Hadis Nabi

  • Ulama Pewaris Nabi

    Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم bersabda

  • إن الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ، إِنَّ اْلأَنْبِياَءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْناَرًا وَلاَ دِرْهَماً إِنَّمَا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

    “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bagian yang banyak.” (Tirmidzi, Ahmad, Ad-Darimi, Abu Dawud. Dishahihkan oleh Al-Albani)

    Rasulullah صلى ا لله عليه وسلم bersabda

  • إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعاً يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِباَدِ، وَلَكِنْ بِقَبْضِ الْعُلَماَءِ. حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عاَلِماً اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوْساً جُهَّالاً فَسُأِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

    “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya dari hamba-hamba. Akan tetapi Dia mencabutnya dengan diwafatkannya para ulama sehingga jika Allah tidak menyisakan seorang alim pun, maka orang-orang mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Kemudian mereka ditanya, mereka pun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan.” (HR. Al-Bukhari no. 100 dan Muslim no. 2673)

Pesan Umar Abdul Aziz

"Jika engkau bisa, jadilah seorang ulama. Jika engkau tidak mampu, maka jadilah penuntut ilmu. Bila engkau tidak bisa menjadi seorang penuntut ilmu, maka cintailah mereka. Dan jika kau tidak mencintai mereka, janganlah engkau benci mereka." (Umar bin Abdul Aziz)

Biografi Ahmad ‘Izzuddin al-Bayanuni

00:33

Nama sebenar beliau ialah Ahmad al-Siyad bin Isa bin Hassan bin Bakri bin Ahmad al-Bayanuni al-Halabi.dan diberi gelaran ‘Izzuddin dan Abu Ali. Dilahirkan di bandar Halab, Syria pada tahun 1913M. Disinilah beliau dibesarkan, mendapat pendidikan, dan menjadi ulamak sehinggalah beliau meninggal dunia pada taun 1975M. Bapanya Syeikh Isa seorang ulamak yang dilahirkan di perkampungan Bayunun lima belas kilometer ke Utara  Halab. Keluarganya adalah keluarga yang kuat agama dan cintakan ilmu. (Abdul Majid al-Bayanuni,2006.hal. 12)

Beliau telah menamatkan bacaan al-Quran ketika berusia lima tahun dan kemudian memasuki sekolah rendah selama enam tahun dan kemudian memasuki Dar al-Mu’alimin dan disinilah ia menekuni pengajian sehingga ia menjadi seorang ulamak.  Syeikh Ahmad sejak kecil lagi dididik agar mencintai orang-orang soleh dan guru. Antara guru yang banyak memberi didikan ialah ayahnya sendiri Syeikh Isa dan Syeikh Muhamad  Abu Nasir khalaf al-Hamasi.(Abdul Majid, 2006:13)

i.    Syeikh Isa bin Hassan al-Bayanuni.(1873-1943M).
Beliau lahir pada tahun 1290H/1873M dan belajar dengan abangnya Syeikh Hamadah dan belajar al-Quran dari Syeikh Ahmad dan halaqah Syeikh Husain al-Kurdi. Beliau pernah menjadi guru di sekolah al-Khusrawiyyah iaitu sekolah menengah di Halab. Beliau juga merupakan ahli sufi dan mengambil tariqah Nasyabandi dari syeikh Muhamad Abu Nasr Khalaf al-Hamasi. Antara buku karangannya ialah Kitab al-Munkarat (buku berkaitan perkara mungkar), Arba’un hadithan fi al-Mahabbah al-Nabawiyyah (40 hadith berkaitan Cinta Kepada nabi), Diwan sya’ir fi Madhi Rasulullah (himpunan syair pada Memuji Rasulullah). Beliau menunaikan haji sebanyak tujuh kali dan kali terakhir pada tahun 1362H/1943M. Setelah selesai mengerjakan haji pada tahun tersebut, beliau jatuh sakit dalam perjalanan ke Madinah dan dimasukkan ke hospital di sana. Beliau meninggal dunia pada 28 Zulhijjah 1362/26 Disember 1943M dan dikebumikan di perkuburan Baqi’. (Abdul Majid al-Bayanuni, 2006:17)

ii.    Syeikh Muhamad Abu Nasr Khalaf al-Hamasi (1875-1949)
Namanya ialah  Muhamad Abu Nasr bin Muhamad Salim al-Hamasi dilahirkan pada 1875M di Hamas dan mempunyai hubungan yang rapat dengan ulamak di Mekah seperti Sayyid Alwi al-Makki, Syeikh Hassan  Masyat dan Syeikh Yasin al-Padani. Beliau merupakan seorang ahli sufi dan tariqat serta kuat beribadat.  Beliau tidak pernah meinggalkan qiyamullail dan sentiasa membaca al-Quran terutama ketika di akhir hayatnya. Menurut muridnya Muhamad al-Hamid bahawa Syeikh Muhamad Abu Nasr bangun sebelum fajar dan berzikir “Allah” sebanyak 30 ribu. Beliau mempunyai akhlak yang mulia, tidak banyak bercakap dan tawadu’. Beliau diberikan Allah karamat atas istiqamahnya dan berpegang kepada syariat Allah. Beliau meninggal pada malam Jumaat 5 Ramadan 1368/2 Julai 1949 dan pernah kuburnya dibuka semula setelah setahun dan didapati bauan yang sangat harum dan jasadnya dilihat seperti baru dikafankan. Ini merupakan kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepadanya. (Abdul Majid al-Bayanuni, 2006:26)

Syeikh Ahmad amat mencintai orang-orang soleh dengan sentiasa menziarahi, berada dalam majlis ilmu dan mengambil manfaat dari kata-kata mereka. Beliau juga mempunyai hubungan dengan ahli –ahli ilmu terutama rakan-rakan bapanya. Antara ulamak-ulamak tersebut :

i.    Muhamad Makki bin Muhamad bin Jaafar al-Kitani- Dilahirkan di Fas pada 1312H/1894M dan meninggal  dunia pada 1393H/1973M di Damsyiq.
ii.    Ibrahim al-Ghalayani- Dilahirkan di Damsyiq pada 1300H/1882M dan meninggal dunia pada tahun 1377H/1957M.
iii.    Mala’ Ramadan al-Buti- Bapa Dr Muhamad Said Ramadan –dilahirkan 1888M dan meninggal dunia pada 1990M.
iv.    Muhamad Abu Khair bin Muhamad al-Midani –dilahirkan di Damsyiq pada 1293H/1876M dan meninggal pada 1380H/1960M.

Antara ulamak yang beliau ziarahi semasa mengerjakan haji di Mekkah dan Madinah seperti :
i.    Muhamad al-Arabi bin al-Tabani- dilahirkan di Algeria pada tahun 1315/1897M dan meninggal di Mekah pada tahun 1390H/1970M
ii.    Hasan bin Muhamad al-Masyat al-Maliki –dilahirkan di Mekah 1317H.1899M dan meninggal pada 1399H/1978M
iii.    Sayyid Alawi bin Abbas al-Maliki-dilahirkan di Mekah pada 1317H/1899M dan meninggal dunia pada 1391H/1971M
iv.    Ibrahim bin Sa’adullah al-Fadli – dilahirkan di Turkistan pada 1314H/1896M dan meninggal di Madinah al-Munawwarah 1389H/1969M.(Abdul Majid al-Bayanuni,2006,23)

Antara ulamak yang menjadi rakan perbincangannya seperti  Hassan Habannakah al-Midani, Abdul Karim al-Rifa’i, Muhamad al-Hamid, Muhamad Said al-Burhani, Abdullah Khairullah, Muhamad al-Salqini, Syeikh Muhammad al-Shami dan Abdul Fatah Abu Ghudah. (Abdul Majid, 2006:29)

Beliau meninggal dunia pada pagi hari Jumaat 17 Zulhijjah 1395H/1975M setelah melakukan solat fajar secara berbaring. Jenazahnya telah dibawa sebelum Asar pada hari berikutnya ke Masjid Ban Qusa dan masjid penuh dengan orang ramai dan para ulama yang mengiringi jenazahnya. Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan al-Arabi, Halab.

Kedudukan Syeikh Ahmad dikalangan para Ulama.

Syeikh Ahmad mendapat kedudukan dikalangan rakan-rakannya di kalangan ulamak iaitu:

i.    Menyertai perjumpaan ulama-ulama di peringkat bandar Halab dan peringkat negara Syria.
ii.    Aktiviti dalam berdakwah dan perjumpaan ulama terutama di Masjid Abu Dhar.
iii.    Pujian ulama yang sama dengan zamannya atas kegigihan berdakwah.

Aktiviti
Syeikh Ahmad menjadi mengajar sebagai aktiviti utama dan mengajar di sekolah menengah di kampungnya dan di sekitar Halab. Beliau juga mengajar  di Kolej Al-Arabi sehingga ia pencen pada tahun 1968. Setelah itu, beliau terus bergiat dalam kegiatan dakwah. Beliau juga aktif dalam bidang kemasyarakatan  terutama menjadi imam dan khatib. Beliau memasauki fasa baru dalam kehidupannya iaitu fasa dakwah dan tarbiah dengan menubuhkan persatuan dakwah yang diasaskan olehnya. (abdul Majid, 44)

Aktiviti Mengajar

Syeikh Ahmad menjadi graduan di Dar al-Mu’alimin pada tahun 1931. Antara peraturan ialah semua graduan yang baru dikehendaki bertugas di kawasan perkampungan sebelum mengajar di kawasan bandar. Syeikh Ahmad mengajar di kawasan pendalaman dan perkampungan selma lapan tahun dan pada waktu yang sama terus mendalami ilmu-ilmu agama. Kemudian beliau berpindah mengajar di bandar Halab dan keperibadian dan pengajaran memberi kesan kepada pelajar dan pentadbiran sekolah. Setelah tiga tahun berpindah dari mengajar di desa iaitu pada tahun 1943, bapanya Syeikh Isa telah meninggal dunia dan kemudian beliau berguru dengan Syeikh Muhammad Abu Nasr sehingga ia meninggal dunia pada tahun 1948M.

Dalam bidang pendidikan, beliau telah menyertai pasukan dalam membuat silibus pendidikan Islam di peringkat rendah dengan menulis buku-buku teks yang berkaitan.

Pada tahun 1951 sehingga tahun 1964, beliau mengajar dan menjadi pentadbir di sekolah Agama dan Kolej al-Arabi al-Islami sebagai guru bahasa Arab. Beliau mengajar di sekolah agama selama lapan tahun. Syeikh Ahmad mengajar di sekolah agama dari tahun 1951 sehingga tahun 1958. Pada ketika itu sekolah ini dikenali sebagai Kolej Syariah dan digelar sebagai Azhar negeri Syria. Semasa Syeikh Ahmad mengajar di situ, pengetuanya ialah Syeikh Tahir Khairullah. Menurut Syeikh Tahir, Syeikh Ahmad telah membawa perubahann besar di sekolah tersebut terutama dari segi pentadbiran sehingga disenangi oleh setiap  pelajar. Beliau telah bekerja dengan penuh keikhlasan dalam mendidik bakal-bakal ulama dengan penuh amanah. (Abdul Majid, 2006:48)

Beliau bekerja di Kolej al-Arabi al-Islami sebagai guru bahasa dari tahun 1958 sehingga tahun 1965.Di kolej ini, beliau mengajar subjek Bahasa Arab. Walaupun mengajar bahasa Arab, tetapi beliau sentiasa menyelitkan tarbiah Islamiah dan kata-kata nasihat yang memberi kesan kepadapara pelajar.

Aktiviti keagamaan
Syeikh Ahmad sering mengantikan ayahnya berkhutbah dan menjadi imam. Setelah ayah meninggal dunia pada tahun 1943, beliau terus mengantikan ayahnya berkhutbah di Masjid al-Uthmaniah dan imam di masjid Abu Dhar. Pengalamannya menjadi imam dan berkhutbah ketika bertugas di luar bandar telah mematangnya untuk menjalankan tugas dengan sebaiknya setelah kematian ayahnya.   Beliau juga aktif mengajar dan berdakwah terutama di Masjid Abu Dhar. Antara kitab yang digunakan untuk mengajar di situ ialah Fayda al-Qadir Syarah al-Jam’i al-Saghir karangan imam al-Manawi, haliah al-awliya’  karangan Imam Abu Nuaim, al-Syifa’ bi ta’rif huquq al-Mustafa karangan Qadi Iyad.

Beliau juga menyertai dalam menubuhkan Dar al-Arqam. Dar al-Arqam ini berfungsi untuk mengadakan perjumpaan dan perbincangan yang terdiri daripada para ulamak dan pendakwah dalam isu–isu mengenai realiti umat Islam dan membaca buku Ihya’ Ulumiddin. Asalnya kumpulan dinamakan harakah Tahdhin al-Ruhi dan kemudian ditukar Jamaah Shabab Muhammad dan kemudian ditukar kepada Dar al-Arqam. Matlamat penubuhannya ialah agar para pendakwah dapat melakukan aktiviti dakwah secara pratikal dengan lebih berkesan. Namun setelah beberapa tahun, beliau tidak lagi melibatkan dalam perjumpaan tersebut kerana ahli-ahlinya tidak lagi komitmen dalam menjalankan aktivinya.  (Abdul Majid, 2006:57)

Syeikh Ahmad juga menghadiri majlis ulama di Halab yang diadakan secara bulanan dan pada waktu-waktu terntu. Beliua juga mempunyai pejabat di Masjid Abu Dhar untuk mengadakan perjumpaan dengan ulama-ulama di situ.    

Dari penulisan buku Syeikh Ahmad, beliau mengariskan antara penyakit umat Islam ialah;
i.    Kejahilan mengenai Islam
ii.    Kelemahan iman
iii.    Terlibat dalam maksiat yang berulang-ulang
iv.    Taklid yang membuta tuli
v.    Fitnah golongan wanita
vi.    Meninggalkan suruhan amar ma’aruf dan mencegah mungkar.
vii.    Mengabaikan pendidikan kepada anak-anak.

Dalam bukunya Arkan Da’wah ila al-Islam, beliau menjelaskan lima perkara rukun asas bagi dakwah iaitu:
i.    iman
ii.    ilmu
iii.    amal
iv.    zikir
v.    persaudaraan.

Dalam bab iman, beliau menjelaskan kesan maksiat dalam iman dan menunjukkan kelemahan iman. Mereka mninggalkan kewajipan dan melakukan perkara-perkara haram dan orang ramai tidak melakukan tugas menyuru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Perkara ini menyebabkan lemah iman dan berlaku fitnah dan hawa nafsu berleluasa, mengingkari Tuhan dan pembalasan hari akhirat. Menurutnya, berapa ramai orang Islam yang namanya nama Islam tetapi mengamalkan amalan orang kufur dan ateis. Oleh itu, masyarakat  manusia memerlukan dakwah kepada iman dan memerlukan pendakwah yang ikhlas keimanan kepada Tuhan.

Rukun kedua, beliau menjelaskan kepentingan ilmu. Tidak diragui lagi ilmu menerangi kejahilan manusia dan memberi kebahagian di dunia dan akhirat. Perkara ini melayakkan manusia menjadi khalifah di atas muka bumi dan ilmu merupakan keperluaan yang sangat diperlukan oleh manusia. Agama Islam adalah agama ilmu dan amal dan umat Islam tidak akan mencapai kejayaan kecuali memiliki kedua-duanya.

Ketiga, para pendakwah mestilah beramal dan melaksanakan hukum-hukum. Dalam hal ini, beliau mengulas mengenai konsep azimah dan rukhsah. Para pendakwah juga berkewajipan menunjukkan contoh pratikal yang mulia dan menjadi contoh kepada masyarakat Islam dan masyarakat yang lain.

Unsur keempat ialah zikir  iaitu kepentingan aspek kerohanian. Jasad yang tidak diberi makanan akan menjadi lemah. Begitu juga rohani yang terputus dari aspek pemakanan rohani juga akan lemah dan akan mati dari segi maknawi dan kemanusiaan. Rasulullah juga pernah menyebutkan bahawa perumpamaan orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir seperi orang hidup dengan orang mati. Oleh itu pendakwah amat perlu kepada hati-hati yang disinari dengan keimanan dan keyakinan serta sentiasa mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah. Apabila hati telah diisi dengan zikrullah maka terhasillah keimanan dan keyakinan dan lisan bercakap dengan penuh hikmah dan bersopan.

Rukun kelima dakwah ialah persaudaraan dan persaudaraan yang paling kuat ialah ikatan keagamaan. Perkara ini termasuk persahabatan dan berdampingan dengan para ulama dan orang-orang soleh.

Pendekatan dalam berdakwah dalam tarbiah dan pembentukan para pendakwah

Syeikh Ahmad dalam memyampaikan pemikiran dakwah dan manhaj menggunakan beberapa  pendekatan iaitu:
i.    memberi nasihat dan bermuhasabah
ii.    program harian untuk individu dan keluarga. Program ini meliputi amalan-amalan yang perlu dilakukan pada waktu siang dan malam  serta menggunakan waktu dengan sebaik mungkin.
iii.    Pengajian agama dan perjumpaan sama perjumpaan khusus mahupun umum. Beliau mengajar kepada para belia dan mengadakan halaqah mingguan bersama rakan-rakannya yang dinamakan Tadhkir wa Tahdhir.
iv.    Mengadakan ziarah atas dasar persaudaraan
v.    Keluar Berdakwah satu hari : Hari tersebut diisikan program halaqah dari selepas solat Subuh sehingga petang. Pada sebelah malam disikan program dengan program ibadat dan pengajian.
vi.    Iktikaf dan menghidupkan malam: Syeikh Ahmad amat menitik berat untuk menghidupkan malam-malam dengan ibadat dan beriktikaf terutama di Masjid Abu Dhar.
vii.    Mengadakan kelas-kelas pada musim panas: Beliau mengadakan kelas-kelas untuk mengajar para pemuda di musim panas seperti fiqh, tafsir. tajwid, hadis, sirah  dan tauhid. Dalam kelas ini juga, para pelajar akan menghafal al-Quran dan kelas ini bermula selepas Asar sehingga Isya’ selama dua jam setiap hari.
viii.    Perkhemahan Tarbawi pada setiap tahun : Program perkhemahan diisi dengan program solat malam, solat fardu berjamaah, tilawah, riadah dan kuliah agama. Beliau telah mengadakan 14 kali perkhemahan sepanjang hidupnya. (Abdul Majid, 2006: 99)

Antara manhaj tarbiah Syeikh Ahmad ialah :
i.    Beliau amat menekankan manhaj pendidikan Islam dan mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan teori-teori Barat yang berteraskan kepada aspek kebendaan semata-mata yang boleh membahayakan akidah umat Islam.
ii.    Bahaya penyeruan kepada perancangan keluarga kerana ia merupakan idea yang bertentangan dengan dakwah Islam yang menyeru kepada keturunan dan umat yang banyak lagi soleh. Perkara ini merupakan kesan dari kefahaman kebendaan dan bukan dari petunjuk Islam.
iii.    Manhaj pendidikan Islam yang syumul yang meliputi aspek jasad, akal, ruh dan emosi yang seimbang.
iv.    Kefahaman yang mendalam mengenai pendidikan Islam yang sebenar  terutama sebelum berkahwin kerana seseorang yang inginkan anak yang soleh hendaklah memilih isteri solehah.
v.    Memberi perhatian kepada pengaruh ibu dalam mendidik anak-anak diperingkat awal dan sentiasa mengingatkan kelalaian ibubapa dalam perkara ini.
vi.    Member perhatian dalam mengikut sunnah dalam semua peringkat agar ia dibesarkan dalam suasana menjaga adab-adab Islamiah.
vii.    Mengingatkan bahaya mengikut adat-adat jahiliah yang boleh merosakkan akidah  dan keperluan kanak-kanak sejak kecil diasuh agar taat kepada perintah Allah dan menjauhi larangannya.
viii.    Ibubapa perlu wajib menyuruh anak-anak agar menutup aurat dan menjauhi pergaulan bebas lelaki dan perempuan.
ix.    Menyeru ibubapa agar menjadi contoh tauladan kepada anak-anak dari segi percakapan, perbuatan dan akhlak kerana setiap perkataan dan perbuatan ibubapa merupakan sebahagain daripada bentuk pendidikan kepada anak-anak. (Abdul Majid, 2006: 102)
Antara keistimewaan pemikiran dakwah dan pendidikan Syeikh Ahmad ialah kejelasan pemikiran dalam mengutarakan manhaj  dan pendekatan yang mudah, memudahkan kefahaman kepada golongan muda bersesuaian dengan generasi mereka.Di samping amat prihatin dalam menjaga manhaj salaf dan menghidupkan peranan masjid dalam pendidikan dan dakwah dan menyebarkan ilmu. Beliau juga menyeru agar dakwah dilakukan dengan penuh hikmah dan pengajaran yang baik dan mengikat dakwah dengan ilmu-ilmu syariat. Beliau juga menekankan keseimbangan dan kesyumulan dalam kefahaman dan aktiviti dengan mengikut manhaj wastiyyah Islam dalam semua aspek kehidupan. (abdul Majid, 2006: 106)

Buku-buku
Antara keitimewaan buku-buku karangan Syeikh Ahmad ialah :
i.    midah difahami dengan mengunakan bahasa semasa dan mengaitkan hakikat Islam dengan dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah
ii.    Mengambarkan kebaikan dan keistimewaan Islam serta menolak dakwaan-dakwaan palsu musuh Islam terutama dalam siri buku (min Mahasin al-Islam)
iii.    Mementingkan aspek pendidikan yang pratikal sama ada dari aspek akidah dan akhlak
iv.    Ringkas dan padat : Buku-buku yang ditulisnya bersifat peringatan
v.    Membetulkan kefahaman yang salah dalam agama.
vi.    Jauh dari aspek perbezaan khilafiyyah dari aspek pemikiran dan fiqah
vii.    Perkara yang terkandung dalam buku-buku tersebut merupakan pengalaman dakwah dan mendidik yang dilaluinya
viii.    Beliau mengakhiri buku-buku tersebut dengan doa-doa nabi yang terpilih serta menyeru agar bertakwa kepada Allah, mengikhlaskan diri . Di samping itu, mengalakkan agar umat Islam melaksanakan perintah al-Quran dan al-sunnah.(Abdul Majid al-Bayanuni, 2006:110)
Bibliografi
Abdul Majid al-Bayanuni. 2006. Shaykh Ahmad ‘Izzuddin al-Bayanuni, Damsyiq: Dar al-Qalam.

You Might Also Like

0 comments

Kalam Murabbi

Ilmu, kemahiran dan segala pemberian yang datang dari ALLAH tidak hadir secara percuma, Ia datang dengan tanggungjawab. Ilmu yang diberikan oleh ALLAH itu menuntut kepada kita untuk diamalkan.

Almarhum Tuan Guru Dato` Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz b Haji Nik Mat

Archives

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images

Subscribe