Biografi Ustaz Abu Bakar Al-Bakir
11:10Latar Belakang 
Abu Bakar bin Mohd Said dilahirkan pada tahun  1907 di Gunung Semanggol. Al-Baqir yang bermakna "amat pintar" adalah  gelaran yang diberikan oleh gurunya kerana kepintarannya dalam pelajaran  sejak kecil lagi. 
Sehingga kini beliau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. 
Beliau  adalah daripada keturunan Jawa. Datuknya, Haji Abdul Jabar bin Abdul  Rauf berhijrah dari Kendal, Jawa Tengah pada pertengahan abad ke-19.  Pada mulanya datuknya menetap di Kelang. Kemudian berpindah ke Kuala  Kurau, Perak dan akhirnya ke Gunung Semanggol. 
Setiap tempat persinggahan datuk neneknya, mereka menjalankan kerja bercucuk-tanam, terutamanya bersawah padi. 
Ustaz  Abu Bakar Al-Baqir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung  Semanggol dan pada tahun 1919 di Pondok Ar-Rahmaniah. Pada tahun 1924 di  Pondok Da'irat Al-Ma'arif, Kepala Batas, Seberang Perai Utara. 
Ustaz  Abu Bakar Al-Baqir meneruskan pelajaran agama di Pondok Idrisiah, Kuala  Kangsar dan kemudian menjadi ustaz pelatih di sekolah tersebut. 
Seorang Aktivis Dakwah dan Politik 
Sejak  muda, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah bergiat cergas dalam perbagai  persatuan separa-politik dan pertubuhan politik Melayu seperti: 
· Persatuan Melayu Pulau Pinang 
· Persatuan Melayu Perak 
· Persatuan Sunligh Taiping 
· Kelab Saadat Kuala Kangsar 
· Kesatuan Melayu Muda (KMM) 
· Angkatan Pemuda Insaf (API) 
· Barisan Tani Se-Malaya (BATAS) 
· Pembantu Indonesia Merdeka (PIM) 
Penglibtannya  dalam persatuan-persatuan inilah yang menyebabkan Ustaz Abu Bakar  Al-Baqir amat rapat dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan  pemimpin PKMM, Dr. Burhanuddin Al-Helmy. 
PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak 
Usaha Pembaharuan 
Pada  akhir tahun 1920an, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah membuka kelas  pendidikan Islam bernama Kanzal Ma'arif. Berlainan dengan sistem menadah  kitab yang diamalkan pada masa itu, kelas-kelas ini memperkenalkan  sistem perbincangan dan perbahasan bahan-bahan pengajian ilmu  pengetahuan. 
Tujuan diadakan pendekatan seperti ini adalah untuk  melahirkan ahli-ahli dakwah dan mubaligh Islam yang bertepatan dengan  ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Kelas-kelas ini diadakan setiap malam  Selasa dan Jumaat setiap minggu. Mereka yang menduduki kelas-kelas ini  adalah terdiri daripada mereka yang dipilih sahaja. Usaha ini  menghasilkan kejayaan yang menggalakkan. 
Pada peringkat ini juga  Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah terdedah dengan pemikiran Kaum Tua dan  Kaum Muda. Disebabkan pengaruh gurunya serta pendedahan beliau di  madrasah-madrasah yang digerakkan oleh gerakan Islah yang mewakili Kaum  Muda, beliau lebih cenderung ke arah pendekatan pembaharuan. 
Maahad Al-Ehya Al-Sharif 
Pada  tahun 1934, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersama beberapa orang pemimpin  tempatan telah menubuhkan Maahad Al-Ehya Al-Sharif di Gunung Semanggol. 
Nama  Al-Ehya Al-Sharif memberi erti "menghidupkan kemuliaan". Dengan  menghidupkan kemulian agama inilah diharapkan akan tercetusnya  masyarakat yang memuliakan dunia dan Akhirat di kalangan bangsa Melayu. 
Ustaz  Abu Bakar Al-Baqir dilantik sebagai mudir Maahad Al-Ehya Al-Sharif.  Jawatan ini dipegangnya hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1974. 
Usaha  pembaharuan ini diteruskan pada tahun 1940 dengan Ustaz Abu Bakar  Al-Baqir menubuhkan Persatuan El-Ehya Al-Sharif (Berhad). Persatuan ini  berperanan sebagai badan yang mengurus dan melaksanakan hal-ehwal  sekolah. Sebuah Lembaga Pengurus yang bertindak secara kolektif telah  diwujudkan. 
Meluaskan Pembaharuan 
Kelahiran Al-Ehya pada  tahun 1934 adalah seiring dengan matangnya fahaman Islah di kalangan  umat Islam di Tanah Melayu. Pergerakan Islah atau Kaum Muda yang  dipopularkan pada awal abad itu telah banyak mempengaruhi  pelajar-pelajar madrasah. 
Kemahuan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir  untuk mendirikan Al-Ehya bertambah kuat apabila masih kurang madrasah  yang menekankan pendidikan dunia dan Akhirat di Kawasan Kerian, Perak.  Untuk tujuan tersebut, beliau melepaskan jawatannya di Pondok Idrisiah,  Kuala Kangsar. 
Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendirikan Al-Ehya di  Gunung Semanggul kerana berpandangan tidak sesuai baginya untuk  memajukan bangsa jika terikat dengan iklim istana. Lagipun, para ulamak  di Idrisiah amat condong kepada kemahuan status quo golongan tradisional  aristokrat diraja. 
Dalam perkembangan inilah Al-Ehya menerima  guru-guru dari Timur Tengah dan Indonesia yang berfahaman Islah dan  Reformasi Islam sebagai tenaga pendidiknya. 
Guru-gurui dari Indonesia ini terdiri daripada aktivis pergerakan Muhammadiah yang terkenal sebagai Kuam Muda di Indonesia. 
Sejak  itu, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjadikan Maahad El-Ehya  Al-Sharif sebagai pusat gerakan sosiopolitik, sosioekonomi dan kegiatan  politik berparti berdasarkan Islam dari tahun 1934 hingga Darurat  diisytiharkan pada tahun 1948. 
Pembaharuan melalui Ekonomi 
Pada  tahun 1947, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mempengerusiakn satu jawatankuasa  perhimpunan besar yang dinamakan Persidangan Ekonomi-Agama se Malaya.  Persidangan ini diadakan di Maahad Al-Ehya Al-Sharif. 
Tujuan  persidangan tersebut dinyatakan sebagai untuk "berusaha meluaskan  penyiaran agama dan berusaha mempertinggikan ekonomi bangsa dan negara  yang sudah hampir lenyap ke tangan asing". 
Persidangan tersebut  dihadiri oleh 2,000 orang alim ulamak dan cerdik pandai dari seluruh  Tanah Melayu yang berkelulusan dari sekolah-sekolah tinggi Mesir, Arab  Saudi, India dan Indonesia. Wakil-wakil dari Singapura juga turut hadir.  
Persidangan tersebut berjaya menubuhkan Pusat Perekonomian  Melayu seMalaya atau ringkasnya PEPERMAS. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah  dipilih sebagai Yang Di Pertua (YDP) bagi PEPERMAS. 
Sejurus  penubuhannya, PEPERMAS telah menyusun kerja-kerja ekonomi, melantik  badan-badan ekonomi serta menggariskan kerja-kerja derma pelajaran bagi  pelajar-pelajar di madrasah-madrasah seluruh Tanah Melayu. 
Pembaharuan dalam Pentadbiran Agama 
Majlis  Agama Tinggi atau MATA juga ditubuhkan pada tahun 1947, iaitu sehari  selepas PEPERMAS. MATA juga ditubuhkan di Al-Ehya Al-Sharif, Gunung  Semanggol. 
Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dilantik sebagai penasihat kanan. 
MATA  ditubuhkan dengan tujuan untuk membetulkan pengurusan dan pentadbiran  hal-ehwal agama Islam yang ditadbir oleh ulamak tradisional dan raja  Melayu. 
MATA adalah satu tamparan yang hebat kepada golongan  yang bekerja dalam pertubuhan ulamak negeri dan pejabat agama  negeri-negeri. Ini kerana MATA bertujuan menjadi badan agung untuk  mengelolakan soal agama. MATA juga secara langsung berhasrat  menggantikan badan-badan agama yang telah wujud di setiap negeri. 
Pembaharuan melalui Pendidikan 
Pada  tahun 1947 juga, sebuah badan yang dinamakan LEPIR atau Lembaga  Pendidikan Rakyat telah ditubuhkan. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah  dipilih menjadi pengerusi LEPIR. 
LEPIR adalah hasil usaha  daripada Jawatankuasa badan Kebajikan Pelajaran MATA yang telah  mengadakan pemerhatian di seruh Tanah Melayu dan Singapura perihal  kurangnya umat Melayu-Islam dalam bidang pendidikan. 
Melalui LEPIR, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah diberi tanggungjawab untuk memajukan sekolah agama di seluruh Tanah Melayu. 
Melalui  LEPIR juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah menggabungkan semua sekolah  rakyat di Tanah Melayu, melahirkan satu sistem persekolahan serta  membentuk satu sukatan pelajaran yang seragam bagi semua sekolah rakyat.  
LEPIR di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah  mengusahakan penerbitan buku pelajaran agama dan bahasa Arab bagi  seluruh Tanah Melayu. 
Dengan menerajui LEPIR, Ustaz Abu Bakar  Al-Baqir juga telah menjuruskan usaha ke arah penubuhan sebuah  universiti Islam dengan menubuhkan sebuah tabung mengumpul dana daripada  rakyat




0 comments