Tuesday, 3 April 2012

Biografi Abdul Ghani Al-Daqr

Abdul Ghani bin Muhammad Ali bin Abdul Ghani bin Muhamad Ali bin Abdul Ghani al-Daqr. Al-Daqri bermaksud taman yang cantik dan keluarga ini dinisbahkan dengan nama tersebut. Beliau dilahirkan pada tahun 1917 di Daerah Ziqaq Barghal, Damsyiq. Bapanya seorang tokoh kebangkitan Syria dan ibunya Badriah al-Muradi. Ibunya meninggal ketika dia masih kecil ketika berusia dua tahun setengah. Kemudian beliau memasuki Kuttab dan tamat khatam al-Quran keseluruhan pada usia tujuh tahun. Kemudian beliau memasuki sekolah al-Tijarah yang dimiliki oleh Mahmud Aqqad. Oleh kerana kecerdikan, beliau terus naik kelas empat. Beliau belajar di sekolah ini dari tahun empat sehingga tahun sembilan.

Beliau tamat di sekolah ini pada tahun 1928 dan usia ketika itu 12 tahun dan sekolah ini tidak mengeluarkan sijil kerana ia merupakan sekolah yang berteraskan kebajikan. Sekolah al-Tijarah mengajar ilmu-ilmu agama dan beliau belajar dari Abdul Wahab, Syeikh Abdul Rahman Khatib, Syeikh Hashim Khatib dan Syeikh Husni Bughal. Kemudian beliau meninggal pengajian dengan agak lama disebabkan ujian yang menimba bapa dan keluarga dan juga kekerasan yang dilakukan oleh rakan-rakannya di sekolah al-Tijarah. Setelah itu, beliau menghabiskan masa dengan memburu, menunggang kuda dan berenang. Di samping pergi ke ladang keluarganya.
Oleh kerana minatnya dalam bahasa Arab, maka dia tidaklah meninggalkannya terus apabila kawannya Syeikh Munir Faqir memberi buku fi Sabil al-Taj karangan al-Manfaluti. Buku itu dibaca sekaligus dan ia memberi kesan kepada jiwanya. Lalu ia meminta buku-buku al-Manfaluti yang lain untuk dibaca dan mengeluarkan perkataan yang gharib untuk dilihat makna dalam kamus Muhid. Perkara ini  memperkayakan pengetahuan bahasa beliau dan ketika itu umurnya tidak melebihi 14 tahun.

Kemudian beliau meneruskan menelaah buku-buku turath seperti al-Bayan wa al-Tabyin karangan Jahid. Pembacaan tersebut memyebabkan beliau memahami perbezaan uslub antara kesusteraan Manfaluti dengan Jahid. Sejak itu, beliau membaca buku-buku kesusteraan Arab dan minatnya untuk pengajian tumbuh semula. Beliau belajar dengan  guru-guru agama di halaqah-halaqah di masjid Di samping bapanya Muhamad Ali mengadakan kelas khas untuk mengajar nahu di Masjid Sananiah dan mereka belajar al-Ajrumiah, Qadr al-Nada dan syarah ibn ‘Aqil. Beliau tamat pengajian ketika berumur 17 tahun.

Kemudian beliau belajar  di Masjid al-Addas Damsyiq dan belajar di situ sehinggalah berusia usia dua puluh lima tahun. Beliau meneruskan pengajian dengan belajar dengan ulamak-ulamak terkemuka pada zamannya dalam bidang ulum syariah dan bahasa. Antara guu-gurunya seperti “
i.    Badruddin al-Hasani (m. 1934). Beliau belajar tauhid dan buku-buku hadith seperti Shahih al-Bukhari dan Muslim.
ii.    Muhamad Amin Suid (m.1935) dalam bidang Mantiq dan Usul.
iii.    Muhamad Ali al-Daqr (m. 1943) (bapa beliau) dalam bidang feqah Syafi’i, balaghah dan usul.
iv.    Mahmud Attar (m. 1943). Beliau belajar tafsir al-Bawdawi dan nahu.
v.    Abdul Rahman Khatib  dalam feqah Syafi’i.
vi.    Hassan Habannakah al-Maydani (m. 1977) Beliau belajar nahu, kesusteraan, usul dan balaghah. Antara kitab Usul yang diguna ialah al-Waraqat karangan al-Juwaini dan al-Mustafa karangan al-Ghazali.

Abdul Ghani juga menelaah buku-buku bersama rakan-rakan seperti bersama dengan Abdul Karim al-Rafi’i menelaah kitab al-Mahalla karangan Ibn Hazm al-Andalusi dan al-Ihkam fi Usul al-Ahkam. Beliau juga menelaah bersama Ali Tantawi dan Said al-Afghani selepas solat Jumaat kitab al-Risalah karangan Imam al-Syafi‘i, bersama Yusuf bin Sadiq kitab al-Muzhir fi al-Lughah karangan al-Sayuti dan Nayif al-Abbas dalam balaghah. Abdul Ghani mempunyai mempunyai pandangan dalam bidang-bidang pengajian seperti ilmu kalam, feqah dan lain-lain.

Dalam ilmu kalam beliau cenderung kepada aliran salafi dan meminati Imam Ahmad dalam bidang akidah. Dalam bidang feqah, beliau mengambil pandangan berdasarkan kepada dalil yang paling sahih walapun berbeza dengan mazhab Syafi‘i yang dianutinya. Dalam bidang hadith, beliau tidak mengambil hadith-hadith yang lemah dan da’if walaupun dalam perkara-perkara kelebihan amal seperti pandangan al-Bukhari dan Abu Bakar bin ‘Arabi al-Maliki (Ibn Arabi). Beliau juga menerima sanad terutama dari Badaruddin al-Hasani dan bapanya. Penulisan Abdul Ghani terbahagi kepada tiga kategori utama :
i.    Ilmu-ilmu pengajian Islam
ii.    Bahasa Arab
iii.    Sejarah dan biografi tokoh

Buku yang pertama yang diterbitkan berjudul Muhadarat fi al-Din al-Tarikh wa al-Ijma’ pada tahun 1953.

i.    Mukhtasar Tafsir al-Khazin (Ringkasan Tafsir al-Khazin)
Tafsir al-Khazin merupakan ringkasan dari tafsir al-Bughwi karangan Abu Muhammad Husain bin Masud al-Baghwi dan Abdul Ghani membuat ringkasan Tafsir al-Khazin dengan menghimpunkan perkara-perkara yang sesuai dengan keperluan zaman. Antara yang baik dalam tafsir al-Khazin ini ia menggunakan uslub dan ibarat yang mudah difahami dan keluasan hukum-hukum berdasarkan mazhab-nazhab beserta dalilnya yang menyokong perkara tersebut dari al-Quran dan al-sunnah.
Antara yang tidak baik dalam tafsir ini ialah banyak israiliyyat dan tidak berdasarkan sumber yang muktabar. Sebagai contoh pendapat bahawa bumi ini terletak di atas tanduk dan apbila bertukar tanduk ke tanduk yang lain maka berlaku gempa bumi. Manhaj Abdul Ghani dalam membuat ringkasan  buku ini ialah mengimpun perkara-perkara yang baik dan bermanfaat bagi tafsiran ayat dan mengekalkan hukum-hukum mazhab dengan dalil-dalil dan pandangan para imam-imam dan hadith yang sabit dari Rasulullah. Beliau meninggalkan perkara-perkara tidak berfaedah dari perkara israilliyat, khurafat dan kisah-kisah yang lemah serta hadith yang lemah dan palsu.

Jika terdapat dalam tafsir tersebut pendapat yang pelbagai, maka beliau akan memilih pendapat yang hampir  kepada al-Quran dan al-sunnah dan kadang-kadang beliau akan mengambil pendapat tafsir al-Tabari atau al-Kashaf, Tafsir al-Bawdawi dan Tafsir Ibn Kathir untuk menerangkan penafsiran ayat tersebut. Inilah manhaj ringkasan yang dilakukan oleh Abdul Ghani. Buku ini diterbitkan dalam tiga jilid oleh Dar al-Yamamah, Damsyiq pada tahun 1994.

2. Qawa’id al-Ahkam fi al-Masalih al-Anam li ‘Izz bin Abd al-Salam.(Kaedah-kaedah Hukum dalam Kepentingan Manusia karangan Izz bin Abd Salam)

Buku ini merupakan karangan sultan ulama ‘Izuddin  bin Abd  al-Salam yang disunting oleh Abdul Ghani kerana keperluan buku tersebut untuk dicetak  semula dengan pembetulan dan pembaikan. Dalam mukadimah buku ini, Abdul Ghani menjelaskan mengenai Izuddin yang dianggap sebagai seorang ulamak mazhab Syafi‘i  yang tersohor namun ia tidaklah bertaqlid dalam mazhabnya sahaja.
Ia hanya berteraskan kepada dalil yang kuat walaupun menyalahi mazhabnya. Kadang beliau terkesan dengan pendapat ahli Zahir dan  Abu Hanifah. Oleh sebabitu, beliau dianggap sebagai mujtahid mutlak dan anak muridnya Ibn Daqiq mengelarkannya sebagai sultan ulama.Penyuntingan buku ini berdasarkan manuskrip di Perpustakaan National Asad di Damsyiq, Buku ini diterbitkan pada tahun 1992.

3. Muhadarat fi al-Din wa al-Tarikh wa al-Ijtima’ ( Isu-Isu dalam Agama, Sejarah dan Kemasyarakatan)
Buku ini merupakan buku pertama yang diterbitkan oleh beliau. Ia merupakan kumpulan ceramah yang disampaikan dalam pelbagai majlis sama di radio Syria atau di masjid dan persatuan-persatuan Islam. Ia juga merupakan artikel yang diterbitkan dalam majalah yang kemudian dikumpulkan dijadikan satu buku. Buku ini diterbitkan pada tahun 1953.

4. Lamahat min al-Kitab wa al-Nubuwwah wa al-Hikmah. (Sekilas pandangan dari Al-Quran, al-Sunnah dan Iktibar)
Buku ini merupakan artikel-artikel yang ditulis dalam pelbagai majalah dan surat khabar. Dalam buku ini, beliau menjelaskan bahawa maksud al-Kitab ialah al-Quran dan al-nubuwwah ialah nabi Muhamad dan kebanyakkan kisah dalam buku ini berkisar mengenai maulidur rasul dan hijrah. Hikmah pula berkisar mengenai pengajaran dan iktibar. Buku ini mengandungi lima belas tentang al-Quran, lapan artikel tentang kenabian, dua puluh mengenai hikmah. Dan lima artikel mengenai Ramadan. Keseluruhannya mempunyai empat puluh sembilan artikel.
5.Fahris Mahtutat Dar al-kutub al-Zahiriah fiqh al-Syafi‘i (Katalog Manuskrip di Perustakaan Zahiriah-Feqah Syafi’i)

Penulisan buku ini atas permintaan Majma’ Arabi di Damsyiq di Perpustaan Zahiriah di Damsyiq. Penulis menyebutkan nama buku manuskrip, pengarang beserta tarikh meninggal penulis tersebut dan mencerita secara ringkas manuskrip tersebut. Di samping menyebutkan tarikh penulisan dan salinan buku tersebut jika terdapat tarikh tersebut. Buku ini diterbitkan oleh Majma’ Arabi di Damsyiq pada tahun 1963.
6. Shahih al-‘Ad’iyyah wa al-Azkar ( Doa dan Wirid Yang Sebenar)
Para ahli hadith sepanjang sejarah amat prihatin terhadap doa-doa dan wirid daripada Rasulullah dan ada di kalangan mereka yang mengarang buku khusus dalam perkara tersebut seperti al-Nasa’i, al-Tabari, Ibn Taimiyah dan Imam Nawawi. Penulis menulis buku ini adalah untuk menghimpun doa-doa dan wirid yang sebenarnya dari Rasulullah. Buku ini diterbitkan pada 1977 oleh Dar al-Qalam,Damsyiq.
7. Da‘wah min al-Qur’an wa ila al-Qur’an. (Dakwah dari al-Quran dan kepada al-Quran)
Buku ini membahaskan mengenai uslub dakwah dalam al-Quran. Menurutnya, menjadi kewajipan para pendakwah untuk mengetahui uslub dan cara berdakwah yang berkesan pada zaman kini. Penulis juga menghuraikan asas-asas dan sifat-sifat para pendakwah. Artikel-artikel buku ini asalnya diterbitkan dalam majalah Hadarah al-Islam yang disiarkan pada akhir tahun 1970an dan kemudian diterbitkan sebagai buku kecil pada tahun 1986 di Beirut.
8. Syarah Shudhur al-Dhahab Fi Ma’rifah Kalam al-’Arab (Syarah buku Shudhur al-Dhahab)
 Penulis telah belajar buku ini beberapa kali dan beliau bercita-cita agar buku ini memberi faedah yang besar kepada pembaca. Oleh itu, penulis telah mengelokkan buku ini dengan melengkap surah ayat-ayat al-Quran, tahrij Hadith, tahrij syair beserta menerangkan boidata penyair tersebut. Di samping itu, penulis menerangkan tata bahasa dan kaedah bahasa yang betul dan tepat. Buku ini diterbitkan Dar al-Kitab al-‘Arabiah, Beirut pada tahun 1970an dan kemudian diterbitkan oleh Syarkat al-Muttahidah pada tahun 1984.
9. Mu‘ajam al-Nahu (Kamus Nahu)
Buku ini merupakan mu’ajam tata bahasa Arab. Manhajnya ialah dengan kaedah mu’ajam dengan mengikut ketertiban huruf. Penulis menerangkan ibarat-ibarat yang terdapat dalam tatabahasa tersebut, hukum, serta bahagian-bahagiannya. Penulis juga membawa dalil dari al-Quran dan kata-kata syair. Buku ini diterbitkan 1975 di Damsyiq dan Beirut.
10. Mu’ajam al-Qawa’id al-Arabiyyah fi al-Nahu wa al-Tasrif (Kamus kaedah-Kaedah dalam Nahu dan Saraf)
Buku merupakan mu’ajam dalam bidang nahu dan saraf. Penulis menjadikan kitab-kitab Turath sebagai sumber rujukan dalam menulis buku seperti Kitab Sibawaih, kitab Ibn Hsyam, syarah Alfiah Ibn Malik dan buku-buku nahu yang lain. Buku ini mendapat pujian dari Ali tantawi apabila ia menyebutkan bahawa buku ini tidak pernah orang menulis sepertinya sama ada pada zaman dulu mahupun kini.Buu ini diterbitkan oleh Dar al-qalam, damsyiq pada tahun 1986 dan cetakan ketiga pada tahun 2001.
11.Al-Imam Malik r.a. (Biografi Imam Malik)
Buku ini mengandungi riwayat hidup Imam Malik, keturunan dan guru-gurunya di Madinah sehingga ia menjadi ulama. Semasa menjadi ulama, umurnya masih lagi belia dan orang ramai mempelajari hadith daripadanya. Beliau juga merupakan ahli fekah yang terkenal. Penulis memulakan buku ini dengan membicarakan zaman imam Malik dan imam Malik hidup selama 87 tahun. Beliau hidup pada zaman Umawi selama 40 tahun dan pada pemerintahan Abasiah selama 47 tahun. Penulis menulis sausana politik, keilmuan, ekonomi dan kemasyarakatan pada kedua-dua pemerintahan tersebut. Kemudian penulis menjelaskan mengenai kelahiran, keluarga, sifat-sifat dan akhlaknya. Penulis juga menghuraikan permulaan pengajian dan majlis ilmu yang dikendalikan oleh imam Malik di masjid al-Nabawi Madinah. Pengajian beliau dijalankan di kawasan al-Rawdhah. Penulis juga menulis sejarah perkembangan hadith sehingga zaman imam Malik,  kitab Mawta’ dan feqah serta manhajnya. Buku ini diterbitkan oleh Dar al-Qalam pada tahun 1982.
12.Imam al-Syafi‘i (Biografi Imam al-Syafi‘i)
Buku ini merupakan buku yang pertama ditulis dalam siri biografi tokoh. Beliau menulis sejarah hidup Imam al-Syafi’i, kelahiran dan pemgembaraannya dalam menuntut ilmu. Bermula di Madinah dengan belajar dengan Imam Malik, kemudian ke Yaman dan kemudian pemgembaraan pertama ke Iraq pada 184H dan kemudian kembali semula ke Mekah. Beliau pergi ke Iraq sekali lagi dan tinggal selama dua tahun. Penulis juga menerangkan pengembaraan Imam al-Syafi’i di Mesir dan pengembangan mazhabnya. Penulis juga menjelaskan ilmu-ilmu Imam al-Syafi’i seperti ilmu al-Quran,hadith, usul fiqh, ilmu kalam, nahasa dan kesusteraan.Buku ini diterbitkan oleh Dar al-Qalam, Damsyik dalam siri tokoh biogafi pada tahun 1982.
13.Ahmad bin Hanbal (Biografi Ahmad bin Hanbal)
Imam Ahmad merupakan tokoh yang hidup pada awal pertengahan kurun ketiga dan salah seorang dari imam mazhab yang empat. Beliau seorang yang alim, zuhud, ahli hadith dan feqah yang terkemuka. Al-Daqr menerangkan sejarah kelahiran Imam Ahmad dan kegigihan beliau menuntut ilmu hadith  serta pengembarran ke Kufah, Basrah, Mekah, Madinah, Yaman, Syam, Magribi, Farsi, Khurasan dalam menuntut Hadith. Al-Daqr menerangkan juga feqah Imam Ahmad serta asas-asa pembinaan mazhabnya  seperti al-masalaih al-Mursalah, al-Istishab, al-zara‘i, syarat Mufti dan pandangannya mengenai Ijtihad. Beliau juga membicarakan pandangan Imam Ahmad mengenai ilmu kalam dan akidah terutama mengenai al-Quran sama ada ia kalam allah yang Qadim atau makhluk. Imam ahmad mempertahankan al-Quran sebagai kalam Allah yang qadim sehingga ia dipenjara. Buku ini diterbitkan oleh Dar al-Qalam, Damsyik pada tahun 1988.
14. Sufian al-Thauri (Biografi Sufian al-Thauri)
Nama sebenarnya ialah sufian bin said al-Tahauri dan tokoh ulamak hadith. Beliau telah berguru dengan 600 guru. Al-Daqr juga menerangkan ilmu Sufian dalam bidang al-Quran terutama tafsir al-Quran. Kemudian membicarakan mengenai feqah Sufian yang cenderung kepada aliran Kufah dalam feqah dan kebanyakkan feqah bersandarkan kepada feqah Abdullah bin Mas’ud. Penulis mengakhiri bukunya dengan menulis sifat akhlak, zuhud, ibadat, kewarakan Sufian dan hubungannya dengan khalifah dan kematiannya. Buku ini diterbitkan oleh Dar al-Qalam pada tahun 1994.
15. Imam al-Nawawi: shaykh al-Islam wa al-Muslimin wa umdah al-Fuqaha. (Biografi Imam al-Nawawi)

Penulis memulakan dengan zaman Imam al-Nawawi, keluarga dan pendidikan di kampungnya di Nawa, iaitu satu perkampungan di selatan Syria. Beliau juga membicarakan  mengenai kegigihan imam al-Nawawi dalam menuntut ilmu, guru-guru dalam bidang feqah, hadith dan usul. Al-Daqr membicarakan kepakaran Imam al-Nawawi dalam ilmu feqah, hadith, bahasa dan alirannya dalam bidang akidah. Di samping menjelaskan sifat, akhlak dan kezuhudan. Penulis mengelarkan Imam al-Nawawi sebagai al-Rabbani al-Zahid kerana kewarakan dan ibadat, Penulis mengakhiri dengan menyebutkan karangan Imam al-Nawawi, anak murid dan kematiannnya. Buku ini diterbitkan pada tahun 1985.

No comments:

Post a Comment

Author

Stats

Kata Hukama


About

Followers

Archives

Pelawat Seantero

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Sample Text

Kepada semua penulis asal, blogger atau sesiapa saja yang artikelnya saya petik dan masukkan di sini, saya memohon kebenaran dan diharap tidak dituntut di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya saya akan "quote" artikel asal dan sumbernya sekali, supaya apa yang dimaksudkan oleh penulis asal tidak lari atau menyeleweng. Saya ambil artikel-artikel penulisan untuk rujukan saya dan sahabat-sahabat pelawat. Saya masih cetek ilmu tidak sehebat sahabat-sahabat yang menulis artikel-artikel di blog ini. Jazakumullah khairan kathira kerana sudi menghalalkan ilmu untuk perkongsian seluruh masyarakat Islam

Popular Posts