Biografi Al-Battani
17:50Minat  manusia terhadap kejadian angkasa dan alam semesta telah bermula sejak  ribuan tahun yang lalu. Di kalangan pengembara dan pelayar, mereka  menjadikan bintang yang terdapat langit sebagai "kompas" dan pemandu  arah kepada perjalanan mereka supaya tidak tersesat di padang pasir  serta lautan yang terbentang luas. Keadaan langit yang cerah dan tidak  berawan pada waktu malam di kawasan gurun membolehkan kerdipan bintang  dilihat dengan jelas. Ini telah menimbulkan bukan sahaja perasaan takjub  tetapi juga ingin tahu kepada mereka yang mahu menggunakan akalnya  untuk memikirkan segala kejadian Tuhan.
Seruan  supaya manusia sentiasa berfikir, mengkaji dan menuntut ilmu terkandung  di dalam ajaran Islam. Sebab itu, apabila Islam bertapak di tanah Arab,  ilmu pengetahuan, seperti falsafah, sains, astronomi dan seni turut  mengalami perkembangan yang pesat. Kelahiran para cendikiawan Islam  dalam bidang-bidang tersebut merupakan bukti yang kukuh bahawa Islam  menggalakkan umatnya sentiasa mencari ilmu pengetahuan hatta sampai ke  negara China sekalipun.
Di  zaman kegemilangan Islam, tamadun dan pusat ilmunya menjadi rujukan  kepada para sarjana yang datang dari timur dan barat. Pada masa itu,  barat masih berada di dalam zaman kegelapan. Pengetahuan sains,  matematik, falsafah, perubatan dan sebagainya masih belum lagi  berkembang luas. Berbanding dunia Islam yang telah berjaya menghasilkan  sejumlah ahli sains yang cukup terkenal di dalam bidang masing-masing.  Salah seorang daripada mereka ialah Al Battani atau lebih dikenali di  barat sebagai Albategnieus. Beliau dilahirkan pada 230 Hijrah atau 854  Masihi. Nama asalnya ialah Abu Abdullah Muhammad ibn Jabir ibn Sinan  al-Harrani al-Raqi. Al Battani merupakan gelaran yang diberikan kepada  beliau bersempena tempat kelahirannya di Battan.
Sumbangan  terbesar beliau kepada dunia sains ialah dalam bidang falak di mana  Al-Battani telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya membina pusat  kajian cakerawala di Rakyah. Beliau telah mengemukakan kaedah pengukuran  bintang di cakerawala menggunakan garis lengkuk. Sebelum itu, para  saintis Yunani telah memperkenalkan pengukuran bintang menggunakan tali.  Pengukuran Al-Battani itu didapati lebih tepat dan praktikal kerana ia  berdasarkan kepada teori tangen dan kotangen yang ditemuinya.
Namun  begitu, barat tidak pernah memberi penghargaan kepada Al-Battani  berhubung penemuan teorinya itu. Sebaliknya mereka menceduk dan  "mencuri" teori Al-Battani serta mengubahsuai dan menukarnya kepada  istilah Yunani ialah sine yang berasal daripada kata dasar "sinus".  Dalam teorinya, Al-Battani telah membahagikan garis kotangen kepada 12  berdasarkan kepada formula seperti berikut:
Kos a
Kot a = ---- 12
Sin a
Kot  "a" yang terdapat dalam formula itu merujuk kepada satu hari yang  dibahagi 12. Kos "a" pula merupakan perjalanan matahari dalam sehari.  Sin "a" pula adalah istilah bagi mewakili perjalanan malam yang sama  waktunya dengan Kos "a" iaitu waktu siang. Berdasarkan kepada formula  ini, sekiranya Kos a + Sin a hasilnya ialah 24 jam. Jikalau Kos a - Sin a  maka hasilnya ialah 12 jam pada waktu siang dan malam.
Perhitungan  yang digunakan oleh Al-Battani ini masih digunakan sehingga ke hari ini  dan menjadi asas kepada penciptaan jam yang digunakan dalam kehidupan  kita seharian. Teori yang dikemukakan oleh beliau ternyata mendahului  zamannya dan merupakan satu penemuan yang cukup besar serta merubah  perjalanan sejarah dan ilmu pengetahuan manusia. Bagaimanapun usaha  Al-Battani itu tidak pernah diberikan pengiktirafan yang sewajarnya oleh  saintis barat. Beliau bukan sahaja dinafikan hak ciptanya ke atas teori  tersebut tetapi juga kaedah "algorism" atau "algorithm" yang dirintis  oleh beliau.
Nasib  yang serupa juga dihadapi oleh seorang ahli falak yang hidup sezaman  dengan Al-Battani yang bernama Al-Habash pernah cuba menbahagikannya  kepada 60 bahagian sebagai asas kepada penghitungan 60 saat bagi satu  minit dan 60 minit sebagai satu jam. Tetapi yang menjadi masalah ialah  pembahagian 60 jam tidak sama dengan satu hari yang mengandungi 24 jam  sahaja. Jadi, teori Habash dikatakan gagal dan sumbangannya di dalam  bidang falak tidak lagi pernah disebut dan menjadi sebutan.
Walhal  sumbangan dan jasa Al-Habash dan Al-Battani cukup banyak serta tidak  terbatas kepada ilmu falak semata-mata. Al-Battani sesungguhnya  merupakan seorang saintis Islam yang terulung dan tiada tolok  bandingannya di dalam bidang matematik, geometri dan fizik. Dalam  bukunya yang berjudul "al-Mijisti", beliau telah membetulkan beberapa  kesilapan yang dibuat oleh Batlaimus, seorang saintis Yunani. Buku ini  bukan sekadar menerangkan konsep dan kepentingan cakerawala tetapi juga  menunjukkan cara-cara untuk mengukur perjalanan planet serta bintang.
Walaupun  peralatan pada zaman Al-Battani tidak semaju dan secanggih zaman ini  tetapi beliau telah membuktikan kebenaran ajaran Islam bahawa akal  merupakan sebaik-baik kurniaan Tuhan kepada mahklukNya. Melalui  pemerhatian dan pengkajiannya terhadap bintang di langit akhirnya  Al-Battani menemui beberapa teori yang ternyata amat berguna dan  memberikan manfaat yang besar kepada umat manusia seluruhnya. Jadi  adalah tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa Al-Battani layak digelar  sebagai Bapa Ilmu Falak dan Astronomi Moden kerana sumbangannya dalam  bidang ini telah merintis jalan kepada berbagai-bagai penemuan lain dan  penerokaan untuk membongkarkan rahsia alam semesta.




1 comments
makasih artikelnya! berguna sekali untuk bahan materi uas tarikhku.. ^^
ReplyDelete