut riwayat lain beliau dilahirkan Jumadil Awwal 1233/Mac 1818M.

Pendidikan
Keluarga beliau sangat taat dalam agama. Mendapat pendidikan awal di madrasah di kampungnya. Setelah menghafal al-Quran dan mengetahui dasar-dasar bahasa ‘Arab, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di pusat ilmu ketika itu iaitu di kota Delhi. Beliau berguru dengan murid dari Syah Abdul Aziz bin Syah Waliyullah ad-Dahlawi. Sebahagian dari guru-gurunya adalah Maulana Muhammad Hayat, Maulana Mufti Sa’adullah, Maulana ahmad ‘Ali, al-Arifbillah Maulana ‘Abdurrahaman Chishti, Molvi Iman Baksh Shahba’i, Hakim Faiz Muhammad dan ramai lagi. Setelah tamat pengajian, beliau pulang kekampungnya dan membuka madrasah sendiri.


Berdebat dengan paderi kristian

Ketika itu India dibawah cengkaman penjajah Inggeris. Syaikh Rahmatullah sangat sedih melihat keadaan umat Islam India yang ditindas penjajah bahkan mereka juga berusaha merosak dan menghapuskan aqidah dan keyakinan umat Islam India. Beliau sedih apabila melihat paderi-paderi kristian secara terang-terangan mengajak umat Islam menganut kristian. Keadaan ini mendorong beliau untuk tampil menentang mereka terutamanya paderi yang bernama Dr. Fonder yang bongkak dan terang-terangan menghina Islam dan kaum Muslimin. Maka beliau pun mempersiapkan dirinya untuk menghadapi mereka. Setelah bersedia, Syaikh Rahmatullah mengajak paderi Fonder untuk berdebat dikhalayak ramai untuk membuktikan kebenaran Islam dan kepalsuan kristian. Maka pada 11 Rejab 1270H (10 April 1855M) bertempat di Akbarabad Abdul Masih, Agra (yakni sebuah kampung yang dijadikan kampung contoh yang diusahakan oleh para paderi), berlakulah perdebatan antara Syaikh Rahmatullah dengan Paderi Dr. Fonder. Syaikh Rahmatullah bersama seorang pembantu yang juga merupakan juru bicaranya bernama Dr Muhammad Wazir Khan, manakala paderi Fonder bersama rakannya seorang paderi. Pokok perdebatan mereka adalah:

  • Adanya penyelewengan dalam kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru
  • Adanya perubahan pada dua buah kitab tersebut
  • Pembatalan konsep triniti
  • Kebenaran Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم
  • Kebenaran al-Quran

Diantara syarat perdebatan, siapa yang kalah maka dia mestilah meninggalkan agamanya dan menganut agama yang menang. Selain dari orangramai, perdebatan ini juga dihadiri oleh Smith, District Revenue Officer; Christians Chairman of the Provincial Board; William, magistrate tempatan, William Gilben, jurucakap kerajaan British. Juga dihadiri oleh Mufti Riazuddin, Molvi Faiz Ahmad, Molvi Hazur Ahmed, Molvi Amirullah, Molvi Qamrul Islam, Imam Masjid Jamik Agra dan ramai lagi.

Dipendekkan cerita, berlaku perdebatan ini selama 3 hari, yang mana pada hari ketiga paderi Fonder tidak datang kerana tidak dapat menjawab hujjah-hujjah Syaikh Rahmatullah. Bahkan pada hari pertama lagi paderi Dr Fonder mengakui tentang terdapatnya lapan penyelewengan besar di dalam Kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Akibat dari kekalahan ini paderi Fonder melarikan diri ke Jerman. Manakala maruah umat Islam telah ditebus kembali. Ekoran dari semangat ini, dua tahun selepas itu, berlaku pemberontakan besar di India. Ramai umat Islam yang gugur dalam penentangan ini. Inggeris telah menghantar perisiknya untuk menangkap Syaikh Rahmatullah. Allah Maha Berkuasa untuk melindungi ulama’ yang membela agamaNYA. Beliau dapat menyelamatkan diri ke kota surat di Gujerat dan seterusnya berangkat ke Mekah. Beliau sampai ke kota Mekah pada tahun 1862M iaitu setelah 5 tahun terjadinya pemberontakan besar di India.

Berpindah ke Mekah

Setibanya di Mekah beliau mendapat penghormatan dan layanan yang baik dari Mufti Syafi’iyyah di Mekah ketika itu iaitu Syaikh Ahmad Zaini Dahlan (lahir 1232 H/1816 M, wafat 1304H/1886M). Syaikh Ahmad Zaini Dahlan telah memperkenalkan Syaikh Rahmatullah kepada gabenor Mekah ketika itu iaitu Syarif Abdullah [Syarif Abdullah bin Muhammad al-Aun, dilahirkan pada tahun 1823M dan dilantik oleh Sultan dari Kerajaan Islam Utsmaniah yang berpusat di Turki untuk menjadi amir Mekah menggantikan bapanya 1 Mei 1858M. Beliau wafat di Taif pada 26 Jun 1877M] yang mewakili Khalifah Sultan Abdul Aziz al-Utsmani di Turki [kerajaan Utsmaniah]. Bahkan Syaikh Zaini Dahlan mengizinkan Syaikh Rahmatullah mengajar di Masjidilharam.


Adapun mengenai paderi Fonder [yang pengecut] itu setelah melarikan diri [pasai malu … kalah debat] ke Jerman dan Swizerland , kembali ke London dan kemudiannya di kirim oleh “Church Mission Society of London” ke Turki [kononnya orang sana tak kenai dialah … ]. Di Turki, paderi Fonder ni pergi mengadap Sultan Abdul Aziz, dan dia kelentong habis tentang perdebatan yang berlaku di India. Kununnya dialah yang champion nya. Namun Sultan yang cerdik itu tak telan bulat-bulat, baginda hantar surat pada Gabenor di Mekah untuk mendapat keshahihan berita. Maka Gabenor Mekah pun memberitahu kisah yang sebenar dan seterusnya Sultan Abdul Aziz pun mengundang Syaikh Rahmatullah ke Istanbul, Turki. Maka berangkatlah Syaikh Rahmatullah ke Turki pada tahun 1864M. Maka bila mendengar akan berita kedatangan Syaikh Rahmatullah ke Turki, paderi Fonder yang pengecut teramat itupun bawa diri lari dari Turki, kerana takut berhadapan dengan Syaikh Rahmatullah. [apa tidaknya …. sebelum tu di kelentongnya Sultan … kununnya dialah champion …. ]

Dipendekkan lagi cerita, maka bertitahlah Sultan Abdul Aziz kepada Syaikh Rahmatullah agar beliau menulis hasil perdebatan tersebut ke dalam bahasa Arab untuk dijadikan panduan bagi kaum Muslimin menghadapi dakyah kristian. Beliau pun menulis kitabnya dan diselesaikan dalam tempoh 6 bulan, dan tulisan tersebut beliau namakan Izhharul Haq (اظهار الحق) yang ertinya Menangnya Kebenaran. Seterusnya Sultan telah memerintahkan supaya kitab itu dicetak dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Jerman, Perancis dan juga Turki. Dan kitab ini lah yang menjadi rujukan utama Syaikh Ahmad Deedat apabila beliau berdebat dengan paderi kristian.

Membangunkan Madrasah Shaulatiyah

Setelah seselai mengarang kitab Izhharulhaq, Syaikh Rahmatullah kembali ke Mekah dan terus mengajar di Masjidilharam dan juga di rumahnya. Dan seterusnya pada bulan Rabiul Awwal 1285H, beliau membangunkan sebuah madrasah yang lebih sistematik di kampung Syamiyah diatas sebidang tanah. Kemudian seorang perempuan dermawan dari India bernama Shaulatun Nisaa’ Begum telah membeli dan mewakafkan sebidang tanah di kampung Khandarisah , Mekah. Dan pada 15 Sya’ban 1290H, Syaikh Rahmatullah batu meletakkan batu asas untuk membina madrasah yang lebih besar. Syaikh Rahmatullah telah menamakan al-Madrasatus Shaulatiyah sempena mengambil nama Shaulatun Nisaa’, wanita dermawan dari India yang bermurah hari mewakafkan tanah pembangunan madrasah tersebut. Madrasah ini telah melahirkan ramai ulama yang berwibawa.

Murid-murid beliau

Beliau mempunyai murid yang ramai, antaranya adalah: asy-Syarif Hussin bin ‘Ali al-Hasyimi, Qadhi al-Qudhah asy-Syaikh ‘Abdullah Siraj, al-‘Allamah asy-Syaikh Ahmad Abu al-Khair, Amin Muhammad ‘Ali – pengajar, imam dan khatib di Masjidil Haram, al-‘allamah asy-Syaikh As’ad Ahmad ad-Dihan, al-‘Allamah asy-Syaikh Ahmad ‘Ali Hussin an-Najar – Qadhi Thaif, al-‘Allamah asy-Syaikh Ahmad Abul Khair, al-‘Allamah asy-Syaikh Badrul Islam al-Kiranawi, al-‘Allamah asy-Syaikh Hasan ‘Abdul Qadir, al-‘Allamah asy-Syaikh Hasan Kadzim, al-‘Allamah asy-Syaikh Darwish, al-‘Allamah asy-Syaikh Syaraful Haq Shadiqi, al-‘Allamah asy-Syaikh Syihabuddin al-Utsmani al-Kiranawi, al-‘Allamah asy-Syaikh Dhiya-uddin, al-‘Allamah asy-Syaikh Abdurrahman Ahmad Dihan, al-‘Allamah asy-Syaikh Abdurrahman asy-Syibi, al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid ‘Abdullah Muhammad Sholeh az-Zawawi – Mufti Syafi’iyyah di Mekah, al-‘Allamah as-Sayyid ‘Abid Hussin Maliki – Mufti Mazhab Maliki di Mekah, al-‘Allamah asy-Syaikh ‘Abdullah Ahmad Abul Khair – Mufti Mazhab Hanafi, al-‘Allamah asy-Syaikh ‘Abdul Hamid Baksh al-Falaki, al-‘Allamah asy-Syaikh Muhmmad al-Ghazi, al-‘Allamah asy-Syaikh ‘Abdus Sattar ad-Dahlawi al-Kutbi, al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Said Ba Bashil, al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Hussin al-Khiyath, al-‘Allamah asy-Syaikh Mulla Muhammad Ismail an-Nawab, al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad ‘ali Sulaiman – Imam dan khatib di Masjidilharam, al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Sholeh al-Maimuni, al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Hashim Asy’ari al-Indonisi, al-‘Allamah asy-Syaikh Muhammad Sulaiman Hasbullah, al-‘Allamah asy-Syaikh Abul Khair al-Faruqi al-Hind.

Antara ulama-ulama yang pernah mengajar di Shaulatiyah adalah: Syaikh Salim Rahmatullah (anak beliau), Syaikh Mahmud Arif al-Bukhari, Syaikh Abdul Lathif al-Qari, Syaikh Hasan bin Muhammad al-Masyath, Syaikh Mukhtar Makhdum, Syeikh Abdullah al-Bukhari, Syeikh Daud Dihan, Syaikh Abdullah bin al-Hasan al-Kuhaji, Syaikh Hasbullah as-Sanqithi dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani (sebelum jadi Syaikhul Islam Selangor), Sayyid Abdullah az-Zawawi, Mufti Syafi`i Makkah zamannya, Sayyid Muhsin al-Musawa dan ramai lagi. Adapun bekas pelajar Shaulatiyah ini tersangatlah ramainya.


Kitab karangannya

Selain dari Izhharulhaq, Syaikh Rahmatullah juga mengarang beberapa buah kitab lain, antaranya:

• Al-Buruqul Lami’ah (Arab)
• Taqlibul Matha’in (Arab)
• Ahsanul – Ahaditsi fi Ibthalit Tastlist (Arab)
• Izaalatusy syukuk (Urdu)
• I’jaz Isawi (Urdu)
• Mu’addilu Wijajil Mizan (Urdu)
• Mi’yarul-haq (Urdu)
• Izatul Awham (Parsi)

Kembali kealam baqa

Ulama yang banyak menaburkan jasa ini wafat pada malam Jum’at, 22 Ramadhan 1308H/2 Mei 1891M dan dimakamkan di perkuburan Ma’ala. Kuburnya terletak berdekatan dengan makam Ummul Mu’minin, Sayyidatina Khadijah al-Kubra رضي الله عنها[gambaq sebelah - makam Sayyidatina Khadijah al-Kubra رضي الله عنها]. Semoga Allah merahmati ulama yang sangat berjasa ini. Al-Faatihah ……..

sumber 

No comments:

Post a Comment

Author

Stats

Kata Hukama


About

Followers

Archives

Pelawat Seantero

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Sample Text

Kepada semua penulis asal, blogger atau sesiapa saja yang artikelnya saya petik dan masukkan di sini, saya memohon kebenaran dan diharap tidak dituntut di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya saya akan "quote" artikel asal dan sumbernya sekali, supaya apa yang dimaksudkan oleh penulis asal tidak lari atau menyeleweng. Saya ambil artikel-artikel penulisan untuk rujukan saya dan sahabat-sahabat pelawat. Saya masih cetek ilmu tidak sehebat sahabat-sahabat yang menulis artikel-artikel di blog ini. Jazakumullah khairan kathira kerana sudi menghalalkan ilmu untuk perkongsian seluruh masyarakat Islam

Popular Posts