Sunday, 1 April 2012

Biografi Hj Abdullah Tahir Bunut Payong


Haji Abdullah Tahir Bunut Payong (20 Jun 1897 - 15 Ogos 1961), merupakan salah seorang 'ulama' besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh dan pengasas Pondok Bunut Payong yang terkenal di seluruh Semenanjung. Seangkatan dengan haji Ali Pulau Pisang, Hj Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj Saad Kangkong, Hj Ahmad Batu Tiga Repek, Hj Saleh Pedada dan lain-lain.
Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu, Kelantan pada 20 Muharram 1315 H. bersamaan 20 Jun 1897. Bapanya, Hj Ahmad b. Mohd Zain yang berasal dari Kg. Chepa, Kedai Lalat, Kelantan pernah berkhidmat sebagai Imam Tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920).
Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Makkah mendalami pengajiannya. Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mukhtar Bogor, Syeikh Said al-Yamani, Syeikh Mohd. Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.
Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau memulakan pondoknya sendiri di Bunut Payong yang diberi nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok Semenanjung Melayu sebagai pusat pengajian pondok yang berprestij.
Di Pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang keras lagi tegas.
Kerana kegigihannya yang sedemikian maka tidak peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Hj. Husain Rahimi, Hj Nik Man Sungai Budor, Hj. Abdul Aziz Pasir Tumboh dan lain-lain. Kerana ketokohannya juga beliau dilantik menganggotai Jemaah 'Ulama' Majlis Agama Islam Kelantan untuk beberapa penggal (seawal 1932).
Kematian fuqaha' ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh ilmuwan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiahnya.

No comments:

Post a Comment

Author

Stats

Kata Hukama


About

Followers

Archives

Pelawat Seantero

Ulama Pewaris Nabi

Ulama Pewaris Nabi

Sample Text

Kepada semua penulis asal, blogger atau sesiapa saja yang artikelnya saya petik dan masukkan di sini, saya memohon kebenaran dan diharap tidak dituntut di akhirat nanti. Seboleh-bolehnya saya akan "quote" artikel asal dan sumbernya sekali, supaya apa yang dimaksudkan oleh penulis asal tidak lari atau menyeleweng. Saya ambil artikel-artikel penulisan untuk rujukan saya dan sahabat-sahabat pelawat. Saya masih cetek ilmu tidak sehebat sahabat-sahabat yang menulis artikel-artikel di blog ini. Jazakumullah khairan kathira kerana sudi menghalalkan ilmu untuk perkongsian seluruh masyarakat Islam

Popular Posts